[Video] Pilih Kongsi Nafkah Sama Rata Dengan Isteri, Individu Ini Tegur Sikap Sesetengah Lelaki Moden
Menerusi video berkenaan, lelaki itu menegaskan bahawa konsep 50-50 dalam urusan nafkah bercanggah dengan tuntutan agama.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam masyarakat moden hari ini, semakin ramai yang terbuka dalam membincangkan soal tanggungjawab rumah tangga. Tidak kurang juga yang mula menyuarakan keinginan agar segala urusan dan beban dalam rumah tangga dikongsi dua hala bersama pasangan.
Antara isu yang sering dibangkitkan ialah soal pembahagian nafkah atau tanggungjawab kewangan antara suami dan isteri. Walaupun ada yang melihat konsep 50-50 ini sebagai praktikal, namun ia tidak patut dijadikan kewajipan.
Seorang individu baru-baru ini tampil mempersoalkan kewajaran sikap sesetengah lelaki yang awal-awal sudah menetapkan niat mahu berkongsi tanggungjawab secara sama rata dengan isteri, khususnya dalam hal nafkah asas keluarga.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Nafkah Kepada Isteri Adalah Mengikut Kemampuan Suami – Peguam Syarie
Baca Artikel Berkaitan: “Kita Yang Sebak” – Ramai Tersentuh Dengar Pesanan Peguam Tentang Nafkah Bapa Kepada Anak [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Terangkan Suami Tidak Wajib Bagi Isteri Duit Poket Jika Sudah Sediakan 4 Perkara Ini [Video]
Konsep 50-50 Tak Kena Dengan Tuntutan Agama
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pengguna di laman TikTok (@tareqfit), dia menegur trend segelintir lelaki yang memilih untuk berkongsi hal kewangan keluarga secara 50-50 dengan isteri atas alasan ‘sama-sama bekerja’.
Di awal video tersebut turut memaparkan sedutan temubual beberapa lelaki yang ditanya tentang pandangan mereka berkenaan pembahagian tanggungjawab keluarga.
Ada yang menyatakan bahawa jika isteri bekerja, tidak salah untuk berkongsi. Seorang lagi pula menyebut siapa yang berpendapatan lebih tinggi, maka dia yang patut menyumbang lebih.
Namun, pemilik video berkenaan mempersoalkan logik ini dan menganggap ia bercanggah dengan prinsip agama Islam.
Dia memetik surah An-Nisa ayat 34 yang menjelaskan bahawa kaum lelaki adalah pemimpin kepada wanita dan bertanggungjawab menyediakan nafkah kerana kelebihan yang dikurniakan kepada mereka.
Jelasnya selepas berkahwin, sekiranya isteri ingin bekerja, itu adalah pilihannya sendiri. Namun, kewajipan suami untuk menyediakan nafkah tetap tidak berubah.
Asas seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas tetap tanggungjawab lelaki walau apa pun situasi.
Dia juga menegaskan bahawa bantuan yang diberikan isteri adalah bersifat sukarela dan tidak boleh dijadikan kewajipan.
Katanya, konsep moden yang terlalu mengikut cara hidup Barat telah menyebabkan ramai lelaki hilang arah dalam memahami peranan mereka dalam keluarga.
Netizen Setuju Suami Tetap Kena Tanggung, Bukan Harap Isteri Bayar Sama-Sama
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan yang dikongsi individu ini.
Ramai menyifatkan konsep 50-50 ini tidak sesuai dijadikan matlamat dalam perkahwinan, apatah lagi jika ia dibuat atas niat untuk ‘melepaskan’ beban sebagai suami.
Malah, ada yang berkata isteri akan bantu secara ihsan jika perlu, tetapi tidak boleh diminta atau dipaksa untuk berkongsi setiap bulan.



Ada juga yang berkongsi pengalaman peribadi, menyatakan bahawa walaupun hidup mereka sederhana, mereka bersyukur suami tetap menanggung semua keperluan asas.

Qawwam: Lelaki Pemimpin, Bukan Hanya Kongsi Beban
Sebagai lelaki, memahami agama dan tuntutannya adalah asas dalam membina rumah tangga yang stabil.
Tanggungjawab seorang suami tidak boleh diubah hanya kerana ‘zaman sudah berubah’. Malah, sifat al-Qawwam yang disebut dalam Surah An-Nisa adalah satu identiti penting bagi lelaki Muslim.
Menurut tafsiran ulama, al-Qawwam membawa maksud pemimpin, pelindung dan pengurus keluarga yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan kehidupan.
Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh terbaik dalam melaksanakan peranan ini, memimpin dengan kasih sayang, tanggungjawab dan keadilan.
Malangnya, segelintir lelaki moden tidak lagi menjadikan Nabi sebagai rujukan, sebaliknya terpengaruh dengan gaya hidup luar.
Mereka mula mempersoalkan tanggungjawab hakiki dan cuba menyesuaikan prinsip agama mengikut keselesaan sendiri.
Nafkah Tetap Wajib, Bukan Ikut Pendapatan Isteri
Satu perkara yang perlu difahami ialah nafkah keluarga tetap menjadi tanggungjawab suami walau berapa pun pendapatan isteri. Jika tidak diberi, suami akan berdosa.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, nafkah asas yang wajib meliputi:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Keperluan asas lain seperti kebersihan diri
- Pembantu rumah (jika isteri terbiasa ada dan jika suami mampu)
Kesimpulannya, jika isteri ingin membantu, itu adalah ihsan dan kasih sayang. Tetapi sebagai lelaki, kita tidak boleh menjadikan ‘trend 50-50’ sebagai alasan untuk lepas tangan.
Suami mesti bersedia memikul tanggungjawab penuh, bukan sekadar berkongsi beban.
Katanya nak bina rumah tangga dengan semangat teamwork, tapi bila masuk bab duit, tiba-tiba berkira. Jadi, cari soulmate atau housemate?
Baca Artikel Berkaitan: Suami Wajib Cari Rumah Lain Jika Isteri Tak Selesa Dengan Keluarga Mentua – UAI
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Nasihat Peguam Ini Tentang Nafkah Bapa Kepada Anak Buat Ramai Tersentap
Baca Artikel Berkaitan: Mufti Perjelas Hukum Isteri ‘Tipu’ Suami Untuk Dapat Duit Lebih
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.