Slen Fadzil Kongsi Persamaan Sweet Qismina & Sarimah Ahmad Saat Julang Trofi Pelakon Wanita Terbaik Di FFM
Sweet Qismina telah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi filem Babah di FFM34, manakala Seniwati Datuk Sarimah Ahmad memenangi anugerah sama di FFM2 bagi filem Dia Ibuku.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung pada 1 November lalu telah menyaksikan kemenangan bakat-bakat negara, dengan anugerah utama kebanyakannya dibolot oleh filem ‘Babah’ arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim, termasuk Filem Terbaik.
Salah satu pelakon utamanya, Sweet Qismina yang memainkan watak Maya turut membawa pulang trofi bagi Pelakon Wanita Terbaik, sekali gus membuktikan keupayaannya dalam menghidupkan watak lakonan.
Namun apa yang menarik perhatian orang ramai bukan sekadar kejayaannya merangkul gelaran itu, tetapi juga busana yang digayakan olehnya ke malam anugerah tersebut.
Dengan berbusana tradisional baju kurung, Sweet turut menyisipkan pin berbentuk tembikai sebagai solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Baca Artikel Berkaitan: “Nangis Tanpa Dengar Satu Bunyi Pun” – Qi Razali Terharu Golongan OKU Pekak Enjoy Tonton Filem ‘Babah’
Slen Fadzil Kongsi Momen Sweet & Datuk Sarimah Julang Trofi
Tidak terhenti setakat itu, penulis lirik Slen Fadzil turut berkongsi satu pemerhatian menarik yang dibuat olehnya mengenai momen Sweet mengangkat trofinya di pentas FFM.
Dalam satu hantaran di Instagram (@slenfadzil), dia berkata gaya Sweet menjulang trofi begitu mirip dengan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad ketika memenangi anugerah sama di FFM ke-2 pada 1981.
“Genap 44 tahun. Bahasa tubuh menjulang trofi Aktres Terbaik yang begitu seiras,” katanya.
Menurut Slen, dia telah berkesempatan menyaksikan kedua-dua pelakon wanita hebat itu merangkul sendiri anugerah di atas pentas FFM, dan menyifatkannya sebagai sejarah yang seakan berulang.
Bukan dari segi gaya mereka sahaja, malah busana yang digayakan kedua-duanya juga mempunyai persamaan.
“Secara kebetulan, mereka anggun apabila sama-sama berpakaian tradisi Melayu serta berselendang malah kedua fesyen mereka ada motif India,” ujarnya.
Datuk Sarimah & Sweet Menang Pelakon Wanita Terbaik Menerusi Filem Mengangkat Ibu & Ayah
Menurut Slen, Datuk Sarimah ketika itu telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem ‘Dia Ibuku’.
“Filem Terbaik lakonan Sarimah itu semestinya bercerita tentang kehebatan seorang ibu dan filem Qismina pula berkisah tentang seorang ayah. Nampak? Semuanya telah disusun cantik olehNya,” katanya.
Dia yang merupakan bekas wartawan hiburan berkata dia telah menonton kedua-dua filem itu yang masing-masing mengangkat tema seorang ibu dan ayah di pawagam.
Babah Turut Rangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Menerusi Qi Razali
Katanya lagi walaupun dua filem itu dihasilkan pada zaman berbeza, namun lakonan yang ditonjolkan berjaya membuatkannya berasa sebak.
“Saya akui lakonan Qismina pada jam terakhir Babah selepas menghidap Guillain-Barré Syndrome, begitu mengguris emosi. Solekan, fizikal tubuh serta penghayatan Qismina sangat menyakinkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fadzil turut mengucapkan tahniah buat pengarah dan seluruh tenaga filem, serta pelakon Qi Razali yang merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
“Dan malam itu saya pulang dgn senang hati kerana bakat-bakat anak seni kita yang selayaknya, telah dihargai oleh FINAS,” katanya.
Filem Babah Bawa Pulang Enam Anugerah Di FFM 34
Babah merupakan sebuah filem terbitan Nads Media Entertainment yang mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah terhadap anaknya yang berjuang dengan Sindrom Guillain-Barré.
Pertama kali ditayangkan di pawagam pada 5 Disember 2024, Babah telah memenangi enam daripada sembilan kategori yang dicalonkan dalam FFM ke-34 seperti berikut:
- Filem Terbaik
- Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali)
- Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina)
- Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul)
- Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq)
- Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri)
- Tercalon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Christina Suzanne)
- Tercalon Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Kis Aisha)
- Tercalon Poster Terbaik
Jika anda tidak berkesempatan menontonnya di pawagam, filem Babah kini boleh ditonton di Netflix. Sediakan tisu banyak-banyak!
Baca Artikel Berkaitan: ‘Abang Adik’ Cipta Sejarah, Jadi Filem Berbahasa Cina Pertama Diiktiraf ASEAN Records
Baca Artikel Berkaitan: “Lakonan Epic” – Filem Sheriff Raih Sambutan Hangat, Tayangan Awal Cecah Lebih RM1 Juta
Baca Artikel Berkaitan: “Tiger Stripes” Filem Malaysia Pertama Menang Hadiah Utama Di Cannes Critics’ Week
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



