Now Reading
Anak Dibuli Di Sekolah? Ini Langkah-Langkah Yang Ibu Ayah Kena Ambil

Anak Dibuli Di Sekolah? Ini Langkah-Langkah Yang Ibu Ayah Kena Ambil

Lelaki itu menerangkan terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh ibu ayah apabila melaporkan kes anak dibuli, termasuklah melakukan temuduga dengan pihak CIC.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, insiden buli dalam kalangan murid sekolah kerap dilaporkan, yang sehingga menyebabkan kecederaan serius, malah kematian.

Salah satu kes yang menjadi buah mulut sebahagian besar kelompok masyarakat membabitkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang didakwa dibuli di asrama sehingga nyawanya diragut.

Oleh yang demikian, ibu ayah digesa mengambil tindakan sewajarnya sebaik sahaja anak memaklumkan bahawa dia dibuli sama ada di sekolah harian mahupun asrama.

Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah

Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: AGC Arah Jalankan Inkues, Ini Maksudnya

Baca Artikel Berkaitan: “Ini Cubaan Buli” – Wanita Dedah Anak 5 Tahun Disimbah Air & Nyaris Disepak Oleh Sekumpulan Kanak-Kanak

Bapa Kongsi Pengalaman Laporkan Kes Buli Anak Kepada Pihak Berkuasa

Menerusi hantaran di Threads (@azurasibin970), dia telah berkongsi semula pengalaman seorang bapa mengenai cara-cara melaporkan insiden anak dibuli dengan betul.

Lelaki yang bernama Huzaimar Yahya itu menegaskan agar kes anak dibuli dilaporkan sehingga ke peringkat Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).

Katanya dia mengalami perkara itu apabila melaporkan insiden anaknya di Darjah 1 yang dibuli pelajar Tingkatan 3 baru-baru ini.

Mungkin seperti ramai orang, dia juga pada mulanya menganggap kes buli hanya perlu dilaporkan kepada pihak polis semata-mata.

“Ingatkan dah cukup. Rupanya tak selesai lagi bahagian kita sebagai mangsa. Tapi bila dah tahu saya nak kongsi dekat semua mangsa buli,” katanya.

Ini Langkah-Langkah Apabila Laporkan Insiden Anak Dibuli

Huzaiman menjelaskan terdapat empat langkah yang harus dibuat oleh ibu ayah bagi melaporkan insiden buli anak-anak.

#1. Pastikan Rakaman CCTV Ada

Pertama, dia memastikan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah tidak dipadam.

Katanya, dia memberi peringatan kepada pihak sekolah bahawa laporan akan dibuat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya rakaman dipadamkan.

#2. Laporkan Kepada Pihak Polis

Seterusnya seperti dalam kes-kes lain, laporkan insiden buli ke pihak polis di mana-mana balai polis berhampiran.

#3. Cerita Segala Butiran Kepada IO

Ketika bertemu dengan Pegawai Penyiasat (IO), pastikan untuk menceritakan segala-galanya yang berlaku terkait kes buli tersebut.

Dua minggu selepas bertemu dengan IO, Huzaiman bertanya semula tentang tindakan yang akan dikenakan ke atas pelaku dalam kes buli anaknya.

#4. Jalani Pemeriksaan Kesihatan Di Hospital Kerajaan

Paling penting tetapi mungkin sering dilepas pandang, lakukan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan bagi mendapatkan laporan perubatan.

Katanya, antara ujian yang dijalankan adalah imbasan sinar-X, imbasan CT dan ukuran lebam pada badan mangsa.

Dia menegaskan bahawa kesemua langkah di atas dijalankan pada hari yang sama insiden buli berlaku pada anak, lebih-lebih lagi bagi menunjukkan kesan lebam pada badan mereka.

Sumber gambar: Pexels

Bawa Anak Ke CIC Bagi Rakaman Keterangan

Selepas selesai melakukan langkah-langkah di atas, barulah anak dibawa ke CIC bagi tujuan temuduga.

Menurut Huzaiman, keterangan mangsa akan dirakam bagi tujuan kegunaan di mahkamah kelak.

Malah CIC akan menyediakan sesi kaunseling buat mangsa dan juga ibu ayah yang trauma dengan insiden buli yang terjadi.

Tambahnya lagi, CIC juga perlu dilakukan bagi kes membabitkan penderaan ke atas bayi yang bertujuan sebagai bukti terhadap pelaku.

Huzaiman berkata bahawa tindakan yang diambil terhadap pembuli bukan hanya melindungi anak sendiri, tetapi juga kanak-kanak lain daripada menjadi mangsa.

View on Threads

Temuduga Di CIC Bantu Kukuhkan Siasatan

Pada 3 Ogos yang lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di media sosial telah menerangkan mengenai CIC, iaitu inisiatif mesra kanak-kanak yang diperkenalkan melalui Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.

Menurutnya, CIC bertujuan bagi merakam video keterangan mangsa atau saksi kanak-kanak yang berusia kurang daripada 18 tahun, yakni selaras dengan peruntukan Seksyen 6 dan 7 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

“PDRM sentiasa komited dalam menjaga kebajikan serta melindungi hak golongan rentan, terutamanya kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah,” jelasnya.

Inisiatif yang diperkenalkan dari United Kingdom ‘Child Friendly Policing’ itu mempunyai beberapa peranan, termasuk:

  • Mengurangkan trauma yang dialami oleh mangsa atau saksi kanak-kanak.
  • Membantu IO mendapatkan keterangan yang jelas dan berkualiti.
  • DVD rakaman sebagai keterangan membantu pertuduhan di mahkamah.

KPM Arah Adakah Lawatan Mengejut Di Sekolah & Asrama

Sebagai salah satu usaha dalam membendung gejala buli, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan arahan agar semua pengarah pendidikan negeri serta pegawai PPD mengadakan lawatan mengejut di sekolah-sekolah.

Ini termasuklah juga melawat ke sekolah berasrama pada waktu malam bagi melakukan pemantauan, di samping memahami kehidupan pelajar di sana.

“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu. Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok nature sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam masa sama, pengetua dan guru besar diarahkan agar mewajibkan laungan ‘Kami Benci Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan.

Baca Artikel Berkaitan: Mahu Bendung Gejala Buli, KPM Arah Sekolah Laksanakan Laungan ‘Kami Benci Buli’

Baca Artikel Berkaitan: “Kita Nak Buang Budaya Buli, Tiada Kompromi” – Pengerusi MARA Terjah MRSM Besut, Tinjau Isu Kes Buli


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd