“Nanti Ada Duit Pakai Braces K” – Wanita Ini Dedah Ditegur Netizen Tentang Senyuman Nampak Gigi
Menurut wanita dikenali sebagai Khayr, individu itu telah memintanya untuk membuat simpanan agar dapat memakai braces bagi membetulkan kedudukan gigi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam kehidupan yang moden ini, rata-rata masyarakat setempat menggunakan gajet canggih serta media sosial dalam rutin harian mereka.
Ada yang menggunakannya ke arah kebaikan sebagai contoh berkongsi ilmu, menyebarkan kesedaran tentang sesuatu topik, berniaga dan banyak lagi. Bagaimanapun masih ada yang kurang sensitif dan tidak menjaga perasaan orang lain semasa berinteraksi dengan individu lain dalam dunia siber.
Contoh mudah anda boleh perhatikan apabila sesetengah netizen bertindak mengecam individu dengan ayat-ayat kesat secara terbuka misalnya di laman X (Twitter).
Bukan sahaja mengutuk, bahkan ada juga yang dengan sengaja menggunakan platform itu untuk menyindir warganet lain.
Baca Artikel Berkaitan: “Orang Puji, Kita Buka Aib Pula” – Ibu Ayah Perlu Henti Sikap Malukan Anak Di Hadapan Orang
Baca Artikel Berkaitan: Hentikan Amalan ‘Spill The Tea’, Dr Zulkifli Perjelas Hukum Sebarkan Aib Di Khalayak Ramai
Baca Artikel Berkaitan: “Kena Bijak Guna Media Sosial” – Wanita Ini Tegur Individu Sebar Aib Sendiri Guna Trend Di TikTok
Netizen Sesuka Hati Minta Wanita Jangan Senyum Nampak Gigi
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Threads apabila seorang wanita dikenali sebagai Khayr berkongsi beberapa tangkap layar daripada mesej peribadi yang diterima di akaun media sosial miliknya.
Namun perkara yang diperkatakan oleh individu itu adalah agak pelik. Tidak pasti sama ada ia satu pujian atau sindiran kepada wanita tersebut. Menerusi foto itu, kelihatan individu terbabit telah menegur Khayr tentang senyumannya.
“Dik, maaf akak tanya. Kalau boleh senyum jangan nampak gigi,” kata individu berkenaan.
Apabila ditanya mengapa, netizen itu dengan selamba meminta Khayr untuk membuat simpanan agar dia boleh memakai braces (pendakap gigi).
Walaupun Khayr dengan sopan menolak permintaan tersebut, tetapi individu itu masih berkeras dengan pandangannya.
“Nanti ada simpanan lebih awak buat ya (pakai braces). Pakai okay? Mesti cun. Sebab lagi okay kalau (senyum) tak nampak gigi,” ujarnya lagi.
Wanita Yang Menegur Bukan Kenalan Rapat
Jelas Khayr, dia tidak mengenali wanita itu secara peribadi tetapi hanya kenalan di media sosial. Meskipun individu tersebut pada awalnya sudah meminta maaf, namun ayat-ayat seterusnya yang seperti sindiran itu membuatkan Khyar berasa geram.
“Dapat ‘pujian’ ni masa waktu pagi. Sepatah dua kata untuk dia yang datang entah dari mana tiba-tiba bagi nasihat,” kata Khayr di ruangan kapsyen.
Khyar juga memberitahu bahawa dia tidak melayan permintaan dan perbualan bersama wanita berkenaan kerana ia tidak memberi apa-apa faedah kepada dirinya.
View on Threads
Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Tentang Aksi Wanita Yang Menegur Tentang Gigi
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai mempersoal tindakan individu yang dilihat seakan tidak rasa bersalah selepas menegur tentang penampilan orang lain.
“Biadab gila cara dia approach pun,” kata seorang gadis.
“Speechless aku baca. Berani gila ya. Kawan kerja ke tu? Kalau ada kawan kerja macam ni, memang kekok dah lepas tu,” tambah seorang lagi individu.
Malah, segelintir individu berkata Khayr sepatutnya hanya membiarkan sahaja mesej berkenaan tanpa sebarang balasan.
“Tak payah balas. Dia nak valid kan kata-kata kononnya pujian tu,” ujar seorang pengguna Threads.
Sementara itu, ramai juga memberi idea tentang ayat balasan yang perlu diberi kepada wanita berkenaan.
“Reply je, ‘Saya tak perlukan nasihat awak. Terima kasih kasih tapi no thanks. Saya yakin dengan diri saya’,” kata seorang netizen.




Tegur Penampilan Seseorang Adalah Topik Yang Sensitif
Memang betul, jika kita ingin menegur seseorang adalah lebih baik untuk melakukannya secara peribadi. Namun perkara tersebut wajar dilakukan sekiranya individu terbabit jelas melakukan sebarang kesalahan.
Jika melibatkan penampilan, adalah lebih baik untuk tidak berkata apa-apa kerana ia merupakan satu topik yang sensitif terutamanya jika anda tidak mengenali orang itu.
Kebiasaannya, perkara tersebut ditegur oleh kenalan rapat sahaja. Pun begitu, perlu diingatkan bahawa kenalan rapat bukanlah tiket untuk anda menilai dan menyindir seseorang.
Apa-apa pun, gunalah media sosial dengan baik dan bijak. Sebarkan perkara positif, bukan negatif.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.