Now Reading
“Cukai Mungkin Naik” – Prof Jomo Kwame Perjelas Impak Krisis Iran-AS Terhadap Malaysia

“Cukai Mungkin Naik” – Prof Jomo Kwame Perjelas Impak Krisis Iran-AS Terhadap Malaysia

Penasihat Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, juga berpendapat tidak mustahil perang Iran-AS berterusan dan akan turut berlaku di negara-negara lain.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perang antara Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat tercetus apabila satu operasi dilancarkan oleh AS bersama Israel pada 28 Februari.

Iran kemudiannya bertindak melancarkan serangan balas terhadap negeri-negeri Teluk yang mempunyai kepentingan AS dan turut menutup laluan Selat Hormuz.

Sehubungan itu, konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat itu membuatkan ramai pihak risau tentang impaknya terhadap ekonomi global, apatah apabila Selat Hormuz yang ditutup merupakan antara laluan utama perdagangan minyak mentah dunia.

Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu

Baca Artikel Berkaitan: “Tak Macam Disangka” – Lelaki Kongsi Pengalaman & Sisi Sebenar Masyarakat Ketika Berkunjung Ke Iran

Harga Barangan Akan Meningkat Akibat Perang Iran-AS

Situasi ini sudah pasti turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia yang tertanya-tanya apakah impak perang Iran-AS terhadap negara.

Semalam (12 Mac), Penasihat Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, mengulas kesan perang ini terhadap Malaysia.

Kata beliau, antara kesan terbesar adalah kebarangkalian harga barangan akan meningkat, khususnya barangan yang dihasil menggunakan tenaga minyak petroleum atau gas.

“Itu akan melambung tinggi, dan terus melambung. Sudah pasti kerajaan Malaysia tidak dapat tanggung melalui subsidi selama-lamanya.

“Jadi soalnya, bila? Bila kerajaan akan memindahkan beban harga ini kepada rakyat Malaysia?” ujarnya.

Cukai Mungkin Meningkat Atau Perbelanjaan Kerajaan Terpaksa Dipotong

Mengulas lanjut tentang subsidi kerajaan Malaysia terhadap harga minyak, Prof Jomo berkata perbelanjaan ini sudah tentu akan memakan belanja kerajaan yang lebih tinggi.

Katanya perkara ini sekali gus boleh menyebabkan peningkatan dalam peratus cukai yang dikenakan terhadap rakyat.

“Siapa akan tanggung? Kerajaan akan tanggung. Bagaimana kerajaan nak membiayai subsidinya? Dengan cukai,” ujarnya.

Sebaliknya, jika cukai tidak dipertingkatkan, Prof Jomo menerangkan kerajaan akan terpaksa memotong perbelanjaan atau membatalkan peruntukan projek-projek yang dirancang.

Ini termasuklah perbelanjaan yang dirancang bagi tujuan kesihatan, pendidikan serta bantuan sosial yang diberi bagi membantu golongan yang susah.

Foto: MalayMail

Ekonomi Dunia Tumbuh Kurang Pesat

Di samping itu, Prof Jomo berpendapat terdapat satu lagi faktor lain yang kurang diambil kira, iaitu kemungkinan besar ekonomi dunia akan tumbuh dengan kurang pesat dalam jangka masa panjang.

“Akibatnya, kita dapati bahawa pertumbuhan ekonomi yang diharapkan tidak akan berlaku,” katanya.

Dalam keadaan ini, beliau menjelaskan bahawa jumlah pendapatan individu mungkin berkurangan, manakala belanja harian terus meningkat akibat inflasi.

“Ini akan berlaku bukan hanya di Malaysia, tetapi rata-rata di dunia. Sudah tentu berbeza mengikut keadaan tempatan masing-masing, tetapi kesannya cukup besar,” katanya.

Tidak Mustahil Perang Berlanjutan & Turut Berlaku Di Negara Lain

Tambah Prof Jomo, timbul juga kemungkinan perang antara Iran dan Israel serta AS akan berterusan dan tidak akan tamat segera seperti yang diharapkan banyak pihak.

Katanya, situasi ini bermakna tidak mustahil jika perang yang berlaku turut terjadi di negara-negara lain.

“Kita dapati dalam tahun 2025, Amerika Syarikat telah bom 10 negara lain. Walaupun mereka dibom dan tidak melakukan tindak balas pada waktu itu, mungkin akan mengambil kesempatan sekarang.

“Kecenderungan ke arah perang ini dilihat semakin kuat dan tiada negarawan yang sanggup meminta supaya perang tidak diteruskan. Itu yang sedih sekali dalam keadaan sekarang,” ujarnya.

@krinstitute Perang Iran–Israel/Amerika bukan sekadar konflik di Timur Tengah. Kesannya sampai ke rakyat Malaysia. Penasihat penyelidik kami, Prof Jomo Kwame Sundaram, mengingatkan bahawa jika ketegangan antara Iran dan Israel berlarutan atau meluas, kesannya tidak terhenti di medan perang. Ia boleh menggoncang harga minyak dunia, mengganggu perdagangan global, dan mencetuskan tekanan ekonomi yang dirasai jauh dari rantau tersebut. Bagi Malaysia, implikasinya nyata. Kerajaan mungkin terpaksa menanggung kos subsidi minyak dan gas yang lebih tinggi. Jika tekanan fiskal meningkat, pilihan yang tinggal selalunya sukar: menaikkan cukai atau mengurangkan perbelanjaan awam. Dan apabila perbelanjaan dikurangkan, sektor yang paling hampir dengan rakyat boleh terjejas, kesihatan, pendidikan, dan bantuan sosial. Persoalannya: Sejauh mana perang di luar sempadan boleh mengubah realiti ekonomi di dalam negara? #IranIsraelWar #Iran #MiddleEast #Malaysia #EkonomiGlobal #perang #perangiranisrael #perangiranamerika #fyp #fypppppppppppppp ♬ original sound – Khazanah Research Institute

Tonton video penuh [DI SINI].

PMX Minta Rakyat Berjimat, Batal Sambutan Aidilfitri Peringkat Kerajaan

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat dan sektor perniagaan agar lebih berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan susulan keadaan yang memuncak di Asia Barat.

Beliau berkata ini kerana peperangan Iran-AS berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, khususnya dari segi kos pengangkutan, perdagangan dan harga barangan import.

“Setakat ini kita masih boleh bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan, tetapi petanda awal tidak begitu baik.

“Jika keadaan ini berlanjutan, kos barangan termasuk makanan dan import untuk syarikat kecil dan sederhana akan meningkat,” katanya dipetik Awani.

Pada Rabu (11 Mac), Anwar turut mengumumkan bahawa tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri akan dianjurkan oleh mana-mana kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah berjimat cermat.

Selain itu, lawatan luar negara menteri dan anggota pentadbiran turut dihadkan, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd