Now Reading
Tular Kanak-Kanak Lumpuh Akibat Bermain Trampolin, Ini Risiko Yang Ibu Ayah Kena Tahu

Tular Kanak-Kanak Lumpuh Akibat Bermain Trampolin, Ini Risiko Yang Ibu Ayah Kena Tahu

American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan agar kanak-kanak tidak dibenarkan bermain trampolin, melainkan jika menggunakan peralatan khas dan dengan bimbingan jurulatih profesional.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat ibu ayah yang selalu membawa anak-anak ke taman tema indoor, pasti menyedari salah satu permainan yang disediakan ialah trampolin.

Walaupun peraturan telah ditampalkan agar trampolin tidak dimain oleh ramai kanak-kanak dalam satu masa, namun ramai masih mengambil remeh peringatan itu.

Malah, kanak-kanak juga sering dibiarkan bermain trampolin sesama sendiri tanpa pengawasan orang dewasa.

Namun trampolin sebenarnya mempunyai risiko berbahaya buat anak-anak jika tidak digunakan dengan betul.

Baca Artikel Berkaitan: 5 Tempat Menarik Untuk Anda Lakukan Aktiviti ‘Indoor’ Sekitar Lembah Klang

Baca Artikel Berkaitan: 10 Lokasi Menarik Untuk Bawa Anak Anda Sempena Cuti Sekolah. Jom!

Kanak-Kanak Lumpuh Kerana Salah Mendarat Pada Trampolin

Baru-baru ini, tular hantaran yang tidak diketahui pemilik asalnya, namun tentang anaknya yang tercedera sewaktu bermain trampolin.

Katanya, kanak-kanak itu hanya melompat seperti biasa di atas trampolin sebelum tiba-tiba tidak dapat bangun semula.

Malangnya hasil imbasan yang dijalankan mendapati tulang belakangnya patah yang berlaku akibat mendarat dengan cara yang salah di atas trampolin.

Tambahnya lagi, doktor menerangkan bahawa tulang belakang kanak-kanak belum cukup kuat untuk menyerap hentakan yang berulang kali.

“Bila lompat secara berturut-turut, tulang yang masih berkembang boleh tercedera walaupun dari luar nampak okay,” katanya.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada trampolin sememangnya berbahaya buat kanak-kanak atau ia hanya kemalangan yang jarang berlaku.

View on Threads

Lebih 1 Per 3 Kanak-Kanak Mengalami Retak Tulang Lengan Kerana Terjatuh Ketika Bermain Trampolin

Mungkin ramai yang menganggap kecederaan disebabkan oleh trampolin tidaklah begitu serius dan hanya membabitkan lebam atau luka kecil.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatric Emergency Care, data antara tahun 2009 hingga 2018 di Amerika Syarikat mendedahkan lebih 800,000 kanak-kanak yang tercedera ketika menggunakan trampolin.

Kebanyakan daripada mereka berumur bawah 16 tahun dan berlaku di rumah masing-masing.

Daripada jumlah kecederaan itu, 34% membabitkan retak tulang panjang pada bahagian bawah dan atas badan, terutamanya radius dan ulna (pada lengan) yang berlaku kerana terjatuh di atas tangan yang sedang terhulur keluar.

20% Kanak-Kanak Cedera Pada Kepala & Leher Akibat Bermain Trampolin

Lebih daripada 36,000 (4.5%) kes menyebabkan kemasukan ke hospital. Malah, sekurang-kurangnya seorang daripada lima kanak-kanak mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan leher.

Konkusi juga sentiasa berlaku akibat perlanggaran ketika bermain trampolin. Kecederaan pada otak ini boleh menyebabkan kanak-kanak sakit kepala, pening, nausea, serta mengganggu tidur, pemikiran dan prestasi di sekolah.

Kanak-kanak juga boleh mengalami pelbagai kecederaan lain termasuk kerosakan pada organ dalaman.

Sumber gambar: Pexels

Sehingga 30% Kecederaan Akibat Trampolin Perlu Menjalani Pembedahan

Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), trampolin mempunyai risiko tinggi untuk menyebabkan kecederaan serius termasuk tulang patah dan kecederaan pada ligamen yang memerlukan pembedahan.

Pakar bedah ortopedik kanak-kanak di Mayo Clinic, William J. Shaughnessy, berkata sekitar 20% ke 30% kecederaan akibat trampolin perlu dirawat menerusi pembedahan.

