Masih Makan Roti Expired Sebab Tak Nak Membazir? Ini Beza Antara ‘Tarikh Luput’ & ‘Baik Sebelum’
Antara alasan yang selalu kita dengar apabila seseorang masih makan roti sudah tamat tempoh adalah, rupanya masih elok atau pun sebab mahu berjimat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mungkin ada di antara anda yang pernah makan roti walhal sebenarnya tarikh luputnya sudah pun tamat. Alasannya adalah rupa roti tersebut masih kelihatan baik seolah-olah baru sahaja dibeli.
Dalam sesetengah kes, ada juga yang masih makan roti meskipun tompok kulat telah muncul pada permukaannya. Caranya adalah dengan membuang bahagian yang terjejas sahaja.
Selain itu, antara alasan paling selalu didengari adalah untuk mengelakkan pembaziran berlaku. Tetapi dari aspek perubatan, adakah roti itu betul-betul selamat dimakan?
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Kongsi Bahaya Makan Bahagian Bersih Pada Roti Yang Sudah Berkulat
Setiap Bungkusan Makanan Diletakkan Label ‘Tarikh Luput’ Atau ‘Baik Sebelum’
Sebelum ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan menerusi hantaran di laman Facebook ada mengulas tentang label ‘tarikh luput’ dan ‘baik sebelum’ yang diletakkan pada produk makanan.
Meskipun kedua-dua istilah itu kedengaran hampir sama, namun ada perbezaan yang perlu diambil perhatian oleh semua pengguna. Mungkin ada juga yang pernah keliru dengan perkara tersebut.
Menurut BKKM Labuan, penggunaan kedua-dua label itu sebenarnya dibahagikan mengikut produk makanan. Ada jenis makanan yang menggunakan label tarikh luput dan ada yang diletakkan dengan baik sebelum. Setiap daripadanya mempunyai fungsi tersendiri.
Ini Beza Label Baik Sebelum & Tarikh Luput Anda Wajib Tahu
Berikut adalah penjelasan mengenai perbezaan di antara label ‘baik sebelum’ dan ‘tarikh luput’ yang dipaparkan pada bungkusan makanan.
Baik Sebelum:
Label baik sebelum menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh tertera. Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan, kemungkinan besar produk terbabit sudah tidak segar, kehilangan aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Bagaimanapun, ia tidak bermaksud makanan itu tidak selamat untuk dimakan.
“Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat pada rupa bentuk produk tersebut. Sama ada ia ada perubahan warna, ada pertumbuhan kulat atau berbau masam atau kurang enak, itu perlu diperhatikan,” kata BKKM Labuan.
Contoh produk adalah makanan-makanan dalam tin.

Tarikh Luput atau Guna Sebelum:
Label ini pula bermaksud tarikh akhir produk makanan selamat dimakan. Kebiasaannya ia diletakkan pada produk yang cepat rosak dan tidak boleh disimpan dalam tempoh masa lama.
Sebagai contoh roti, kek, telur, susu segar, daging mentah, ayam dan sebagainya.

“Bagi produk makanan yang dilabel ‘baik sebelum’ atau ‘tarikh luput’ pengguna perlu buang serta merta makanan tersebut selepas tarikh yang dinyatakan. Jadi jangan lupa untuk lihat dan fahami semula label pada makanan yang anda beli,” tambah BKKM di akhir perkongsian.
Apa Berlaku Jika Anda Masih Makan Roti Berkulat?
Terdahulu, pakar kesihatan Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi hantaran di Facebook menasihati orang ramai agar tidak makan roti yang sudah rosak meskipun kulat pada permukaannya hanyalah satu tompok kecil sahaja.
“Walaupun dah banyak kali pesan, kita pesan lagi. Kalau nampak roti yang belum luput tarikh, tapi dah ada tanda-tanda nak berkulat, maka jangan makan. Buang terus!
“Ada orang, dia rasa sayang nak buang sebab kulatnya tompok kecil sahaja. Jadi dia cuit bahagian yang berkulat tu dan buang. Bahagian yang nampak elok tu dia makan. Jangan buat macam tu,” kata Dr Kamarul.

Jelas beliau, tompok kecil itu adalah putik spora kolat. Meskipun ia kelihatan kecil, namun tidak mustahil jaringan akar kulat tersebut sudah jauh merebak ke dalam ruangan lain sekaligus merosakkan bahagian dalam roti.
Menurut Dr Kamarul, kulat menghasilkan toksin dikenali sebagai mikotoksin (mycotoxin). Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti gejala keracunan makanan. Kulat itu juga sukar dihapuskan walaupun selepas dimasak.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebabnya Kenapa Perlu Basuh Dulu Buah Kurma Sebelum Makan
Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Terima Roti Sosej Berkulat, ZUS Coffee Mohon Maaf & Jelaskan Punca Sebenar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



