Hukuman Penjara Sahaja Tak Cukup, Ustaz Wadi Gesa Kerajaan Perkasa Undang-undang Susulan Kes Pemandu Mabuk
Kes pemandu Honda City yang membawa kereta dalam keadaan mabuk semalam (29 Mac), telah menyebabkan berlakunya rempuhan dan mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (29 Mac), tular satu video di media sosial menyaksikan sebuah kereta Honda City yang merempuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipandu secara melulu pada kelajuan tinggi oleh lelaki berusia lingkungan 20-an itu.
Apabila tiba di lokasi, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah hadapan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam pada itu, ujian saringan mendapati suspek positif alkohol serta dadah dan kini direman selama empat hari.
Suspek Boleh Dipenjara Hingga 15 Tahun Jika Didapati Bersalah
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika disabit kesalahan, individu boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, didenda antara RM50,000 hingga RM100,000, serta lesen memandu digantung serta-merta.
Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun.
Bagaimanapun, kes ini telah membuatkan ramai hiba selain berang dengan sikap individu mabuk yang memandu secara tidak berhemah sehingga mengorbankan nyawa individu tidak bersalah.
Hukuman Penjara Tidak Setanding Nasib Si Isteri Yang Hilang Punca Nafkah
Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran di laman Threads menggesa pihak berkuasa memperkasakan undang-undang sedia ada melibatkan pemandu mabuk.
Jelas beliau, hukuman penjara tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nasib anak yang kehilangan ayah serta si isteri yang hilang punca nafkah dari arwah suami yang terlibat kemalangan.
“Dalam Islam, keadilan belum selesai selagi keluarga mangsa tidak dibela. Undang-undang perlu diperkasakan, agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan waris,” jelas beliau.
View on Threads
Anthony Loke Digesa Ambil Tindakan Tegas
Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ts Khairil Nizam Khirudin turut menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook agar segera mengambil tindakan drastik bagi memastikan keadilan ditegakkan buat mangsa dan keluarga.
“Keadilan mesti ditegakkan. Anthony Loke, do something!” katanya.
Undang-undang Sedia Ada Tidak Cukup Untuk Beri Pengajaran Kepada Pemandu Mabuk
Menerusi semakan kami di laman X (Twitter) pula, ramai netizen meluahkan kekecewaan mereka selain menggesa pihak berkuasa mengetatkan lagi undang-undang terhadap golongan pemandu mabuk.
“Tindakan tegas mesti diambil. Jika bukan sekarang bila lagi? Kemarahan rakyat akibat pemandu mabuk ini sudah sampai ke kemuncaknya.
“Hukuman (sedia ada) ternyata gagal memberi pengajaran kepada pemandu-pemandu di luar sana. Pindaan undang-undang mesti dilakukan segera khusus untuk pemandu mabuk dan mengakibatkan kematian,” kata peguam dan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Faizal Rahman.
Tindakan TEGAS mesti di ambil. Jika bukan sekarang bila lagi???
— Faizal Rahman (@FaizalR98528) March 29, 2026
Kemarahan rakyat akibat pemandu mabuk ini sudah sampai ke kemuncaknya.
Hukuman sedia ada iaitu penjara minimum 5 tahun, maksimum 10 tahun dan denda minimum RM20,000 & maksimum RM50,000.00, serta hilang kelayakan… pic.twitter.com/PUli7w80Jz
Ramai Turut Gesa Kerajaan Tingkatkan Hukuman Bagi Pesalah Pemandu Mabuk
Menjengah ke ruangan balas, orang ramai dilihat bersetuju dengan pandangan dilontarkan pihak-pihak terbabit.
“Pinda akta jatuhkan hukuman gantung. Dah semakin menjadi-jadi kes pemabuk langgar sampai mati dekat Malaysia ni,” kata seorang lelaki.
“Hukuman tak setimpal. Pembunuh mabuk bayar denda lepas, yang merana ahli keluarga yang kehilangan tempat bergantung. Sampai bila benda ni nak dibiarkan. Rakyat semakin marah,” tambah seorang netizen.
Malah ramai juga bersimpati dengan dugaan yang dilalui keluarga arwah pada waktu ini.
“Kena ada hukuman berat, dia (mangsa) hilang nyawa. Hilang segalanya bagi keluarga arwah. Sumber pendapatan dan mana kita tahu tanggungjawab arwah yang lain. Kaki mabuk tak perlu ada lesen memandu, sampah masyarakat,” ujar seorang pengguna X.
Sementara itu, warganet turut bersetuju bahawa kebanyakan pelaku tidak memandang serius undang-undang ditetapkan.
“Kalau tidak sampai bila-bila pun tak ada penghujungnya. Mereka hanya memandang sebelah mata sahaja pada undang-undang dan peraturan yang ada,” tegas seorang lelaki.







Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



