Now Reading
Pelajar Terima Tawaran Universiti Diminta Maklum Pada KPT Jika Ada Masalah Kewangan

Pelajar Terima Tawaran Universiti Diminta Maklum Pada KPT Jika Ada Masalah Kewangan

Menteri Pendidikan Tinggi menerusi hantaran di laman Facebook berkongsi tentang kisah seorang pelajar yang tidak mendaftar ke Universiti Awam (UA) kerana kekangan kewangan dan lokasi yang jauh.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat sesetengah para pelajar yang sudah mendapatkan keputusan cemerlang di alam persekolahan, sudah tentu sasaran mereka seterusnya adalah melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Namun bukan semua yang dikurniakan dengan peluang itu. Ada segelintir pula bertindak tidak mendaftar ke universiti atau kolej meskipun sudah menerima tawaran kemasukan.

Bukannya disebabkan tidak berminat, tetapi krisis kewangan yang menghalang mereka untuk mengejar cita-cita.

Baca Artikel Berkaitan: Hasrat Bapa Daftar Anak Ke UMK Tercapai, Jiran Kumpul Dana RM3,000 Dalam Masa 2 Jam

Baca Artikel Berkaitan: “Ilmu Saja Boleh Ubah Hidup Kita” – Asyraf Wajdi Bantu Pelajar Tular Tak Dapat Hadiri Ujian Kelayakan MRSM

Pelajar Lelaki Enggan Daftar IPTA Kerana Jauh & Masalah Kewangan

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya meminta para pelajar yang menerima tawaran universiti untuk mendaftar dan memaklumkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) jika tidak berkemampuan.

Perkara tersebut dinyatakan selepas Dr Zambry berkongsi kisah seorang pelajar lelaki dikenali sebagai Ikram yang mendapat keputusan cemerlang dan menerima tawaran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis.

Namun disebabkan kekangan kewangan, pelajar itu mengambil keputusan untuk tidak mendaftar. Kisah ini dikongsikan sendiri oleh jiran pelajar berkenaan, Wan Nurfarahin di laman sosial.

Menurut Wan, Ikram pada awalnya enggan mendaftar kerana lokasi pusat pengajian yang jauh. Namun mungkin juga disebabkan berasa risau dengan kos yuran perlu ditanggung.

Sumber: Zambry Abd. Kadir

Bapa Kepada Pelajar Baharu Sahaja Terlibat Kemalangan

Tambah si jiran, ayah Ikram baharu sahaja terlibat dengan kemalangan manakala ibunya pula tidak bekerja. Tetapi kadangkala, dia akan mengambil upah untuk cucuk sate bagi menampung pembelian barangan basah di rumah.

Umur muda juga tidak menjadi penghalang buat pelajar berkenaan untuk bekerja sebagai pembantu jual burger bagi meraih sumber pendapatan.

“Pelajar ni memang berdikari. Memang tak mengharapkan bantuan ibunya,” kata Wan.

KPT Biaya Kos Yuran & Perbelanjaan Ikram

Kisah Ikram ini kemudiannya mendapat perhatian Dr Zambry. Jelasnya, pihak KPT sedia membantu pelajar itu dari yuran pengajian, sehinggalah perbelanjaan tambahan yang diperlukan bagi melanjutkan pembelajaran.

“Tatkala anak-anak lain sedang giat membuat persediaan untuk masuk ke universiti, ada yang pergi buat pemeriksaan kesihatan, ada yang sedang buka akaun bank dan sebagainya. Masih ada lagi anak-anak yang berjaya mendapat tempat tetapi tidak berdaya untuk buat apa-apa. Asbab kekangan kewangan dan ketidakmampuan untuk membuat apa-apa,” kata Dr Zambry.

Turut Beri Bantuan Kepada Sepupu Ikram Kerana Isu Yang Sama

Dalam masa sama, menteri tersebut juga menghulurkan bantuan kepada sepupu Ikram yang dikatakan turut mempunyai masalah kewangan.

Kongsi Dr Zambry, sepupu dikenali sebagai Fairuz itu hampir menolak tawaran kemasukan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana isu yang sama.

“Saya beri jaminan agar mereka berdua masuk mendaftar belajar. Jangan bimbang tentang soal kewangan, jangan khuatir soal yuran mahupun perbelanjaan persediaan, insyaAllah kita akan bantu dan permudahkan.

“Di KPT, kita mempunyai pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk SULUNG dan bantuan awal pengajian melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS),” kata menteri itu.

Hubungi KPT Jika Ada Masalah Untuk Daftar Kemasukan UA

Mengulas lanjut, Dr Zambry memberi pesanan kepada mahasiswa dan mahasiswi di luar sana untuk menghubungi pihak KPT dan dirinya jika tidak mampu atau mempunyai halangan lain bagi melanjutkan pengajian.

“Daftar dulu dan saya telah meminta semua Naib Canselor untuk membantu memudahcarakan semua pelajar untuk mendaftar. Sama-sama kita bantu. Saya juga berasal dari keluarga susah dan tahu sangat erti keperitan kesusahan itu,” jelasnya.

Ramai Puji Inisiatif KPT Bantu Pelajar Tidak Berkemampuan

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji sikap prihatin Dr Zambry dan KPT bagi memastikan pelajar dapat mengejar impian dan meneruskan pembelajaran.

“Terbaik Dr Zambry. Sebagai seorang menteri, beliau juga seorang ayah dan seorang anak. Pernah lalui kegetiran hidup seorang anak Pangkor kampung nelayan tetapi tidak lupa diri. Inilah yang terbaik. Masya-Allah,” kata seorang lelaki.

Sementara itu, para netizen juga sempat mendoakan kejayaan berterusan kepada pelajar berkenaan.

“Alhamdulillah semoga adik tu berjaya dan dapat berbakti kepada keluarga dan negara tercinta,” ujar seorang pengguna Facebook.

Sumber: Facebook

Baca Artikel Berkaitan: “Belajar Rajin-rajin Adik” – Sekeluarga Sanggup Jalan Kaki, Berpanasan Hantar Anak Ke Universiti Undang Sebak

Baca Artikel Berkaitan: “Terima Kasih Bapak”- Anak Bangga Ada Ayah Sanggup Berniaga Jual Beg Untuk Masuk Universiti


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd