Now Reading
Betul Ke Perdana Menteri & Raja Boleh Memohon Imuniti Dari Undang-Undang?

Betul Ke Perdana Menteri & Raja Boleh Memohon Imuniti Dari Undang-Undang?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman sivil.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 4 Jun 2025, permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merujuk lapan soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128 (2) Perlembagaan Persekutuan, telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Rujukan persoalan undang-undang itu dilakukan berkaitan saman sivil yang difailkan berhubung dakwaan serangan seksual oleh bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther

Baca Artikel Berkaitan: Polis Jumpa Pistol & Dadah, Bekas Pembantu Penyelidik Anwar Ibrahim Ditahan

Salah satu soalan yang dikemukakan adalah berkenaan mendapatkan imuniti daripada saman sivil. Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada seorang Perdana Menteri benar-benar mempunyai imuniti dari undang-undang.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad, Perdana Menteri memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Untuk info, Perkara 39 membabitkan kuasa eksekutif Persekutuan, Perkara 40 menjelaskan bahawa Yang Dipertuan Agong (YDPA) hendaklah bertindak mengikut nasihat, dan Perkara 43 membabitkan Jemaah Menteri.

Menurut laporan NST, pihak guaman turut memetik Perkara 5 dan 8, di samping 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kuasa pentadbiran bagi menyokong keperluan imuniti terbabit. 

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa permohonan tersebut dibuat bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan mengikut lunas Perlembagaan dan bukan semata-mata demi melengahkan perbicaraan.

Beliau turut memohon Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan sama ada Perkara 5(1) Perlembagaan membolehkan seorang Perdana Menteri mendapatkan perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaan dalam mentadbir negara.

Peruntukan Hanya Tertakluk Kepada Kuasa Pentadbiran Persekutuan

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek dalam satu kenyataan bagaimanapun menegaskan peruntukan tersebut hanya tertakluk kepada kuasa pentadbiran Persekutuan, bahawa Yang Dipertuan Agong bertindak atas nasihat dan mengenai pembentukan Kabinet.

“Ia tidak memberi mana-mana Perdana Menteri imuniti, dan sebarang cubaan untuk merangkumi perkara ini melanggar prinsip yang ditetapkan terhadap tafsiran peruntukan perlembagaan.

“Secara ringkasnya, untuk mencadangkan bahawa di negara kita, Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan mahkamah oleh orang awam adalah legal nonsense,” jelasnya.

Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri

Lapan Persoalan Tidak Memenuhi Ambang Kontroversi Perlembagaan 

Terdahulu, hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain berkata lapan persoalan perlembagaan yang cuba dirujuk oleh Anwar Ibrahim kepada Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang diperlukan.

“Dari perspektif kehakiman, soalan yang dicadangkan nampaknya tidak memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen. Apa yang jelas ialah tidak semua soalan menyentuh kualiti perlembagaan untuk rujukan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Mahkamah ini mesti berpuas hati bahawa persoalan perlembagaan adalah tulen dan material kepada penyelesaian kes ini kerana Mahkamah Persekutuan bukan forum untuk pandangan nasihat spekulatif atau defensif.

“Mahkamah ini tidak berpuas hati, jadi permohonan untuk merujuk soalan yang dicadangkan kepada Mahkamah Persekutuan ditolak,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan Perintahkan PM Penjawat Awam Yang Boleh Disaman

Menerusi penjelasan oleh ahli konstitusi GK Ganesan, Perkara 39, 40 dan 43 diwujudkan bagi menjelaskan dan membataskan fungsi eksekutif, yakni kuasa, tugas, kewajipan dan liabiliti kerajaan.

Katanya, Perkara berkenaan tidak melindungi individu eksekutif tersebut. Ini bermakna Perdana Menteri tidak dilindungi daripada saman sivil, terutamanya daripada saman yang dimulakan kerana dakwaan sebelum dia dilantik memegang jawatan tersebut.

Dia memetik kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee v bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2018, di mana Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa Perdana Menteri ialah penjawat awam yang boleh disaman atas salah laku di pejabat awam.

