Jamal Yunos Berjaya Lelong Tuala & Sebelah Selipar Diguna Ketika Demo, Mahu Lunas Hutang Teresa Kok [Video]
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata wang yang diterima digunakan bagi melunaskan baki kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, sebelum ini pernah tular dengan tindakannya yang memakai tuala sambil memegang gayung di satu demonstrasi berkenaan isu masalah air di Selangor ketika pentadbiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Terbaharu, dua barang iaitu tuala dan sebelah selipar yang dipakai olehnya ketika itu telah berjaya dilelong dan dibida sebanyak RM66,000.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook miliknya, wang yang diterima digunakan bagi melunaskan baki kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
“Alhamdulillah hari ini, dua barang itu sudah berjaya dilelong dan dibida sebanyak RM66,000.
“Sepatutnya hari ini ada lelongan mahkamah atas tuntutan Teresa Kok sebanyak RM66,000. Tetapi semalam anak saya Mohamad Amin Daniel berjaya dapatkan penangguhan arahan terbabit.
“Bagaimanapun, lelongan selipar dan tuala itu diteruskan supaya kami boleh bayar kepada Teresa Kok,” katanya, hari ini (11 Februari).
2 Orang Pembida Dari Negeri Sembilan & Sabah
Jamal menerangkan bahawa barangan itu telah dibeli oleh dua pembida iaitu seorang individu berbangsa India dari Negeri Sembilan yang membeli tuala, dan pembida dari Sabah yang membeli sebelah selipar dengan harga RM33,000.
“Individu itu memaklumkan akan bingkaikan selipar berkenaan dan hantar kepada pejabat Teresa Kok dalam waktu terdekat. Dia akan uruskan pembayaran (selipar) itu, hari ini,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan menyerahkan wang berkenaan kepada Teresa selepas diperolehi dalam waktu terdekat.
Lelong Barang Demi Kembalikan Maruah Yang Cuba Teresa Cemarkan
Jamal berkata beliau percaya bahawa usaha melelong barangan itu adalah demi mengembalikan maruahnya yang cuba dicemarkan oleh Teresa dengan mendapatkan perintah mahkamah meskipun sudah ada penyelesaian.
“Tetapi beliau langgar juga sehingga rumah saya dipecah masuk, dimasuki pegawai mahkamah dan anggota polis yang terpaksa menjalankan tugas mengikut perintah mahkamah.
“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Teresa Kok dan saya harap dengan duit sebanyak RM66,000 itu, beliau akan memulakan usaha kecil-kecilan menternak babi di rumahnya menjadi kenyataan,” katanya.
Mahkamah Tinggi KL Perintah Teresa Sita Harta Alih Milik Jamal
Sebelum ini, media melaporkan Teresa telah menyerahkan notis sitaan serta memecahkan tombol dan kunci pintu dapur rumah Jamal di Ampang dan menukarnya kepada yang baharu pada 28 Januari lalu.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah kepada Teresa untuk menyita harta alih milik Jamal bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.
Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal sebagai penghutang penghakiman telah memperoleh writ penyitaan dan penjualan harta alih tersebut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



