Joseph Pilates Perkenalkan Teknik ‘Contrology’, Kini Dikenali Sebagai Pilates
Joseph Pilates menggabungkan idea kesihatan dan kecergasan fizikal dari Timur dan Barat dalam teknik yang kini dikenali sebagai pilates.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pilates merupakan salah satu bentuk senaman yang semakin menjadi pilihan ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan para wanita.
Senaman yang mementingkan latihan otot dan dapat membantu membetulkan postur individu serta meningkatkan fleksibiliti ini mula popular di Malaysia sejak tahun-tahun kebelakang ini.
Namun apakah sejarah di sebalik senaman pilates ini yang kelihatan simple tetapi sebenarnya amat memenatkan?
Baca Artikel Berkaitan: Ini Enam Ujian Fizikal Untuk Kenal Pasti Tahap Kesihatan Anda
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Joging Di Trek Baru KLCC Park, Netizen Beri Idea Buka Banyak Lagi Taman Rekreasi
Joseph Pilates Perkenalkan Senaman Baharu
Nama ‘pilates’ diambil sempena Joseph Pilates, seorang ahli gimnastik di Amerika Syarikat yang mencipta senaman tersebut.
Dilahirkan di Jerman pada 1883, Pilates merupakan seorang kanak-kanak yang sakit dan bertekad untuk membesar dengan kuat dan sihat.
Sekitar awal 1910-an, dia memperkenalkan pilates sebagai kaedah baharu bagi senaman dan penjagaan badan.
Kaedah tersebut turut merangkumi penggunaan alat yang digelar sebagai ‘apparatus’, dengan yang paling terkenal ialah Pilates reformer yang banyak digunakan di studio pilates.

Pilates Gabungkan Senaman & Kecergasan Fizikal Timur & Barat
Jika anda pernah menyertai senaman pilates, pasti menyedari terdapat pergerakan yang seakan-akan yoga.
Ini kerana memandangkan Pilates mengamalkan segala jenis senaman, dia telah menggabungkan kedua-dua idea kesihatan dan kecergasan fizikal dari Timur dan Barat bagi senaman yang diperkenalkan olehnya itu.
Ini termasuklah rejim senaman Rom dan Yunani seperti bina badan dan gimnastik, serta disiplin dari Timur seperti yoga, tai chi, seni bela diri dan meditasi Zen.
Di samping itu, Pilates turut mengkaji anatomi dan pergerakan haiwan. Dia mencuba pelbagai jenis senaman dan mencatatkan hasilnya.
Ketika berusia 32 tahun, Pilates berhijrah ke Britain di mana dia menjadi peninju profesional dan bekerja sebagai akrobat sarkas.
Pilates Reformer Asal Dihasilkan Ketika Dalam Tahanan Sewaktu Perang Dunia Pertama
Apa yang menariknya, Pilates mula membangunkan kaedah yang kini dikenali sebagai senaman pilates itu ketika ditahan sebagai musuh asing oleh British sewaktu tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Pilates juga bekerja sebagai jururawat ketika dalam tahanan, membuka peluang untuk dia bereksperimen dengan katil hospital agar pesakit boleh melatih otot mereka walaupun dalam keadaan terbaring.
Dia memasang spring pada katil, yang menjadi asal-usul kepada mesin pilates pertama iaitu Pilates reformer.
Selepas perang, Pilates dihantar pulang ke Jerman di mana dia belajar dari pengamal kesihatan serta merumuskan idea-idea tentang kecergasan dan pemulihan badan.

Pilates Buka Studio Pertama Di New York, Jadi Tarikan Dalam Kalangan Penari
Pilates kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1926, dan telah mendapat bantuan abangnya untuk menambah baik apparatus asalnya.
Pada 1929, Pilates pertama kali menyenaraikan studionya, Pilates Universal Gymnasium, di direktori telefon New York. Studio itu dipercayai dibuka bersama isterinya Clara.
Kaedah senaman yang diperkenalkan olehnya itu serta-merta menjadi kegemaran ramai.
Malah golongan penari, termasuk Martha Graham dan George Balanchine, turut tertarik kerana merasakan kaedah itu paling bagus dalam membantu mereka pulih dari kecederaan serta mengelakkannya daripada berlaku semula. Beberapa penari turut menjadi guru Pilates generasi pertama.
Pilates sendiri turut melatih bintang opera Amerika Syarikat terkenal Roberta Peters sekitar tahun 1950an.
Pilates ketika itu menggelarkan teknik yang menggabungkan pemulihan mental dan fizikal dalam membantu individu untuk mencapai potensi penuh tubuh badan sebagai ‘contrology’.
“Mindalah yang sebenarnya membina tubuh badan,” kata Pilates memetik Schiller.

Walaupun Ada Pergerakan Seperti Yoga, Pilates Diharuskan Dalam Islam
Kurang jelas bagaimana senaman Pilates mula diperkenalkan di Malaysia. Namun ia menjadi salah satu senaman yang paling popular selepas pandemik COVID-19, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Malah banyak studio Pilates telah dibuka lebih-lebih lagi di ibu kota, antaranya:
- Hills Pilates
- Liberté Pilates
- Tone Reformer Pilates
- Urban Spring Pilates
- Pavilion Pilates
- Bliss Pilates
- La Pilates
Sementara itu, walaupun pilates merangkumi pergerakan seperti yoga, Pegawai Hal Ehwal Islam Al-Hafiz Ishak menjelaskan bahawa hukum senaman Pilates adalah harus.
Ini kerana ia tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain dan boleh dipraktikkan selagi mana ia dilakukan di kawasan tertutup tanpa percampuran antara peserta lelaki dan perempuan.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Pilates Haram Seperti Senaman Yoga? Ini Penjelasannya
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tujuh Studio Pilates Di KL Anda Patut Terokai!
Baca Artikel Berkaitan: Girls, Jom Pergi 8 Gym Ini Yang Ditubuhkan Buat Para Wanita Sahaja
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.