Mahkamah menetapkan bahawa kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara tidak langsung atas sebarang kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pegawainya.

Ganesan turut menjelaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin ‘kesamarataan’ di hadapan undang-undang. Oleh itu, pemberian imuniti kepada Perdana Menteri atas kelakuan peribadinya adalah melanggar prinsip tersebut.

Raja Juga Tidak Menikmati Imuniti Mutlak Dari Undang-Undang

Bercakap berkenaan soal imuniti, mungkin timbul juga persoalan dalam kalangan masyarakat umum sama ada golongan diraja boleh mendapatkan kekebalan dari undang-undang.

Menurut Malaysia Now, Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa hanya YDPA dan pemimpin negeri mempunyai imuniti dari saman sivil atau jenayah dalam kapasiti peribadinya, kecuali jika tuntutan tersebut dibenarkan oleh Peguam Negara.

Sumber: Perlembagaan Persekutuan

Kata Zaid, Agong juga masih boleh berhadapan dengan kes sivil dan jenayah di bawah Perkara sama.

“Ia akan menjadi tidak dapat dipertahankan dan tidak dapat diterima bagi Perdana Menteri untuk diberikan imuniti yang tidak dimiliki oleh Agong.

“Dalam keadaan ini, ia menjadi kewajipan undang-undang Peguam Negara untuk masuk campur dalam saman sivil terbabit dan menentang percubaan untuk memberi imunisasi kepada Perdana Menteri. 

“Peguam Negara sebagai penjaga kepada kepentingan awam tidak boleh mengabaikan perkara ini dan tidak melakukan apa-apa,” jelas Zaid.

Menerangkan tentang isu imuniti, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mempunyai kekebalan mutlak atau imuniti menurut sistem perundangan negara, termasuk raja-raja.

Beliau menjelaskan bahawa sesiapa yang melakukan kesalahan akan dibawa ke muka pengadilan tidak kira kedudukan atau pangkat, lebih-lebih lagi seorang ahli politik.

“Dalam negara kita, tak ada siapa pun dapat imuniti. Termasuk raja-raja. Raja pun kalau buat salah boleh dihadap ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu (4 Jun) lalu.

Sumber gambar: FB Dr. Mahathir bin Mohamad

Krisis Perlembagaan 1993 Sebabkan Imuniti Raja Berkurangan

Kekurangan imuniti yang pada suatu masa dahulu dimiliki oleh golongan raja-raja sebenarnya boleh dikaitkan dengan peristiwa ‘Krisis Perlembagaan 1993’.

Peristiwa ini terbit apabila satu laporan polis dibuat oleh jurulatih pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar Johor Douglas Gomez pada 6 Disember 1992 atas dakwaan dipukul Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Susulan itu, satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan pada 10 Disember 1992 dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba, telah membawa usul agar langkah diambil bagi menyekat kekebalan golongan diraja. Usul itu berjaya mendapat sokongan sebulat suara 96 wakil rakyat.

Pun begitu, pindaan itu bukanlah semata-mata dengan mendapatkan sokongan majoriti Dewan sahaja, memandangkan perkenan Raja-Raja Melayu masih diperlukan untuk undang-undang itu diwartakan.

Oleh yang demikian, kerajaan telah meminda Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang menyebabkan setiap rang undang-undang tetap diwartakan sebagai undang-undang selepas 30 hari dibentangkan kepada YDPA, walaupun tanpa perkenan baginda.

Perdana Menteri, YDPA & Raja Tidak Menikmati Imuniti Mutlak Dari Undang-Undang

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa Perdana Menteri mahupun YDPA sekalipun tidak menikmati kekebalan mutlak dari undang-undang negara. Setiap individu yang melanggar undang-undang boleh dihadapkan ke muka pengadilan dan berdepan saman sivil mahupun jenayah.

Malah, Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa kes sivil atau jenayah boleh dimulakan ke atas YDPA dan para sultan jika diizinkan oleh Peguam Negara.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd