“Ada 1001 Kerja Di Sebalik Tabir..” – Netizen Persoal Motif Nadzmi Adhwa Kongsi Video Kaunter KK Tiada Staf Ketika Lunch Break
Seorang petugas Klinik Kesihatan itu mendakwa bahawa dia telah pun menjelaskan kepada Nadzmi bahawa kaunter akan dibuka semula selepas rehat iaitu jam 1.30PM.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Rata-rata pekerja di Malaysia diberikan waktu khusus untuk makan, berehat atau solat semasa dalam tempoh bertugas di tempat kerja.
Di bawah Akta 1955, pekerja berhak mendapat rehat sekurang-kurangnya 30 minit selepas bekerja selama lima jam berturut-turut.
Bagaimanapun, masih ada segelintir yang mempertikaikan staf atau kakitangan syarikat yang tidak bekerja semasa waktu berehat itu.
Nadzmi Adhwa Kongsi Video Kaunter Klinik Kesihatan Tidak Ada Kakitangan
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Threads apabila pelakon tempatan, Nadzmi Adhwa berkongsi situasi dirinya semasa mengunjungi sebuah Klinik Kesihatan (KK) sekitar Selangor.
Dia pada awalnya mempersoalkan mengapa kesemua kaunter di sana tidak mempunyai kakitangan yang bertugas.
“Kaunter ada lima semua tutup. Oh tengah makan tengahari rupanya,” kata Nadzmi.
Bukan itu sahaja, dia juga sempat memuat naik video menunjukkan setiap kaunter di sana lengang tanpa dijaga mana-mana pihak klinik.
Bagaimanapun perkongsiannya itu telah menimbulkan tanda tanya orang ramai tentang motif sebenarnya menyebarkan perkara itu sedangkan kaunter tersebut pasti akan kosong ketika waktu rehat.

View on Threads
Petugas Klinik Dakwa Dah Beritahu Kaunter Akan Dibuka Semula Selepas Waktu Rehat
Dalam masa sama, seorang petugas Klinik Kesihatan mendakwa bahawa Nadzmi telah pun bertanya sama ada kakitangan sedang berehat pada ketika itu. Walaupun didakwa sudah diberi penjelasan, namun pelakon itu tetap memuat naik hantaran sebegitu.
“Rasanya abang sendiri tanya saya tadi sekarang waktu makan tengahari ke. Saya dah bagi tahu kitorang masih rehat. Pukul 1.30 PM kaunter buka semula. Tapi apa motif kenyataan dengan video tu? Jawapan saya masih tak memuaskan ke?” dakwa petugas terbabit.
View on Threads
Cakna dengan hantaran tular, seorang Penolong Pegawai Klinik Kesihatan dipercayai daripada klinik terbabit turut meminta Nadzmi untuk berjumpa dengannya bagi membincangkan isu berkenaan.
“Tuan datang untuk pemeriksaan kesihatan je kan? Tu pun teman anak saudara. Bukan kes kecemasan betul?” tanya Penolong Pegawai itu.

Namun begitu menerusi semakan kami, Nadzmi masih belum memberi sebarang respon terhadap permintaan itu.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: 4,500 Doktor Kontrak Akan Ditawar Jawatan Tetap
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hospital ‘Halau’ Pesakit Jam 4 Pagi Kerana Kad Perubatan Tak Cukup Baki Untuk Dapatkan Katil Di Wad
Ramai Persoal Motif Nadzmi Adhwa Kongsi Hantaran Itu
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai memberikan reaksi kurang senang terhadap hantaran tersebut kerana beranggapan Nadzmi seolah-seolah sedang mempersoalkan tanggungjawab petugas klinik.
“Habis tu tak payah lunch ke macam mana?” tanya seorang wanita.
“Waktu makan tengahari memang kena ada selalunya 1-2PM. Tak kan la nak makan dekat kaunter tu? Atau tak payah makan? Puasa berlapar je? Itu hak asasi manusia untuk 60 minit waktu rehat, makan dan solat tidak kira penjawat awam atau tidak,” kata seorang individu.
Malah doktor perubatan terkenal, Dr Malar Santhi juga sempat memberi teguran kepada Nadzmi tentang tanggungjawab seorang petugas perubatan yang orang awam tidak nampak.
“Kaunter tutup tapi dalam bilik masih ada pesakit. Doktor tengah hubungi hospital untuk rujuk kes tenat. Jururawat tengah habiskan suntikan pesakit yang datang pagi tadi. Farmasi tengah buat laporan ubat yang tak sangka dah habis.
“Staf makmal tengah periksa sample kali ke-2 sebab tak percaya keputusan pesakit tu terlampau tinggi dan seribu satu kerja di sebalik tabir yang anda tak nampak. Kerja di klinik atau hospital bukan sekadar jaga kaunter, ada berpuluh ribu tugas lain yang dijalankan di belakang tirai demi tanggungjawab dan servis,” tegas Dr Malar.
Sementara itu, orang ramai juga menasihati pelakon itu untuk prihatin dan bertimbang rasa dengan para petugas yang mahu berehat sebentar selepas melaksanakan tanggungjawab tanpa henti.
“Tolong guna otak dulu sebelum muat naik apa-apa. Staf pun perlu makan, perlu solat dan ke tandas,” kata seorang pengguna Threads.
Pun begitu, kami tidak dapat menemukan sebarang dokumen bagi mengetahui pengoperasian waktu klinik kesihatan ketika waktu rehat.









Baca Artikel Berkaitan: Dr Dzulkefly Dedah Hanya 73 Doktor Pakar Pulang Ke Malaysia Dari Tahun 2021 Hingga 2025
Baca Artikel Berkaitan: Isu Tular Notis 300 Pesakit Di Hospital Sungai Buloh, Ini Penjelasan KKM
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bekas Pegawai Perubatan Dakwa Ramai Doktor Berhijrah Ke Luar Negara Kerana Gaji & Persekitaran Bekerja
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



