Wanita Kongsi 4 Kaedah Pembelajaran Awal Kanak-Kanak Yang Ditawarkan Oleh Tadika Swasta
Antara kaedah pembelajaran awal kanak-kanak yang ditawarkan oleh tadika swasta termasuklah Montessori dan HighScope.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ibu ayah mesti mahukan yang terbaik untuk anak-anak sejak kecil lagi, termasuklah dari segi pendidikan awal.
Namun sebelum menghantar anak ke tadika atau ‘playschool’, penting untuk ibu ayah mengetahui tentang kaedah berbeza pendidikan awal kanak-kanak.
Sebenarnya bukan semua kaedah pendidikan awal mementingkan tahap akademik semata-mata, tetapi mengutamakan pembangunan emosi dan sosial kanak-kanak.
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Luah Pengalaman Buruk Hantar Anak Ke Tadika, Ibu Lain Kongsi Tadika Cina Lebih Bagus & Prihatin
Baca Artikel Berkaitan: Video Simulasi Culik Di Tadika Terima Pujian Ramai Hingga Raih 16 Juta Tontonan
Ini 4 Kaedah Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Seorang wanita yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak, Dila Khairuddin, telah menerangkan mengenai kaedah berbeza pendidikan menerusi laman Thread (@dilakhairuddin).
Sebagai info, terdapat pelbagai kaedah pendidikan awal kanak-kanak yang dipraktikkan di rata-rata tadika swasta di dalam negara.
Berikut merupakan empat kaedah pendidikan awal yang telah diperkenalkan buat kanak-kanak dan bukan sekadar mementingkan pembangunan akademik.
#1. Montessori
Kaedah pendidikan Montessori merupakan satu program yang mengutamakan kanak-kanak untuk belajar membuat kerja rumah dengan sendiri sejak kecil.
Menurut pengasasnya, Dr Maria Montessori, kanak-kanak sebenarnya boleh mempelajari sesuatu jika melakukan perkara tersebut di tempatnya sendiri (station).
Mereka juga akan mempelajari daripada kesilapan dan memperbetulkan kesalahan itu sendiri sehingga berjaya menyelesaikan suatu tugasan.
Sebaliknya tugas pendidik hanyalah untuk membimbing kanak-kanak yang banyak melakukan aktiviti ‘hands-on’.
Berdasarkan American Montessori Society (AMS), terdapat lima bidang kajian utama yang ditawarkan iaitu kehidupan praktikal, sensori, matematik, bahasa dan kajian budaya.
Di bawah kaedah ini, kanak-kanak boleh mempelajari sesuatu secara bersendirian mahupun di dalam berkumpulan, dan mereka akan memilih sendiri aktiviti yang diminati.
Bahan pembelajaran yang boleh dibentuk digunakan di kelas bagi membantu kanak-kanak untuk meneroka semangat, konsep, dan kemahiran baharu dalam pendekatan pembelajaran secara langsung.

#2. Reggio Emilia
Di samping itu, kaedah Reggio Emilia merupakan satu pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang diasaskan di Itali.
Menurut Dila, di bawah kaedah ini cikgu perlu mendidik murid berdasarkan minat mereka. Sebagai contoh jika seorang kanak-kanak ingin mempelajari tentang serangga, cikgu perlu mengajar perkara itu.
Kaedah ini juga sering menggunakan seni dan kreatif di dalam kelas kerana merasakan kanak-kanak sebagai makhluk yang berkemampuan dan kreatif.
Menerusi ruang kreatif (atelier) dan guru artistik (atelierista), kanak-kanak dapat belajar dengan meneroka idea dan melakukan projek tertentu.
Kaedah yang diperkenalkan oleh Loris Malaguzzi ini bertujuan untuk memperkaya kanak-kanak secara holistik sambil mempertimbangkan potensi emosi dan intelektual mereka.
Aktiviti kelas selalunya bersifat kolaboratif yang membolehkan kanak-kanak menjalin hubungan yang sihat antara satu sama lain.

#3. Walforf
Satu lagi kaedah pendidikan awal kanak-kanak ialah Waldorf yang berasaskan alam semula jadi tanpa pengintegrasian teknologi.
Dila berkata, di bawah kaedah ini kanak-kanak akan belajar menerusi bermain, melukis, mendengar muzik dan menikmati zaman waktu kecil.
“Tak boleh sesekali nak tergesa-gesakan zaman kanak-kanak mereka. Sangat indah tapi tak boleh pakai untuk ibu bapa (yang utamakan) 3M,” jelasnya.
Kaedah pendidikan awal Waldorf menggabungkan pembelajaran struktur dan kreatif serta memberi tumpuan ke atas kajian intelektual.
Pengasasnya Rudolf Steiner memperkenalkan kaedah ini untuk membina kemahiran praktikal dan seni kanak-kanak, serta menekankan aktiviti dan luar dan kreativiti.
Waldorf merupakan salah satu kaedah pendidikan awal yang memacu pertumbuhan emosi, fizikal dan intelektual kanak-kanak.

#4. HighScope
Satu lagi kaedah pendidikan awal kanak-kanak ialah HighScope yang mempunyai rutin tersendiri setiap hari, di mana mereka boleh memilih apa yang ingin dilakukan berdasarkan topik ditetapkan oleh cikgu.
Kata Dila, mereka mempelajari dengan lebih cemerlang menerusi permainan aktif dan membuat keputusan sendiri.
“Konsep dia walaupun bermain, tapi ada disiplin dan rutin sebab kanak-kanak memerlukan rutin untuk berfungsi dengan terbaik,” ujarnya.
Berdasarkan laman web HighScope, kaedah ini menggunakan amalan yang disokong oleh bukti untuk melibatkan kanak-kanak secara aktif dan membangunkan kemahiran agar bersedia bagi persekolahan.
Ia menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh di mana kanak-kanak digalakkan untuk meneroka bahan pembelajaran serta berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
Persekitaran ini juga dapat memupuk pembangunan kemahiran kognitif dan membina ikatan kebudayaan, emosi dan sosial.

Pra Sekolah KPM Terapkan Pelbagai Kaedah Pembelajaran
Sebenarnya bukan ini sahaja kaedah pendidikan awal kanak-kanak yang boleh dipraktikkan. Antara kaedah lain ialah:
- Kerja sama ibu ayah (Parent Cooperative)
- Bank Street
- Pendidikan berasaskan kepercayaan (Faith-based)
- Ascend
Sekadar info, berdasarkan pengalaman penulis menghantar anak ke pra sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), institusi tersebut bukan sekadar memberi fokus dari segi akademik.
Namun terdapat banyak kaedah pembelajaran yang diterapkan termasuklah aktiviti membabitkan penyediaan makanan, kreativiti dan kraftangan serta berasaskan agama.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Terbaik Buat Ibu Bapa Pilih Taska Terbaik Untuk Anak-Anak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â