“Lapar La Ibu..” – Rider Kongsi Kisah Wanita Tak Cukup Duit Nak Beri Anak Makan
Menurut rider ShopeeFood dikenali sebagai Paktam, wanita yang membeli makanan itu tidak mempunyai wang tunai serta simpanan di dalam bank untuk membayar pesanan tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap manusia diuji dengan cabaran dan halangan berbeza. Ada individu dibesarkan dalam keadaan serba mewah dan sesetengah daripada kita perlu menghadap hidup susah yang penuh dengan liku-liku kehidupan.
Dalam sesetengah kes, ada keluarga yang terpaksa mengikat perut dalam tempoh masa yang lama kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi mendapatkan makanan.
Walaupun kendengaran hiba dan memilukan, namun itulah realiti kehidupan masyarakat yang masih dilihat berlaku sehingga kini.
Rider ShopeeFood Kongsi Situasi Ketika Hantar Makanan
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook, apabila seorang penghantar makanan ShopeeFood dikenali sebagai Paktam Perus berkongsi satu situasi semasa menghantar pesanan pelanggan.
Menurut lelaki itu, kisah seorang pembeli telah membuatkannya sebak. Apabila tiba di rumah pelanggan yang membeli makanan menggunakan kaedah COD (cash on delivery) tersebut, si wanita itu berkata dia tidak sedar dirinya tidak mempunyai wang tunai untuk membayar makanan berkenaan.
Jelas Paktam, wanita itu boleh membuat transaksi menerusi kod QR, tetapi wanita berkenaan berkata dia juga tidak mempunyai wang di dalam akaun simpanan bank.
Anak Pembeli Mengadu Lapar & Tak Sabar Tunggu Makanan Sampai Di Rumah
Selepas mengeluh sebentar, Paktam tiba-tiba mendengar anak kepada pembeli mengadu kelaparan.
“Ibu makanan dah sampai ke? Lapar la ibu, ya Allah time tu aku rasa nak gugur jantung menggeletar lutut aku,” kongsinya.
Perkara itu membuatkan hati Paktam terjentik dan berasa sayu melihat masyarakat yang hidup susah. Berasa simpati dengan nasib keluarga berkenaan, rider itu bertindak membelanja makanan yang dihantar.
“Tak apa saya halalkan dunia akhirat. Akak doakan je keluarga saya sihat murah rezeki selalu,” katanya kepada si wanita.
Rider Rasa Insaf Tengok Ada Orang Yang Lebih Susah
Paktam dalam masa sama meluahkan rasa insaf melihat kehidupan orang lain yang lebih susah dan diuji dalam bentuk rezeki.
“Dalam perjalanan macam-macam aku berfikir. Susah-susah aku ade lagi yang lagi susah. Mesti akak tu tau dia tak ada duit. Anak dah lapar mungkin dengan cara ni dia dapat bagi anaknya makan.
“Ni satu pengajaran juga dekat aku untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Macam-macam hal dunia, macam-macam cara Allah SWT nak uji kita,” kata Paktam di akhir perkongsian.

Lihat hantaran penuh [DI SINI].
Orang Ramai Puji Rider Kerana Belanja Makan Kepada Keluarga Yang Susah
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai dilihat memberi pelbagai reaksi tentang perkongsian tersebut. Rata-rata daripadanya turut berasa insaf selepas mendengar anak yang mengadu kelaparan.
Malah, ramai juga memuji Paktam kerana sudi dan tidak berkira untuk membelanja anak-beranak itu makan.
“Kau lulus ujian Allah bagi bang,” ujar seoran netizen.
Sementara itu, para netizen juga tidak terlepas mendoakan agar Paktam dilimpahkan rezeki yang berpanjangan.
“Betul la tu. Itu kelebihan Allah beri jiwa Muslim. Nilai dia tak ada dekat dunia tapi akhirat kelak. Moga Paktam dilimpahkan rezeki yang luas dalam pelbagai bentuk,” kata seorang pengguna Facebook.



Besar Ganjaran Kongsi Rezeki Dengan Orang Yang Susah
Sebagai seorang manusia yang prihatin, tidak salah untuk kita berkongsi rezeki buat golongan memerlukan jika mempunyai rezeki lebih.
Sebelum ini, satu eksperimen sosial mendedahkan kebaikan orang ramai selepas sudi membelanja makanan buat kanak-kanak yang mengidam makanan segera.
Menerusi video tersebut, kelihatan ibu kepada anak kecil itu bertanya kepada staf yang berada di kaunter tentang makanan paling murah dijual di sana. Jelas pekerja lelaki itu, menu berharga RM5 sudah pun kehabisan stok dan hanya makanan berharga RM7 ke RM8 sahaja yang tinggal.
Walaupun sudah menjelaskan bahawa si ibu tidak mempunyai wang mencukupi, namun si kecil masih mahukan makanan berharga melebihi RM5.
Melihat situasi pilu di mana si ibu tidak dapat membelikan anaknya makan, pekerja berkenaan menghulurkan sedekah dengan memberikan mereka baucar yang belum lagi digunakan.
Baca Artikel Berkaitan: “Ibu Tak Cukup Duit” – Tindakan Individu Belanja Kanak-kanak Makan Buat Ramai Sebak
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Rider Makan Nasi Sambil Tunggu Lampu Isyarat Bikin Ramai Ramai Sebak
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Eksperimen Sosial Lelaki Tak Makan 2 Hari, Ramai Individu Tampil Kongsi Rezeki
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.