Ini 19 Muzium Yang Anda Boleh Masuk Percuma Pada 18 Mei Ini!
Kesemua muzium tersebut terletak di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia yang termasuk Muzium Negara, Muzium Tekstil, Muzium Perak dan Muzium Kota Kuala Kedah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Khazanah sejarah dan budaya merupakan harta penting bagi sesebuah negara dan perlu dipelihara agar dapat dikenali oleh generasi-generasi akan datang.
Dalam memastikan perkara ini, muzium memainkan peranan penting dalam menyimpan pelbagai khazanah dan warisan negara yang tidak ternilai termasuklah artifak sejarah, budaya serta flora dan fauna.
Malah, muzium juga menjadi platform bagi tujuan pendidikan sejarah dan budaya buat masyarakat awam, di samping berperanan sebagai tarikan pelancongan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Boleh Beri Pengajaran” – Aksi Sebatan Di Muzium Penjara Boleh Buat Anak Kecil Insaf
Masuk Percuma Ke Semua Muzium Di Bawah JMM 18 Mei Ini
Pada 18 Mei ini, kesemua muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan dibuka secara percuma buat orang ramai.
Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago anak Dagang, tawaran itu dibuka sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang bertemakan “Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas”.
Beliau menyifatkan tawaran itu sebagai peluang terbaik buat masyarakat untuk menyelami kekayaan sejarah, kepelbagaian budaya, dan semangat perpaduan yang menjadi teras identiti negara.
Ini Senarai 19 Muzium Di Bawah JMM
Di sini kami kongsikan senarai 19 muzium terbabit yang boleh dikunjungi secara percuma pada 18 Mei ini.
#1. Muzium Negara Kuala Lumpur
Merupakan muzium termasyhur di Malaysia dan salah sebuah yang terulung di Asia Tenggara, bangunan Muzium Negara berasaskan seni bina Istana Raja-raja Melayu.
Idea penubuhan muzium dengan empat galeri utama ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj.

#2. Muzium Etnologi Dunia Melayu
Terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Muzium Etnologi Dunia Melayu menampilkan kepelbagaian aspek sosio-budaya masyarakat Melayu di Malaysia menerusi koleksi artifak berestetika tinggi.
Antara koleksi menarik yang dipamerkan di galeri ini termasuklah pakaian Cik Siti Wan Kembang, pelaminan Perak, watak-watak wayang kulit dan pelbagai jenis replika perahu.

#3. Muzium Seni Kraf Orang Asli
Terletak berhampiran Muzium Negara, Muzium Seni Kraf Orang Asli mengumpul bahan-bahan seni kraf masyarakat Orang Asli yang mempunyai kaitan dengan cara hidup, budaya dan kepercayaan mereka.
Terdapat lapan segmen di muzium ini yang mengambarkan kehidupan dan seni kraf Orang Asli seperti latar belakang Suku Kaum Orang Asli, ukiran patung, ukiran topeng, aksesori pakaian dan anyaman.

#4. Muzium Automobil Nasional
Muzium Automobil Nasional yang terletak di Welcome Centre Litar Antarabangsa Sepang mempamerkan sejarah perkembangan sistem pengangkutan Malaysia dan kemasukan kereta-kereta terawal seperti Brushmobile 1904, Ford Speedster 1923 dan Alvis Tourer 1935.
Terdapat juga segmen Litar Antarabangsa Sepang yang menonjolkan aktiviti-aktiviti tahunan dalam sukan permotoran seperti perlumbaan F1, Superbike World Championship dan MotoGP.

#5. Muzium Labuan
Bangunan Muzium Labuan yang terletak di Jalan Dewan, Labuan dahulunya menempatkan Pejabat Pentadbiran Kolonial British dan kini mempunyai 707 koleksi artifak sejarah dan etnologi.
Antara tarikan menarik di muzium ini ialah artifak batu (stone quern) zaman neolitik yang ditemui di Pulau Burong, koleksi persenjataan perang dunia seperti senjata pemusnah kapal selam dan replika rumah suku kaum Kadayan.

