Now Reading
Dr Amalina Raih PhD Dari Imperial College, Kongsi Pengalaman Belajar Sambil Menjadi Ibu

Dr Amalina Raih PhD Dari Imperial College, Kongsi Pengalaman Belajar Sambil Menjadi Ibu

Dr Amalina Bakri sebelum ini menuntut dalam bidang pengajian PhD sementara berkhidmat sebagai Pendaftar Pembedahan Umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pasti masih segar dalam ingatan orang ramai apabila doktor perubatan Dr Amalina Bakri menerima keputusan 17A1 di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Dia lantas menjadi inspirasi buat para pelajar khususnya di sekolah menengah agar rajin berusaha dalam pendidikan bagi mendapatkan keputusan cemerlang.

Baca Artikel Berkaitan: Dr Amalina Terima Anugerah Di Women Of The Future Awards United Kingdom. Tahniah!

Dr Amalina Terima Sijil PhD Dari Imperial College

Terkini, Dr Amalina menerusi hantaran di Instagram mengumumkan bahawa dia telah menerima sijil Doktor Falsafah (PhD) dari Imperial College of Science, Technology & Medicine sejak memulakan pengajiannya pada 2017.

Dia juga telah menceritakan pengalamannya mengikuti pengajian PhD, sambil bekerja dan juga membesarkan keluarganya.

Sebagai info, dia sebelum ini menuntut dalam bidang pengajian PhD sementara berkhidmat sebagai Pendaftar Pembedahan Umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London.

Dr Amalina Kongsi Pengalaman Bekerja Sambil Belajar & Membesarkan Keluarga

Dr Amalina pada mulanya menganggap perkara paling sukar dalam perjalanannya adalah menyeimbangkan antara kerja akademik dan klinikal.

Namun dia yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2021, telah dikurniakan dengan dua anak perempuan sekaligus menjadikannya seorang ibu.

“Tiba-tiba hidup saya bukan hanya tentang kertas kajian dan panggilan hospital, tetapi juga tentang menyusu di waktu malam, anak tumbuh gigi dan mencari waktu untuk rehat di antara segalanya,” katanya.

Sumber gambar: IG @dramalinabakri

Bagi Dr Amalina, menyeimbangkan antara pengajian, kerja dan keluarga adalah sesuatu yang amat sukar.

Kadangkala dia hanya dapat tidur selama dua jam apabila menjaga si kecil yang sedang sakit di waktu malam dan perlu bekerja shif pagi di hospital.

Wanita hebat itu juga telah hamil anak kedua selepas menyelesaikan viva dan tesis, menjadikan perjalanan pengajiannya lebih bermakna.

“Ia mengingatkan saya betapa berkaitnya perjalanan pengajian ini dengan tanggungjawab sebagai ibu. Setiap bab PhD saya ditulis bersama bab baharu dalam hidup,” katanya.

Sumber gambar: IG @dramalinabakri

Dr Amalina Belajar Kesempurnaan Bukan Segalanya

Tambah Dr Amalina lagi, dalam perjalanan hidupnya itu dia mempelajari bahawa kekuatan bukanlah tentang melakukan segalanya dengan sempurna.

“Ia tentang meneruskannya walaupun anda penat, dan ingat kenapa anda memulakannya.

“Saya belajar melepaskan kesempurnaan, fokus kepada yang benar-benar penting dan bergantung kepada orang yang menyayangi saya. Ijazah ini adalah untuk mereka,” ujarnya.

Dr Amalina turut menjelaskan serba sedikit mengenai kajian yang dijalankan olehnya iaitu tentang teknologi boleh pakai bagi membantu pesakit kanser payudara sembuh selepas pembedahan.

“Bila saya rasa sukar, saya teringat wanita-wanita yang saya harap dapat dibantu menerusi kajian ini,” ujarnya.

Dr Amalina Beri Kata Sokongan Kepada Para Wanita

Dalam masa sama, Dr Amalina memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada kaum hawa, lebih-lebih lagi para wanita yang sedang bekerja, mengikuti pengajian dan menjaga keluarga.

“Anda tak perlu sempurna. Cuma teruskan selangkah demi selangkah. Satu benda yang saya belajar ialah anda tak perlu memilih antara impian dan keluarga.

“Anda boleh melakukan kedua-duanya dengan kasih sayang, keberanian dan ketekunan. Jangan sesekali memperlekehkan kekuatan anda,” katanya.

Orang Ramai Lihat Dr Amalina Sebagai Inspirasi

Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi ucapan tahniah kepada Dr Amalina atas kejayaannya menyelesaikan pengajian PhD.

Ramai juga yang berkata bahawa wanita itu menjadi sumber inspirasi buat mereka dan orang ramai.

“Anda memang seorang inspirasi, menunjukkan bahawa tanggungjawab menjadi ibu dan kejayaan boleh datang bersama,” kata pempengaruh, Izrin Ismail.

Ada juga pelajar pengajian PhD sendiri yang berasa terkesan dengan nasihat Dr Amalina dan akan meneruskan serta menyelesaikan pengajian segera.

Sumber: Instagram

Perjalanan Pengajian Dr Amalina, Ada Sekurang-Kurangnya 5 Sijil Pengajian Tinggi

Dr Amalina sememangnya menjadi inspirasi buat orang ramai dengan ketekunannya sebagai pelajar dan doktor perubatan.

Bukan sahaja mendapat 17A1 dalam SPM, dia juga yang menyambung pelajaran ke luar negara merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) dan Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi dari Universiti Edinburgh, Scotland.

Dia juga telah bertugas sebagai doktor pelatih bagi program Surgikal Onkologi dan Genekologi di Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

Kemudian pada tahun 2015 pula, dia telah menerima Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Penterjemah Perubatan dan Terapeutik dari Universiti Cambridge, United Kingdom sebelum memulakan pengajian PhD di kolej sama pada 2017.

Baca Artikel Berkaitan: Dr Amalina Kongsi Kenyataan Mufti Perlis Tentang Hukum Khitan Anak Perempuan

Baca Artikel Berkaitan: Dr Amalina Bakal Ambil Tindakan Selepas Anak Terima Komen Lucah Hanya Kerana Tidak Sunat

Baca Artikel Berkaitan: Ramai ‘Jealous’ Dr Amalina Bakri Boleh Cuti Bersalin Hampir Setahun. Siap Dapat Gaji Penuh Lagi!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd