2 Beg Tangan Jemaah Dicuri Ketika Solat, AJK Masjid Minta Waspada Jika Bawa Barang Berharga
Menurut AJK Masjid Kampung Che Lijah di Dungun, Terengganu, itu merupakan kali pertama kes kecurian berlaku di masjid terbabit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seperti yang kita tahu, menunaikan solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Oleh disebabkan itu, orang ramai digalakkan untuk terus mengimarahkan masjid atau surau berdekatan agar ukhwah dan suasana ibadah itu sentiasa hidup di kalangan masyarakat.
Meskipun begitu, ada juga segelintir individu yang mengambil kesempatan semasa berada di masjid. Seperti sebelum ini, tular di media sosial menyaksikan dua pemuda dengan selamba mencuri penapis air di Masjid Batang Benar, Nilai, Negeri Sembilan.
Mereka kemudiannya mengangkut mesin penapis air itu dan membawanya masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam dipercayai Proton Gen 2.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tindakan Dua Pemuda Selamba ‘Angkut’ Mesin Penapis Air Dari Masjid Raih Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: “Senang Dia Buat Kerja” – Aksi Lelaki Selamba Curi Duit Tabung Masjid Undang Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki Curi RM22 Dari Tabung Masjid Untuk Beli Susu Anak, Ahli Perniagaan Tawar Khidmat Peguam
Lelaki Selamba Curi Beg Tangan Jemaah Ketika Solat Isyak Di Masjid
Terbaharu, tular satu hantaran di laman TikTok apabila pihak Masjid Kampung Che Lijah di Dungun, Terengganu berkongsi detik cemas yang berlaku di rumah Allah itu sewaktu para jemaah menunaikan solat.
Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) masjid terbabit, kelihatan seorang lelaki bersongkok memasuki ruangan solat Muslimah sebaik sahaja para jemaah sujud. Lelaki itu kemudiannya dengan segera mengambil dua beg tangan jemaah yang mana masing-masing diletakkan di sebelah dan di depan sejadah.
Namun kerana kejadian berlaku begitu pantas semasa mereka sedang sujud, kedua-dua mangsa langsung tidak menyedari bahawa beg tangan telah dicuri individu tidak bertanggungjawab.
Sebelum jemaah bangun daripada sujud, lelaki itu dengan pantas beredar dari tempat kejadian.
Insiden ini berlaku semalam (27 November) sekitar jam 8.22PM ketika orang ramai sedang solat isyak secara berjemaah.
Kes Curi Pertama Berlaku Di Masjid Kampung Che Lijah
Cakna dengan perkara tersebut, pihak masjid meminta orang ramai khususnya para jemaah untuk sentiasa berhati-hati sekiranya membawa barangan berharga ke sana.
Jelas Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, itu merupakan kali pertama kes mencuri berlaku di sana.
“Mohon semua jemaah muslimin dan muslimat agar sentiasa berjaga-jaga serta memastikan barang berharga berada di tempat selamat semasa solat.
“Sama-sama kita elakkan kejadian seperti ini berulang,” kata AJK Masjid Kampung Che Lijah.
@masjid.kg.che.lijah 📢 Peringatan kepada semua jemaah Masjid Kg Che Lijah Pada Khamis, 27 November 2025, sekitar 8.22 malam ketika solat Isyak berjemaah ,telah berlaku kejadian kecurian melibatkan 2 beg tangan jemaah muslimah yang sedang menunaikan solat. Mohon semua jemaah muslimin dan muslimat agar sentiasa berjaga-jaga serta memastikan barang berharga berada di tempat selamat semasa solat. Sama-sama kita elakkan kejadian seperti ini berulang. Jawatankuasa Masjid Kg. Che Lijah.
♬ original sound – Masjid Kampung Che Lijah Rasmi
Tonton video penuh [DI SINI].
Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Rakaman Lelaki Mencuri Dalam Masjid
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berasa kecewa dengan sikap individu yang melakukan perkara sebegitu di tempat yang suci.
“Doakan pencuri tu segera ditangkap. Nenek saya salah seorang mangsa,” kata seorang individu yang mengaku sebagai cucu mangsa.
“Ni la yang fobia bawa beg masuk masjid. Pernah berlaku dekat diri sendiri dekat Masjid Sultan Ahmad. Memang fobia jadinya,” tambah seorang lagi netizen.
Malah ramai juga meningatkan orang ramai bahawa Allah memerhati setiap kelakuan hambanya.
“Walaupun kita tengah sujud, tapi Allah sentiasa melihat apa yang kita buat,” ujar seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, seorang individu turut mencadangkan satu inisiatif yang boleh dilakukan AJK surau atau masjid agar kejadian sama tidak lagi berulang selepas ini.
“Sepatutnya setiap masjid kena sediakan locker senang orang nak sembahyang letak (barang) dalam tu, kunci seorang pegang. Bila dah habis solat, ambil la beg masing-masing balik. Tak ada la kejadian macam ni berlaku lagi,” kata seorang wanita.






Alternatif Lain Jika Mahu Bawa Barangan Berharga Ke Masjid Atau Surau
Buat mereka yang perlu membawa barangan peribadi ke masjid atau surau, anda boleh cuba memakai telekung berpoket. Ini memudahkan anda menyimpan telefon, kunci kereta atau rumah dan dompet dengan lebih selamat.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan beg sandang silang yang kecil untuk meletakkan barang masing-masing. Kemudian, sorokkannya di dalam telekung sepanjang anda menunaikan solat.
Hati-hati semua!

Baca Artikel Berkaitan: Kes Curi Duit Tabung Masjid, Sultan Selangor Murka
Baca Artikel Berkaitan: Kerap Curi Duit Tabung Masjid Siap Bawa Anak & Isteri, Lelaki Di Indonesia Ini Akhirnya Tertangkap & Ditahan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Siap Angkut Bawa Masuk Kereta, Ramai Geram Lihat Dua Lelaki Curi Mesin Air Di Masjid [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.