Now Reading
Pelancong Israel Ditahan Di KLIA, Terpedaya Dengan Maklumat AI

Pelancong Israel Ditahan Di KLIA, Terpedaya Dengan Maklumat AI

Susulan kejadian ini, Hazan mengeluarkan amaran rasmi agar rakyat Israel mematuhi nasihat Israel National Security Council untuk mengelakkan sebarang bentuk perjalanan atau transit melalui Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sekurang-kurangnya lapan warganegara Israel telah ditahan di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sejak penghujung tahun 2025 selepas aplikasi chatbot berasaskan AI memberikan maklumat yang tidak tepat bahawa transit melalui Malaysia adalah selamat.

Menurut laporan media Israel, Ynet, insiden ini berpunca daripada gabungan kebergantungan terhadap AI dan realiti geopolitik semasa.

Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik, dan undang-undang Malaysia tidak membenarkan pemegang pasport Israel untuk memasuki atau melakukan transit di negara ini.

Insiden Penahanan Berulang

Dalam satu kejadian terbaharu, empat pelancong muda Israel telah ditahan ketika menunggu penerbangan sambungan (transit) ke Filipina. Dua wanita dalam kumpulan tersebut memaklumkan bahawa mereka telah merujuk kepada aplikasi chatbot AI sebelum memulakan perjalanan dari Thailand.

Walaupun AI ‘memberi jaminan’ bahawa proses transit di Kuala Lumpur adalah selamat, mereka ditahan sebaik tiba di KLIA dan kemudiannya dihantar pulang ke Thailand.

Dalam kes berasingan, dua lelaki Israel yang dalam perjalanan dari Kemboja ke Filipina turut ditahan selama dua hari di KLIA sebelum dihantar pulang ke negara asal perjalanan mereka.

Proses Diplomatik Yang Rumit

Setiap kes penahanan memerlukan tempoh antara 24 hingga 48 jam untuk diselesaikan, melibatkan campur tangan diplomatik dari Israeli Embassy in Singapore, memandangkan Israel tidak mempunyai kedutaan di Malaysia.

Duta Israel ke Singapura, Eliyahu Vered Hazan, bersama Konsul Noa Oved, dilaporkan memainkan peranan penting dalam menyelaras proses pembebasan dan penghantaran pulang individu yang terlibat.

Lebih membimbangkan, beberapa negara Asia lain dilaporkan mula menolak kemasukan individu yang pernah dihantar pulang dari Malaysia, sekali gus berpotensi menjejaskan keseluruhan perjalanan di rantau Asia Tenggara.

Amaran Rasmi Kepada Rakyat Israel

Susulan kejadian ini, Hazan mengeluarkan amaran rasmi agar rakyat Israel mematuhi nasihat Israel National Security Council untuk mengelakkan sebarang bentuk perjalanan atau transit melalui Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa situasi semasa telah berubah dengan ketara sejak Oktober tahun lalu, menjadikan kes penahanan seperti ini semakin kerap berlaku serta melibatkan kos masa dan kewangan yang tinggi.

View on Threads

Mengapa AI Memberikan Maklumat Yang Salah?

Kesilapan ini dipercayai berpunca daripada cara sistem AI dilatih, yang kebiasaannya berasaskan peraturan umum perjalanan antarabangsa—seperti kebenaran transit tanpa visa selagi penumpang tidak meninggalkan lapangan terbang.

Namun, AI gagal mengambil kira faktor geopolitik yang lebih kompleks. Dalam konteks ini, pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel menyebabkan peraturan umum tersebut tidak terpakai, walaupun ia mungkin sah untuk kebanyakan negara lain.

Moral Of The Story

Insiden ini menjadi peringatan bahawa AI hanya memahami peraturan umum, tetapi tidak semestinya mampu menilai pengecualian yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa atau sensitiviti politik.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk sumber rasmi kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan sebelum merancang perjalanan, terutamanya ke destinasi yang melibatkan sekatan atau dasar khas tertentu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd