Now Reading
“Cahaya Lampu Koridor Sel Jadi Peneman” – Lelaki Ini Buktikan Bekas Banduan Boleh Terima Ijazah

“Cahaya Lampu Koridor Sel Jadi Peneman” – Lelaki Ini Buktikan Bekas Banduan Boleh Terima Ijazah

Lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Khairul Ab. Aziz merupakan graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakataan di Universiti Sains Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap individu pastinya mempunyai impian untuk menggapai kejayaan yang diidam-idamkan.

Meskipun jalan cerita atau kisah kehidupan masing-masing berbeza namun semangat, doa dan usaha yang sering dilakukan tidak akan pernah menafikan sebuah kejayaan yang dimiliki.

Kesusahan atau ujian yang dihadapi tidak mematahkan semangat sebaliknya menjadi motivasi untuk sentiasa usaha meraih kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.

Lelaki buktikan boleh berjaya dalam pelajaran walau bekas banduan

Terbaharu seorang lelaki meluahkan rasa sebaknya apabila berjaya menggenggam ijazah sarjana meskipun pernah bergelar seorang bekas banduan di Penjara Seberang Perai di Jawi, Pulau Pinang.

Malah pengalaman di balik tirai besi itu benar-benar menggubahnya sehingga ke menara gading.

Difahamkan Mohd. Khairul Ab. Aziz, 43, merupakan seorang graduan ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Jelasnya, dia berusaha ingin memulihkan semula maruah yang sudah tercalar dek kerana pernah terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Tekad ubah nasib, mahu anak-anak tahu bekas banduan pun boleh berjaya dan berubah

Menurutnya lagi, pengalaman berada di dalam tirai besi dari 2016 sehingga 2021 telah mengajarnya erti penyesalan.

Oleh itu, dia bernekad mahu mengubah nasib diri untuk mencapai kejayaan di celah kehidupan yang begitu mencabar.

“Semuanya bermula pada 2020, semasa saya berada di Penjara Seberang Perai. Keinginan untuk sambung belajar hadir selepas saya mendengar kisah Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun ketika beliau dijemput memberi ceramah.

“Melalui perkongsiannya, saya tanam niat untuk mengubah nasib diri dan cuba mengikut jejak langkah beliau untuk bangkit semula. Saya mula mendaftar pengajian di USM pada tahun sama.

“Memang payah hendak hentikan herdikan dan stigma masyarakat terhadap bekas banduan tapi niat hanya satu mahu memulihkan semula maruah diri demi keluarga dan dua anak yang sudah terpisah kasih sejak setahun lalu.

“Papa (panggilan anaknya) juga nak anak-anak tahu yang bekas banduan pun boleh berjaya dan berubah,” ujarnya, lapor Kosmo.

Hanya boleh guna internet satu jam setengah untuk cari bahan pada setiap hari

Khairul turut berkongsi pengalaman semasa berada di penjara, katanya dia hanya dibenarkan menggunakan internet selama sejam setengah untuk mencari bahan yang mahu dicetak serta dibawa pulang ke sel pada setiap hari.

Khairul juga merupakan graduan pertama USM yang sedang menjalani hukuman, malah hari bermaknanya itu disaksikan oleh penyelia pengajian iaitu Prof. Dr. B. Vicknasingam serta Prof. Madya Dr Darshan Siingh.

“Bayangkan, walaupun hanya lima bulan sempat merasai pengalaman mengulangkaji di sel sebelum dibebaskan pada Disember 2021, tapi ia cukup berharga.

“Setiap malam, cahaya lampu koridor sel jadi ‘peneman’ untuk ulangkaji pelajaran. Saya akan duduk di tepi pagar sel dan baca buku kadang-kala sampai pukul 12 tengah malam. Tiada apa yang sukar jika kita tanam niat untuk berjaya.

“Tapi perkara itu saya rasa boleh diceritakan semula kepada komuniti luar tentang perjuangan dan kejayaan bekas banduan yang nekad mahu berubah.”

Jadi individu pertama buat kajian tentang penggunaan kokain

Apa yang lebih menarik perhatian, Khairul turut melakar sejarah apabila menjadi insan pertama di Malaysia yang melakukan kajian tentang penggunaan dadah jenis kokain.

Hasil kajian yang dilakukannya itu turut dimuatkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC).

Sebelum ini Khairul adalah pemegang ijazah dalam bidang Kimia Industri di salah sebuah universiti swasta pada tahun 2006.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd