“Sampai Sujud Syukur” – Kanak-Kanak Palestin Gembira Pertama Kali Dapat Ayam Selepas Setahun
Seorang kanak-kanak yang dipercayai merupakan abang sulung turut menyambut ayam mentah itu sambil beberapa kali mengucapkan “Allahuakbar”.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tanah suci Palestin telah sekian lama berdepan genosid yang dijalankan oleh rejim Israel, dengan lebih 68,000 korban dilaporkan sejak 7 Oktober 2023.
Malah rejim itu juga telah menjalankan perang kebuluran secara sistematik apabila menghalang kemasukan bantuan ke wilayah itu.
Walaupun dengan pengumuman perjanjian gencatan senjata baru-baru ini, serangan masih diteruskan oleh tentera Israel sehingga mengorbankan lebih 100 penduduk.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Gaza Masih Diserang Walaupun Gencatan Senjata Diumumkan
Baca Artikel Berkaitan: NGO Adakan Himpunan Aman Di KL, Gesa Hentikan Genosid & Kebuluran Di Gaza
Tiga Beradik Gembira Dapat Ayam Mentah Lepas Setahun
Baru-baru ini, tular satu video di Instagram (@sana_aljamal82) yang menyaksikan beberapa kanak-kanak di Gaza menyambut ketibaan makanan dengan penuh gembira.
Mereka yang dipercayai tiga beradik pada mulanya dilihat sedang bermain bersama-sama. Tanpa sebarang peralatan permainan, mereka hanya bermain menggunakan tangan.
Sementara itu, individu yang merakam pula kelihatan sedang membawa seekor ayam mentah.
Apabila kanak-kanak tersebut dipanggil, mereka segera menjerit kegembiraan sebaik sahaja melihat ayam berkenaan.
Kanak-Kanak Sujud Syukur, Tak Sabar Nak Makan Ayam
Salah seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti abang sulung segera menyambut ayam mentah itu sambil melaungkan “Allahuakbar” beberapa kali.
Lebih menjentik hati lagi apabila seorang kanak-kanak berbaju biru pula dilihat bersujud di atas lantai, mungkin melakukan sujud syukur.
Dalam keadaan gembira, si abang berkata mereka akhirnya akan dapat menjamah ayam selepas setahun tidak menikmatinya.
Dia juga dengan rasa teruja berkata mahu makan bahagian paha dan dada, manakala adiknya inginkan sayap ayam itu.
“Kegembiraan kanak-kanak di Gaza terlihat selepas sekian lama. Hari ini mereka akan makan ayam setelah setahun penuh (dalam keadaan) kekurangan,” tertulis di ruangan kapsyen.
Orang Ramai Terharu Lihat Kanak-Kanak Gembira Dapat Ayam
Sikap ketiga-tiga adik-beradik itu yang menyambut ketibaan ayam mentah itu dengan penuh rasa gembira dan bersyukur membuatkan orang ramai berasa terharu.
Malah mereka turut tersentuh apabila melihat si abang tidak henti-henti mengucapkan kebesaran buat Allah SWT dan adiknya yang melakukan sujud syukur.
“Ya Allah, budak itu bersujud. Sesiapa pun tak sepatutnya tunggu selama ini tanpa makanan,” kata seorang individu
“Untuk kita itu cuma ayam. Untuk mereka itu adalah rahmat yang bernilai untuk bersujud. Saya rasa rendah diri,” ujar seorang lagi.
Segelintir warganet turut menerangkan bagaimana di negara lain, terdapat individu yang masih membuang dan membazir makanan sesuka hati.
Ada juga yang berkata mereka sering mengingatkan anak-anak agar tidak membazir walau sedikit makanan dan selalu mengingatkan mereka tentang keadaan di Palestin.






Bantuan Makanan Masuk Ke Gaza Selepas Gencatan Senjata, Namun Masih Tak Capai Sasaran Harian
Setelah perjanjian gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipersetujui oleh kedua-dua pihak Hamas dan Israel, kemasukan bantuan makanan ke Gaza telah meningkat.
Namun menurut Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bantuan yang diterima masih di bawah sasaran harian sebanyak 2,000 tan.
Ini kerana hanya dua lintasan ke wilayah Palestin yang dibuka iaitu Karem Abu Salem dan al-Karara, dengan kira-kira 750 tan bantuan makanan tiba di Gaza setiap hari.
“Untuk membolehkan kemasukan bantuan ditingkatkan, kita perlu menggunakan setiap lintasan sekarang juga,” kata jurucakap WFP Abeer Etefa.
Setakat 21 Oktober, Al-Jazeera melaporkan sebanyak 26 pusat pengedaran makanan dibuka di Gaza. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah 145 pusat yang diharapkan dapat dibuka.
Kemasukan Makanan Ke Gaza Dihentikan Sejak 2 Mac, Menyebabkan Ketiadaan Bekalan
Kemasukan bantuan kemanusian ke Gaza merupakan salah satu intipati dalam perjanjian fasa pertama pelan gencatan senjata yang terbaharu di wilayah itu.
Sebelum itu, Israel telah melarang kemasukan makanan dan bantuan lain ke wilayah terbabit sejak 2 Mac.
Larangan itu sehingga menyebabkan setiap keluarga hanya menerima satu periuk kecil makanan setiap hari dari dapur umum (soup kitchen).
Malah organisasi bukan kerajaan (NGO) Amnesty International sebelum ini pernah mengumumkan bahawa tiada lagi bekalan makanan di Gaza.
Kumpulan bantuan pula memaklumkan bahawa rakyat Gaza akan terkorban akibat kebuluran sistematik yang dijalankan oleh rejim Zionis itu.
Baca Artikel Berkaitan: Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Gesa Trump Pastikan Israel Ikut Perjanjian
Baca Artikel Berkaitan: Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran
Baca Artikel Berkaitan: 28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – UNICEF
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.