Now Reading
Tindakan & Usaha Untuk Meramal Tarikh Hari Kiamat Adalah Tak Wajar – Pejabat Mufti WP

Tindakan & Usaha Untuk Meramal Tarikh Hari Kiamat Adalah Tak Wajar – Pejabat Mufti WP

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pendakwah dan institusi agama memainkan peranan penting dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat dengan mengembalikan perbincangan akhir zaman kepada kerangka ilmu yang muktabar serta berpandukan maqasid syariah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari Kiamat merupakan hari pengakhiran bagi semua makhluk di muka bumi ini sebelum dihimpunkan semula untuk dinilai amalannya.

Setiap umat Islam turut diwajibkan untuk percaya pada Hari Kiamat dan ia juga termaktub di dalam rukun iman yang kelima.

Selain itu, setiap umat Islam turut diceritakan mengenai Hari Kiamat serta tanda-tanda bagi kiamat kecil dan besar untuk membuat persediaan dengan meningkatkan lagi ibadah dan pahala.

Walau bagaimanapun Hari Kiamat merupakan salah satu rahsia Allah SWT yang tidak akan diketahui bila akan berlaku.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: “Kita Ada Peluang” – UAI Kongsi 3 Perkara Yang Bolehkan Manusia Bangkit Berpakaian Di Hari Akhirat [Video]

Tak wajar ramal hari kiamat

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mendapat soalan daripada seorang individu apabila penyebaran mengenai tanda-tanda besar kiamat yang menular di media sosial namun ia tidak disampaikan dengan sandaran ilmu yang sahih.

“Penyebaran ini mencetuskan cerita sensasi yang mengelirukan masyarakat tentang ramalan waktu berlakunya akhir zaman. Persoalannya, sejauh manakah kewajaran membahaskan isu-isu seperti ini kepada khalayak umum?” soalnya.

Jelas Pejabat Mufti Wikayah Persekutuan, penyebaran maklumat mengenai tanda-tanda besar kiamat seperti pembunuhan berleluasa, kemunculan al-Mahdi, Dajal serta Yakjuj Makjuj semakin menjadi perhatian.

Penyebaran tanpa ilmu sahih beri kekeliruan akidah, kiamat adalah ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah SWT

Namun perbincangan berhubung perkara itu sering kali tidak disampaikan dengan ilmu yang sahih, bahkan ia cenderung untuk bersifat sensasi serta emosi dan mengelirukan orang ramai.

“Menyampaikan isu-isu akhir zaman tanpa panduan wahyu dan disiplin ilmu yang tepat bukan sahaja membuka ruang kepada kekeliruan akidah, malah turut menjejaskan matlamat utama syariah seperti pemeliharaan agama, akal, nyawa, harta dan keselamatan sosial.

“Islam menegaskan bahawa waktu berlakunya kiamat adalah ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

“Justeru itu, usaha meramal tarikh kiamat secara pasti adalah tidak wajar kerana satu bentuk pelanggaran terhadap batasan ilmu manusia dan penyimpangan daripada petunjuk wahyu,” jelasnya.

Hadis mengenai tanda kiamat bukan untuk menakutkan

Dalam penjelasan itu, ia turut menerangkan hadis-hadis mengenai tanda kiamat bukanlah untuk menakutkan umat Islam sehingga boleh melemahkan semangat dalam beramal.

Akan tetapi ia adalah panduan serta peringatan yang berperanan menggerakkan umat Islam untuk memperkukuhkan amal kebaikan dan berusaha meninggalkan segala kemungkaran dengan lebih bersungguh-sungguh.

Masyarakat perlu didikan menjauhi fahaman ekstrem, teori konspirasi dan eksploitasi yang boleh membinasakan

Katanya lagi, ulama, pendakwah serta intitusi agama memainkan peranan yang penting dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat dengan mengembalikan perbincangan akhir zaman kepada kerangka ilmu yang muktabar dan berpandukan maqasid syariah.

Bukan hanya itu, masyarakat juga perlu dididik supaya memberi perhatian yang lebih dalam amal soleh, persiapan rohani dan menjauhi fahaman ekstrem, teori konspirasi serta eksploitasi agama yang membinasakan.

Tambah laman pejabat mufti itu lagi, ini kerana ketakutan mengenai akhir zaman sering dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan mengambil kesempatan untuk menjual produk, mengutip derma atau menyebarkan agenda tersembunyi dengan menggunakan agama.

“Fenomena ini bukan sahaja merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama, malah mengancam ketenteraman awam apabila timbul kebimbangan kolektif yang tidak berasas.

“Oleh yang demikian penyampai isu-isu akhir zaman memerlukan pendekatan yang berteraskan ilmu kebijaksanaan dan berpandukan kepada tujuan syariah agar agama terus terpelihara, akal dihormati dan measyarakat dilindungi daripada kerosakan lebih besar.”

Secara kesimpulannya, perbincangan tentang perkara ghaib perlu berpijak pada dalil yang kukuh serta dihuraikan menerusi panduan para ulama yang diiktiraf.

“Menjernihkan cerita sensasi tentang akhir zaman bukan hanya usaha membetulkan kekeliruan bahkan merupakan langkah membina peradaban dengan melahirkan umat yang berilmu, mantad pegangan agaa, berpandangan jauh serta beramal dengan kesedaran bahawa masa depan bukan semata-mata untuk diramal tetapi untuk dipersiapkan dengan ilmu, keinsafan dan ketakwaan,” katanya lagi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd