‘Sesame Street’ Bakal Ditayangkan Di Netflix, Ketahui Sejarah Rancangan Kanak-Kanak Ini
Kesemua episod baharu bagi musim ke-56 Sesame Street, termasuk 90 jam episod terdahulu, akan mula ditayangkan di Netflix bermula akhir tahun ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi mereka yang membesar dalam era 80-an hingga ke awal 90-an, rancangan kanak-kanak Sesame Street merupakan salah satu siaran yang sering ditonton bagi mengisi masa lapang.
Bukan semata-mata bagi tujuan hiburan, Sesame Street turut menampilkan segmen bagi mendidik kanak-kanak termasuk dari segi pelajaran dan emosi.
Buat masa ini, Sesame Street hanya boleh ditonton secara percuma menerusi siaran PBS/ PBS Kids yang hanya tersedia di Amerika Syarikat (AS) ataupun YouTube dengan episod terhad.
Sesame Street Bakal Ditayangkan Di Netflix Bagi Penonton Di Seluruh Dunia
Terkini, Sesame Street mengumumkan kesemua episod baharunya, termasuk ‘library episode’, akan ditayangkan menerusi aplikasi Netflix kepada lebih 300 juta pelanggan seluruh dunia.
Perjanjian dengan Netflix itu ditandatangani selepas pemilik platform HBO, Warner Bros. Discovery, membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak bagi rancangan yang telah wujud sejak lebih 50 tahun lalu.
Dalam masa sama, perjanjian itu juga memastikan Sesame Street akan turut ditayangkan di stesen PBS dan platform PBS Kids di AS pada hari sama rancangan itu mula disiarkan di Netflix.
Perkara ini bukan sahaja dapat memastikan akses percuma buat pengguna di AS, tetapi turut memelihara hubungan selama lebih 50 tahun antara rancangan kanak-kanak itu dengan stesen televisyen terbabit.
Musim ke-56 rancangan Sesame Street, termasuk 90 jam episod terdahulu, akan mula ditayangkan di Netflix bermula akhir tahun ini.
“Sokongan Netflix, PBS, dan Corporation for Public Broadcasting berfungsi sebagai perkongsian antara syarikat awam dan swasta yang unik, bagi membolehkan Sesame Street terus membantu kanak-kanak di merata tempat membesar dengan lebih bijak, kuat dan baik hati,” kata Sesame Street menerusi hantaran di X.
We are excited to announce that all new Sesame Street episodes are coming to @netflix worldwide along with library episodes, and new episodes will also release the same day on @PBS Stations and @PBSKIDS platforms in the US, preserving a 50+ year relationship.
— Sesame Street (@sesamestreet) May 19, 2025
The support of… pic.twitter.com/B76MxQzrpI
Sesame Street Antara Pelaburan Terbesar Netflix Bagi Kandungan Kanak-Kanak
Portfolio kandungan kanak-kanak di Netflix kini semakin diperkukuhkan, yang merangkumi 15% daripada tontonan di platform tersebut.
Selain Sesame Street yang menjadi antara pelaburan terbesar Netflix bagi kandungan kanak-kanak, episod baharu Peppa Pig serta permainan interaktif juga bakal ditawarkan kepada pengguna Netflix.
N IS FOR NETFLIX!
— Netflix (@netflix) May 19, 2025
Sesame Street is joining the Netflix family! Brand new episodes — as well as past seasons — will premiere later this year. pic.twitter.com/SMEqHm29a2
Sesame Street Antara Rancangan Kanak-Kanak Awal Di AS Dalam Bentuk Pendidikan
Sesame Street telah ditayangkan buat pertama kali pada 10 November 1969, sekaligus menjadi antara rancangan kanak-kanak terawal di AS yang menyediakan peluang pendidikan secara tidak formal buat kanak-kanak pelbagai warna kulit di bandar-bandar republik itu.
Pengarah dokumentari ‘Street Gang: How We Got to Sesame Street’, Marilyn Agrelo, berkata rancangan televisyen bagi kanak-kanak pada tahun 1969 dahulu sangat teruk.
“Secara umumnya, program televisyen ditujukan demi menjual mainan kanak-kanak, Tootsie Rolls dan bijiran sarapan pagi, dan tiada pemikiran untuk mendidik mereka dalam apa jua cara,” katanya.
Dia menerangkan bahawa individu-individu di balik tabir Sesame Street bertujuan untuk memanfaatkan semua tenaga yang wujud di tempoh sekitar bantahan ke atas Perang Vietnam dan pergerakan hak-hak sivil sedang berlangsung.
Tambah Agrelo, mereka juga mahu menerangkan tentang keadaan dunia kepada kanak-kanak.
“Tetapi matlamat yang lebih besar adalah untuk mencapai kanak-kanak pelbagai warna kulit di pusat bandar, yang tidak mendapat peluang pendidikan sama seperti diterima kanak-kanak berkulit putih walau di pinggir bandar,” kata wanita itu.
Tayangan Sesame Street Pernah Dihentikan Oleh Stesen Televisyen Awam
Menurut laporan NPR, tayangan perdana Sesame Street dianggap kontroversial malah radikal, apatah lagi apabila ia menyaksikan terdapat pasangan Afrika Amerika yang tinggal di kejiranan sama dengan orang berkulit putih, sesuatu yang jarang berlaku ketika itu.
“Pertama kali Sesame Street ditayangkan di televisyen di Jackson, Mississippi, stesen televisyen awam menerima pelbagai aduan sehingga mereka berhenti menayangkan rancangan itu.
“Ajaibnya, sebuah stesen komersial di Jackson berkata mereka akan menayangkan rancangan itu jika televisyen awam tidak mahu berbuat demikian,” jelas Agrelo.
Sesame Street Perkenalkan Karakter Muppet Dari Pelbagai Latar Belakang
Bagi peminat rancangan Sesame Street, watak-watak ‘muppet’ seperti Elmo, Cookie Monster, Big Bird, Bert dan Ernie sememangnya mengimbau kembali memori di saat mereka ‘mendidik’ menerusi cara yang menggembirakan.
Lagu ikoniknya ‘Sunny Days’ yang kekal sehingga kini menjadi jingle yang tidak boleh dilupakan oleh para penonton.
Di samping itu, Sesame Street merupakan antara salah satu rancangan kanak-kanak yang awal menampilkan karakter dari pelbagai latar belakang, termasuk etnik dan agama.

Seperti pada tahun 2016, rancangan itu memperkenalkan muppet dari Afghanistan (salah satu negara paling Islam di dunia) yang digelar sebagai Zari, dalam masa sama memberi fokus kepada pemerkasaan kanak-kanak perempuan.
Malah pada tahun 2017, muppet yang digelar Julia menjadi karakter pertama dalam dunia Sesame Street yang menghadapi autisme.
Usaha Sesame Street dalam menjalankan tanggungjawab sosial tidak terhenti di situ sahaja apabila sepasang muppet kembar iaitu Noor dan Aziz telah diperkenalkan pada tahun 2020 bagi mewakili kanak-kanak pelarian Rohingya.
Dengan Sesame Street yang bakal tiba di Malaysia menerusi Netflix tidak lama lagi, ia semestinya menjadi antara pilihan rancangan yang ibu bapa boleh tontonkan pada anak-anak.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



