Wanita Kongsi Tak Mudah Kawal Emosi Ketika Buat Pengumuman Khas Graduan Meninggal Dunia [Video]
Menurut Asya, graduan siswa yang diumumkannya itu meninggal dunia pada 10 jun 2025 di Hospital Putrajaya akibat jangkitan kuman di kepala.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap yang bergelar pelajar pastinya tidak sabar menanti tibanya hari konvokesyen. Mana tidaknya selepas bertahun-tahun berusaha akhirnya tiba masa untuk diraikan.
Bukan hanya itu, sebagai pelajar yang juga anak tentu kita ingin melihat senyuman bangga yang terukir di wajah ibu ayah yang telah bersusah-payah berkorban untuk melihat kejayaan anaknya.
Namun dalam kegembiraan itu, tak dinafikan ada juga momen yang menyedihkan terutama apabila nama graduan yang sudah meninggal dunia diumumkan dan ibu bapa atau ahli keluarga mereka akan dipanggil ke atas pentas untuk mewakili arwah yang telah pergi ke rahmatullah.
Pengacara beri POV umum nama graduan sudah meninggal dunia
Baru-baru ini, seorang wanita yang juga pengacara serta ditugaskan untuk membacakan nama-nama graduan untuk naik ke pentas telah berkongsi Point Of View (POV) bagaimana dia mengawal emosi sewaktu membuat pengumuman mengenai graduan yang telah meninggal dunia.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Asya di TikTok, kelihatan dia turut menceritakan latar belakang mengenai Allahyarham, Muhammad Aliff Baihaqi Armanshah iaitu salah seorang graduan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.
Guna intonasi penuh penghayatan dan cuba kawal emosi
Dalam pengumuman itu, kelihatan dia menggunakan intonasi suara yang tidak terlalu mendatar sebaliknya penuh penghayatan.
Turut kelihatan wajah ibu bapa Allahyarham yang sebak sewaktu Asya menceritakan tentang anak mereka.
Menerusi video itu, pengacara memaklumkan bahagian yang membuatkannya sebak adalah sewaktu menceritakan mengenai penyakit yang dihadapi oleh graduan berkenaan.
“Beliau telah diuji dengan masalah kesihatan yang bermula dengan sakit kepala yang disangkakan migrain biasa. Namun pemeriksaan lanjut di Hospital Putrajaya, mendapati terdapat jangkitan kuman di bahagian kepala.
“Pembedahan telah dijalankan namun pembedahan pertama tidak berjaya, keadaan masih tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas pembedahan kali kedua. Berikutan itu beliau tidak sedarkan diri hingga menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun 2025 di Hospital Putrajaya akibat jangkitan kuman di kepala.
“Bersama-samalah kita menghadiahkan al-Fatihah kepada almarhum Muhammad Aliff Baihaqi, al-Fatihah,” katanya sebelum menjemput kedua ibu bapa arwah naik untuk mengambil sijil anak mereka.
Arwah merupakan graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian Pengurusan Binaan.
Mengalirkan air mata selepas selesai buat pengumuman
Turut kelihatan sebaik selesai membuat pengumuman itu, Asya sebak dan dilihat mengambil tisu untuk menyeka air matanya.
Malah Asya turut menyifatkan ia antara perkara yang sukar untuk dilakukan apabila ada pengumuman khas graduan yang telah meninggal dunia.
“Mengawal emosi memerlukan kekuatan dalam yang bukan semua mampu lakukan. Sejujurnya, saya akan mengelak dari melihat wajah ibu ayah arwah semasa pengumuman untuk tidak merasa sayu atau sebak semasa pengumuman dibuat.
“Sejujurnya, kali ini saya tidak dapat menahan air mata kerana pemergian arwah hanya berpunca dari sakit kepala berpanjangan.
“Salam takziah diucapkan buat kedua ibu bapa almarhum. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, insya-Allah.”
Tonton video di sini.
Ramai sebak lihat wajah ibu bapa graduan yang sudah meninggal dunia
Di ruangan komen, terdapat seorang wanita, Nurul Asyikin yang merupakan pensyarah kepada arwah Mohammad Aliff memaklumkan dia juga terkenjut sewaktu mendengar pengumuman itu semasa majlis konvokesyen berlangsung.
Dia juga menyifatkan arwah seorang budak yang baik dan mungkin tidak akan mengetahui berita itu jika tidak menghadiri majlis berkenaan.
Ramai turut meluahkan rasa sebak dan sedih mendengar pengumuman tersebut terutama apabila melihat wajah ibu bapa arwah.
“Semuanya baik sehingga saya melihat wajah ibu bapanya.”

“Kalau masa berucap ni akak sebak boleh berhenti sekejap ucapan tu? Atau tetap kena teruskan ucapan ni walau dalam keadaan suara dah sebak?”

“Sayunya tengok muka mak dan ayah arwah”

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â



