[Video] Buka Warung Jual Air Demi Kumpul Duit Pergi Umrah, Ramai Doakan Kanak-kanak Ini
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Iqbal itu mula berminat untuk berniaga selepas menghadiri satu program usahawan sebelum memaklumkan kepada ibu untuk membuka warung menjual air tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tak dinafikan setiap umat Islam pastinya ada memasang niat atau impian untuk menunaikan umrah atau haji.
Bukan hanya itu, ada yang tidak mahu ke tanah suci berseorangan sebaliknya mahu membawa ahli keluarga termasuklah ibu bapa jika diberikan peluang dan rezeki oleh Allah SWT.
Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menunaikan impian berkenaan seperti menyimpan duit, bekerja lebih keras, melakukan pelbagai pekerjaan dan bermacam-macam lagi termasuklah berdoa agar Allah SWT mempermudahkan niat murni tersebut.
Ada juga yang dapat menunaikan umrah menerusi orang lain seperti hadiah daripada ahli keluarga, rakan atau agensi-agensi yang membuat pertandingan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ayah Titip Pesanan Suara Pada Anak Sebelum Tunaikan Umrah Buat Ramai Sebak [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa OKU Dipukul Di Pasar Tani & Keluarga Dapat Tajaan Pakej Umrah Dari Andalusia
Kanak-kanak berniaga kumpul duit untuk pergi umrah
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun turut menyimpan hasrat yang sama iaitu ingin menunaikan umrah bersama ibu bapanya.
Demi mencapai hasratnya itu, si cilik ini sanggup membuka warung menjual air di hadapan rumah sebagai usahanya mengumpul wang.
Perjalanan anak kecil dikenali sebagai Iqbal turut dikongsikan oleh ibu, Qilah Hashim di TikTok. Malah kelihatan pada setiap petang Iqbal akan merakamkan dirinya membuat persediaan untuk membuka warung untuk membuat jualan.
Iqbal mula membuka warung tersebut sekitar November yang lalu dan ia mula menjadi perhatian orang ramai.
Warung air yang dibuka di rumah itu terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Kuang, Selangor setiap petang dan dia menjual beberapa jenis air seperti Creamy Vanilla Blue, air coklat dan juga teh Thai.
Minatnya terhadap perniagaan bermula selepas si kecil ini menghadiri satu program usahawan sebelum memaklumkan kepada ibu mahu menjalankan perniagaan kecil-kecilan tersebut.
Nak kumpul duit pergi umrah dengan ibu ayah
Si ibu turut berkongsi perbualannya bersama Iqbal mengenai tujuan utamanya berniaga.
“Tanya Iqbal kenapa nak meniaga? Panas, penat dan tak dapat main. Dia cakap nak kumpul duit. Dia cakap macam teringinlah nak pergi umrah mami (ibu). ‘Mustahil ke mami, Iqbal nak dapat kumpul (duit) banyak tu (untuk tunai umrah)?’
“Tak mustahil langsung Iqbal! kalau Iqbal nak, pasti boleh dapat. Bila Iqbal ada niat macam tu, insya-Allah perjalanan perniagaan Iqbal ni bukan hanya pasal untung dan rugi, setiap penat lelak, lelehan peluh dan keluhan resah, insya-Allah Allah selitkan pahala.
“Sebab Iqbal usaha selangkah lagi menuju cinta ilahi,” kata si ibu kepada Iqbal.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: 15 Tahun Ikat Perut Untuk Ke Tanah Suci, Warga Emas Akhirnya Dapat Tajaan Buat Umrah Dari TikToker [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang Dengan Keselamatan Rakyat Malaysia, Pramugara Beri Tips Untuk Jemaah Umrah [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: “Kau Memang Terbaik Dik” – Anak Hadiahkan Ibu Bapa Pakej Umrah Iktikaf Ramadan Dipuji Ramai [Video]
Semangat setiap hari buka warung dan belajar banyak perkara
Malah setiap hari dia kelihatan bersemangat dalam mengejar impiannya. Bukan hanya itu pelbagai perkara turut dipelajari dalam perniagaan yang dilakukan seperti rezeki dan sebagainya.
Usahanya mengumpul wang untuk menunaikan umrah dengan melakukan perniagaan itu kemudiannya terus menjadi perhatian orang ramai. Bahkan ramai yang memberi sokongan dengan membeli air yang dijual oleh Iqbal.
Jumlah duit terkumpul untuk pergi umrah RM600
Anak kecil ini terus mendapat soroton orang ramai sehingga menjadi tular dan turut ditemubual oleh stesen-stesen radio terkemuka iaitu Era FM dan juga Hot FM.
Dalam temubual bersama stesen radio itu, Iqbal turut memaklumkan jumlah wang yang terkumpul adalah RM600 selepas seminggu berniaga.
Malah Era FM turut berkongsi rezeki apabila memberi peluang untuk Iqbal berniaga pada 5 Disember ini dan ingin mereka ingin membantunya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang ingin memberikan sokongan dengan membeli air di warung Iqbal.
Tidak kurang ada yang mendoakan agar urusan adik Iqbal dipermudahkan dan dia dapat menunaikan umrah seperti yang dihajatinya.
“Semoga dipermudahkan urusan dan impian Iqbal untuk menunaikan umrah bersama keluarganya. Ditambah rezeki yang tak disangka-sangka..”

“Ramai support Iqbal ni”

“Semoga adik dipermudahkan segala urusan..”

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