“Kebiasaannya sesetengah keretakan berakhir dengan pembedahan, terutamanya fraktur suprakondilar pada tulang humerus.

“Atas sebab tertentu, tulang itu senang patah apabila seseorang jatuh di atas tangan yang terhulur keluar, yang selalunya berlaku bila kanak-kanak cuba menyelamatkan diri mereka sendiri,” jelasnya.

Sumber gambar: Unsplash

Malah seperti yang dikongsikan pada awal artikel, AAP turut meletakkan lumpuh sebagai salah satu risiko trampolin, serta kecederaan yang boleh membawa maut.

Walaupun tulang retak atau patah boleh sembuh, namun ia berpotensi menyebabkan kesan berpanjangan termasuk kerosakan saraf.

Oleh yang demikian, AAP menyarankan agar kanak-kanak tidak dibenarkan bermain trampolin, melainkan jika menggunakan peralatan khas dan dengan bimbingan jurulatih profesional.

Kanak-Kanak Boleh Tercedera Ketika Bermain Trampolin Jika Dia Yang Paling Kecil

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana kecederaan boleh berlaku akibat trampolin walaupun langkah keselamatan telah diatur.

Kebiasaannya, kanak-kanak boleh tercedera ketika bermain trampolin apabila:

  • Dia yang paling kecil dalam kalangan kanak-kanak yang bermain trampolin. Saiz dan berat badan yang sangat berbeza antara kanak-kanak adalah amat berbahaya.
  • Berlanggar dengan kanak-kanak lain yang melompat pada masa sama.
  • Mendarat dengan salah di atas trampolin.
  • Jatuh daripada atas trampolin ke atas tanah.
  • Terlompat dengan tinggi disebabkan oleh momentum trampolin yang dihasilkan oleh kanak-kanak lain.
  • Cuba melakukan gerakan berisiko seperti berpusing (somesaults).
  • Terjatuh pada bahagian spring, cangkuk atau kerangka trampolin.

Dengan itu, Shaughnessy mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelak kecederaan akibat bermain trampolin, antaranya:

  • Memastikan trampolin yang dipasang dirumah mempunyai jaring yang boleh mengurangkan kadar fraktur sehingga separuh.
  • Hanya membenarkan seorang kanak-kanak bermain trampolin pada satu masa.
  • Mendidik kanak-kanak agar tidak melompat ke atas trampolin dari tempat yang tinggi kerana boleh menyebabkan kecederaan serius.
  • Jika mempunyai insurans, semak semula kerana kebanyakan polisi tidak boleh digunakan bagi kecederaan trampolin.
Sumber gambar: Pexels

Lebih Separuh Kemalangan Trampolin Berlaku Di Bawah Pengawasan Orang Dewasa

Menurut The Royal Society for the Prevention (RoSPA), trampolin tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah usia enam tahun kerana fizikal mereka masih belum berkembang secukupnya untuk mengawal lantunan.

Walaupun ramai yang mencadangkan pengawasan oleh orang dewasa, namun perkara ini tidak menjamin keselamatan kanak-kanak.

Ini kerana lebih separuh kemalangan di trampolin tetap berlaku walaupun kanak-kanak bermain di bawah pengawasan orang dewasa.

Sebaliknya, ‘spotter’ yang terlatih boleh mengurangkan risiko kecederaan dengan banyak.

Orang Dewasa Juga Berisiko Tercedera Akibat Trampolin

Kecederaan akibat trampolin bukan hanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, tetapi turut dialami oleh golongan dewasa.

Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan pada 2022, kecederaan akibat menggunakan trampolin semakin banyak berlaku melibatkan individu berumur lebih 16 tahun.

Kecederaan yang berlaku kebiasaannya adalah pada bahagian bawah tubuh badan dan kebanyakan mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Walaupun kecederaan serius jarang berlaku dalam kalangan pengguna lebih 16 tahun, namun ia boleh sehingga menyebabkan kecacatan jangka panjang.

Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kanak-kanak Dikasari Budak Lain Di Taman Permainan, Ramai Gesa Ibu Bapa Sentiasa Pantau Anak

Baca Artikel Berkaitan: “Taman Kucing Ke Kanak-kanak?” – Individu Tegur Ibu Bapa Biar Anak Main Di Taman Khas Kucing Raih Perhatian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd