Now Reading
Tunjuk Diri Tak Puasa Secara Terbuka, Dr Mohd Izhar Jelaskan Dosa Terang-terangan Lebih Berat Kesannya

Tunjuk Diri Tak Puasa Secara Terbuka, Dr Mohd Izhar Jelaskan Dosa Terang-terangan Lebih Berat Kesannya

Menurut pensyarah dan pendakwah, Datuk Dr Mohd Izhar tindakan seseorang individu menunjukkan diri tak berpuasa secara terang-terangan itu seperti mencabar kesucian syariat selain boleh undang kesan yang besar terhadap masyarakat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bulan Ramadan yang tiba pastinya membuatkan umat Islam tidak sabar untuk menunaikan ibadah berpuasa dan melakukan ibadah lain.

Namun dalam keseronokan kita beribadah, mengejar pahala serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT, ada pula yang sibuk memegah diri menunjukkan mereka tidak berpuasa.

Malah turut memuat naik video memaparkan diri sedang makan dan minum di media sosial untuk menjadi tatapan umum. Apa yang lebih menyedihkan, individu yang melakukan hal ini bukan kanak-kanak tetapi mereka yang sudah dewasa.

Bahkan mereka ini seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan yang mulia ini serta ibadah berpuasa yang sedang dijalankan oleh umat Islam yang lain.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Apakah Hukum Orang Yang Tidak Berpuasa Makan Di Tempat Awam? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Dr Mohd Izhar sifatkan individu muat naik video tak puasa sebagai melampau dan cabar sensitiviti umat Islam

Terbaharu pendakwah bebas, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff yang juga Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan tindakan individu memuat naik gambar serta video seperti itu sepanjang Ramadan sebagai perkara melampau dan mencabar sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Jelas beliau, isu tersebut tidak boleh dianggap sebagai hal peribadi memandangkan ia telah dimuat naik ke ruang awam serta ditonton oleh orang ramai tanpa had.

Dr Mohd Izhar turut menjelaskan berpuasa di bulan Ramadan merupakan kewajipan yang jelas berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 183 Surah al-Baqarah.

Berpuasa termasuk dalam tuntutan asas agama yang wajib dipelihara

Bahkan berpuasa juga termasuk dalam tuntutan asas agama yang wajib dipelihara oleh setiap umat Islam yang mencukupi syaratnya.

“Apabila seseorang secara terbuka memaparkan dirinya tidak berpuasa tanya keuzuran syarie, ia bukan sahaja melanggar tuntutan agama, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk normalisasi kemungkaran.

“Dalam Islam, dosa yang dilakukan secara terang-terangan lebih berat implikasinya berbanding dosa yang disembunyikan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Sebelum ini tular beberapa video di media sosial menunjukkan segelintir pemilik akaun yang mengaku tidak berpuasa serta mempamerkan diri menikmati makanan secara terbuka.

Perkara itu secara tidak langsung mengundang rasa kurang senang di kalangan pengguna lain yang kemudian mengkritik perbuatan pemilik video berkenaan.

Individu tunjuk tak puasa seperti cabar kesucian syariat

Menurut Dr Mohd Izhar, Rasulullah SAW juga ada memberikan peringatan semua umatnya diampuni namun bukan individu yang membuat dosa secara terang-terangan (al-mujahirin).

Katanya, tindakan menunjukan perbuatan tak berpuasa secara terang-terangan itu seperti mencabar kesucian syariat selain boleh mengundang kesan yang besar terhadap masyarakat.

“Budaya media sosial yang mengangkat keterbukaan tanpa batas menjadi antara penyumbang utama.

“Selain itu, krisis jati diri, kelemahan kefahaman agama serta kecenderungan mencari perhatian dan validasi sosial turut mendorong perbuatan ini dipamerkan secara terbuka.”

Kandungan tak sensitif agama boleh buat maksiat dilihat seperti perkara biasa

Ulas beliau lagi, apabila content yang tidak sensitif kepada agama dipamerkan secara berulang kali, ia boleh membuatkan maksiat tersebut dilihat sebagai perkara biasa.

Malah ia tidak dilihat sebagai satu kesalahan yang besar. Menurutnya perkara itu boleh mengguris perasaaan umat Islam selain memberikan contoh yang tidak baik kepada orang muda.

“Perbuatan itu bukan sahaja mengguris perasaan umat Islam yang memuliakan Ramadan, malah berisiko memberi contoh negatif kepada golongan muda serta menghakis rasa hormat terhadap syiar Islam, justeru pendekatan pendidikan dan bimbingan secara berhikmah perlu diutamakan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya lagi.

Media sosial dijadikan sebagai medan dakwah dan nilai positif bukan tunjuk kelemahan diri

Justeru itu, Dr Mohd Izhar turut menasihatkan orang ramai untuk menjadikan media sosial sebagai salah satu medan dakwah serta kebaikan dan bukan tempat untuk menunjukkan kelemahan diri sendiri.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai untuk berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak memuat naik sesuatu kandungan dan tidak menormalisasikan kemungkaran sebaliknya sebarkan ilmu dan nilai positif.

“Ingatlah setiap hantaran adalah saksi di hadapan Allah SWT. Gunakanlah prinsip fikir sebelum muat naik hormati sensitiviti agama dan budaya, jangan normalisasikan kemungkaran dan sebarkan ilmu dan nilai positif.

“Media sosial adalah alat. Jika digunakan dengan iman dan taqwa, ia menjadi wasilah pahala. Jika disalah guna, ia boleh menjadi sebab dosa yang berpanjangan (dosa jariah).”


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd