Boleh Ke Ibu Ayah Guna Duit Raya Anak? Timbalan Mufti Perak Tampil Beri Penjelasan
Timbalan Mufti Negeri Perak Datuk Haji Zamri Hashim menegaskan bahawa ibu ayah hanyalah pemegang amanah dan bukanlah memiliki sepenuhnya duit raya yang diterima oleh anak-anak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri, anak-anak pasti gembira menerima duit raya daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat andai.
Bagi mereka yang masih kecil, duit raya yang diterima pasti akan diserahkan kepada ibu ayah untuk diuruskan dan disimpan.
Namun tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir kecil individu yang masih menggunakan duit raya anak untuk keperluan diri sendiri.
Sebenarnya boleh atau tidak ibu ayah guna duit yang anak-anak terima dari orang lain ketika musim raya?
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ambil Upah Tukar Duit Raya? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Baca Artikel Berkaitan: “Tua & Muda Jangan Hilang Sifat Malu” – Ustazah Asma’ Minta Henti Trend Ambil Duit Raya Sambil Joget
Duit Raya Anak Adalah Harta Miliknya
Menerusi hantaran di TikTok (@datozamri), Timbalan Mufti Negeri Perak Datuk Haji Zamri Hashim menjelaskan bahawa duit raya yang diterima oleh anak merupakan hibah atau hadiah yang menjadi harta miliknya.
Beliau menegaskan ibu ayah tidak boleh menggunakan harta anak-anak ini sama sekali.
Namun pengecualian diberikan jika harta tersebut digunakan bagi kemaslahatan anak-anak sendiri seperti membayar yuran pendidikan dan rawatan di klinik atau hospital.

Boleh Guna Duit Raya Anak Dalam Keadaan Terdesak
Bagaimana pula dalam situasi terdesak seperti apabila ibu ayah tidak mempunyai sumber pendapatan lain?
Zamri berkata wang tersebut boleh digunakan untuk membayar keperluan asasi keluarga termasuk sewa rumah.
Walaupun hukumnya harus, namun beliau berkata ibu ayah tetap digalakkan untuk membayar semula wang yang dibelanjakan itu.
Ibu Ayah Sebagai Pemegang Amanah Duit Raya Anak
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar ibu ayah menyimpan duit raya yang diterima oleh anak-anak di tempat yang selamat.
Beliau turut berpendapat bahawa lebih bagus sekiranya ibu ayah menggunakan duit raya tersebut untuk membelikan emas buat anak-anak.
Ini kemungkinan kerana nilai emas cenderung untuk meningkat dalam jangka masa panjang berbanding wang disimpan di dalam bank sahaja, sekali gus memberi keuntungan lebih buat anak-anak.
“Kita sebagai ibu ayah adalah sebagai pemegang amanah sahaja, bukan memiliki penuh (duit raya anak-anak),” kata beliau.
Sebelum ini, Penasihat Kekayaan Lily Khai, turut mencadangkan agar ibu ayah mendidik anak untuk bersedekah dan berbelanja menggunakan duit raya yang diterima.

Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Cuma Simpan” – Penasihat Kekayaan Kongsi 3 Cara Uruskan Duit Raya Anak
Harta Anak Bukan Dimiliki Oleh Ayah Sepenuhnya
Dalam menjelaskan mengenai hak anak terhadap hartanya, Zamri turut memetik potongan hadis dari Riwayat Ibn Majah, di mana Rasulullah SAW bersabda:
أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.”
Beliau menjelaskan bahawa huruf ‘lam’ dalam ayat itu bukanlah merujuk kepada ‘memiliki’, tetapi bermakna harus untuk digunakan pada keperluan-keperluan terdesak atau bagi maslahat anak.
Mengulas lebih lanjut, Zamri berkata beberapa kitab termasuk oleh Imam Syafie menyatakan bahawa seorang ayah tidak boleh mengambil harta anak dengan sewenang-wenangnya.
“Kecuali kerana keperluan terdesak ataupun maslahat anak berkenaan. Tidak boleh memudaratkan anak,” ujarnya.
@datozamri nak pakai duit raya anak? yg bagaimana boleh. yg bagaimana tak boleh? #duitraya ♬ original sound – Dato' Hj. Zamri Hashim
Tonton video penuh [DI SINI].
Wajib Ganti Jika Ibu Ayah Gunakan Harta Anak Dengan Sesuka Hati
Perkara sama turut diulas oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengambil pendapat bahawa seorang ayah tidak boleh mengambil harta anaknya.
Katanya, apabila seorang anak meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anak serta ahli keluarga lain dan bukan ayahnya sahaja.
Ini bermakna jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh ayah, maka waris lain tidak mempunyai hak untuk mewarisi hartanya.
Imam Syafie berkata, “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain.”
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata ibu bapa wajib menggantikan kembali duit anak-anak yang digunakan bukan dalam keadaan terdesak.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Simpanan Pendidikan
Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Memberi & Meminta Duit Raya, Boleh Jatuh Haram Rupanya!
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Urus Duit Raya Anak Sama Rata? Ini Penjelasan Tentang Hukum Sebenar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



