1 Tahun Nahas Tanah Mendap, Anak Kembali Ke Masjid Jalan India Untuk Kenang Pemergian Ibu
Anak lelaki mangsa dikenali sebagai Surya, 25, dilihat melakukan upacara thavasam (ritual Hindu) sekitar Jalan Masjid India.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tanpa kita sedari, sudah setahun berlalu sejak tragedi tanah mendap yang berlaku berhampiran Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Kejadian tanah mendap yang tidak dijangka itu menyebabkan seorang wanita warganegara India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas dia terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter.
Insiden mendukacita tersebut telah membuatkan golongan masyarakat berasa sebak lebih-lebih lagi apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selepas sembilan hari akibat beberapa faktor. Ini termasuklah isu keselamatan anggota penyelamat serta risiko mendapan tanah.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Anak Mangsa Kembali Ke Jalan Masjid India Untuk Kenang Kematian Ibu
Walaupun sudah setahun berlalu, namun kerinduan keluarga mangsa masih belum terubat yang mana mereka tidak dapat melihat muka mangsa buat kali terakhir.
Baru-baru ini, tular dua hantaran di akaun TikTok menyaksikan anak lelaki mangsa, Surya, 25 telah kembali ke lokasi kejadian bagi mengenang permergian ibu tercinta.
Menerusi klip dikongsi, kelihatan anak lelaki tersebut sedang melakukan thavasam, iaitu ritual Hindu yang dijalankan selepas setahun mengikut tarikh dan bintang dalam kalendar Tamil semasa pemergian mangsa.

Memetik Sinar Harian, thavasam merupakan amalan wajib bagi memastikan roh si mati mendapat perjalanan yang aman untuk menuju ke alam seterusnya.
Dalam hantaran sama, kelihatan Surya meletakkan beberapa barangan di laluan pejalan kaki termasuklah bingkai gambar ibunya yang dihiasi dengan kalungan bunga, buah-buahan, kuih-muih dan makanan di atas daun pisang.
@sarvaessrashbinrajappa #100000 #views ♬ original sound – Maithili
Tonton video penuh [DI SINI].
Si Anak Sedekah Makanan Buat Orang Ramai Sekitar Lokasi Kejadian
Upacara itu tidak terhenti di situ apabila si anak turut dilihat mengedarkan makanan dan minuman sebagai bentuk anathanam (sedekah) kepada orang ramai.
Untuk info, memberi makanan (kebiasaannya vegetarian) kepada masyarakat dipercayai membawa keberkatan kepada roh si mati. Niat murni Surya sedikit sebanyak telah mengalas perut individu yang beratur panjang di sana.
@sarvaessrashbinrajappa #100000 #views ♬ original sound – 🇸🇬singapenney👸 – user51924942804
Tonton video penuh [DI SINI].
Orang Ramai Titip Doa Buat Mangsa & Keluarga Insiden Tanah Mendap
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan Surya kerana berkongsi rezeki dengan orang ramai.
Sementara itu, ramai juga dilihat bersimpati dan memberikan doa yang baik-baik buat keluarga serta mangsa kes tanah jerlus berkenaan.
“Ni perkara paling sedih yang perlu dilalui oleh seorang anak. Kehilangan seorang ibu dan parut yang tinggal kerana tidak lagi dapat melihat wajahnya adalah satu kesedihan yang amat mendalam. Semoga Tuhan menyembuhkan lukanya dan semoga roh Amma dicucuri rahmat,” ujar seorang wanita.




Kronologi Kes Tanah Mendap Di Jalan Masjid India
Pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang menyebabkan dirinya juga tertimbus ke dalam tanah. Sewaktu kejadian, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum suara itu terus ‘lesap’ dari pendengarannya.
Nahas yang berlaku pada jam 8 pagi itu tidak menunjukkan sebarang petanda buruk di lokasi kejadian sebelum tragedi tidak diingini itu berlaku.
Susulan itu, pasukan penyelamat yang terdiri daripada beberapa agensi telah bertungkus-lumus melakukan SAR. Namun selepas sembilan hari, operasi pencarian ditamatkan meskipun mangsa tidak ditemui.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa keluarga mangsa tanah jerlus diberikan sumbangan dari pelbagai pihak.
Astro Awani dalam masa sama melaporkan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah menyerahkan wang tunai bernilai RM30,000 kepada keluarga mangsa sehari selepas SAR itu dihentikan.
Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Mangsa Tanah Jerlus Masjid India Terima Sumbangan RM30,000 Dari DBKL
Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Mangsa Kes Tanah Jerlus Lakukan Upacara Agama Sebelum Bertolak Pulang Ke India
Baca Artikel Berkaitan: Belum Masanya Wartakan Jalan Masjid India Sebagai Zon Tidak Selamat, Kata Ketua Polis Negara
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