#6. Muzium Marin Labuan
Berkonsepkan pameran hidupan laut, Muzium Marin Labuan merupakan muzium pertama seumpamanya di Malaysia yang berperanan dalam memberi maklumat dan pengetahuan tentang hidupan laut yang terdapat di perairan Borneo khususnya di Labuan.
Sebanyak 14 buah akuarium pelbagai saiz ditempatkan di muzium yang terletak di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan itu. Terdapat juga satu kolam sentuh yang membolehkan pengunjung untuk menyentuh spesies hidupan laut di air cetek sperti yu pasir, yu black tip, belangkas, tapak sulaiman, siput-siput dan ikan pari.

#7. Muzium Chimney
Juga terletak di Labuan, Muzium Chimney mempamerkan mengenai sejarah Tanjung Kubong dan sejarah perlombongan arang batu di Labuan pada sekitar tahun 1847 sehingga tahun 1911.
Menara Chimney yang terletak di sana dikenali sebagai “Punil” oleh masyarakat tempatan dan merupakan mercu tanda bersejarah yang membuktikan era kepesatan perlombongan arang batu di Labuan.

#8. Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Ditempatkan di Bukit Batu Pahat, Kedah, Muzium Arkeologi Lembah Bujang merupakan satu-satunya muzium dalam negara dengan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara.
Ribuan koleksi arkeologinya yang merangkumi bahan dagangan oleh pedagang Arab, China, India dan Kepulauan Melayu menjadi bukti Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan utama di Asia Tenggara.

#9. Muzium Kota Kuala Kedah
Muzium Kota Kuala Kedah memperagakan 60 koleksi artifak arkeologi, seramik dan batu bata bagi memperingati sejarah kota dibina di tebing muara Kedah sebagai benteng pertahanan bagi negeri itu.
Mula dibina pada tahun 1771 semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa, kota itu juga pernah diserang oleh Bugis, Aceh dan Siam, sebelum diwartakan oleh JMM pada 1978 sebagai Tapak Tanah Bersejarah.

#10. Muzium Kota Kayang
Satu-satunya muzium di bawah JMM yang terletak di Perlis, Muzium Kota Kayang didirikan tapak kota istana tempat bersemayam keluarga diraja Kedah-Perlis pada zaman dahulu kala.
Terdapat enam galeri di muzium ini iaitu Galeri Sejarah Perlis, Galeri Arkeologi, Galeri Senjata, Galeri Kebudayaan, Galeri Menteri Besar serta Galeri Diraja yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad SAW.

#11. Muzium Perak
Merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia, idea penubuhan Muzium Perak dicetuskan oleh Residen British Ketiga Perak Sir Hugh Low yang merasakan sebuah muzium perlu ditubuhkan di Tanah Melayu.
Muzium yang terletak di Taiping itu kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasfikasikan sebagai koleksi nadir (rare) berusia lebih seratus tahun.

#12. Muzium Matang
Juga terletak di Perak, Muzium Matang ini terletak di Kota Ngah Ibrahim, Matang yang dibina pada tahun 1858 oleh seorang jutawan bijih timah, Che Long Jaafar bin Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif.
Kota itu kemudiannya dijadikan oleh anaknya, Tengku Menteri Ngah Ibrahim, sebagai rumah kediaman, pusat pentadbiran Larut, kubu pertahanan, gudang menyimpan bijih timah dan pusat dagangan.

#13. Muzium Sungai Lembing
Muzium Sungai Lembing mempamerkan bukti-bukti sejarah kegemilangan Sungai Lembing yang pernah menjadi kawasan perlombongan bawah tanah terbesar di dunia serta pengeluar utama bijih timah di Pahang.
Muzium tersebut memperagakan koleksi peralatan asal perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih timah bawah tanah di Sungai Lembing.

#14. Muzium Lukut
Muzium Lukut berperanan dalam menyebarkan maklumat sejarah dan budaya di Negeri Sembilan untuk ditatapi oleh masyarakat tempatan, pelancong luar negara serta para pelajar dan penyelidik sejarah.
Galeri ini mempamerkan mengenai sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai zaman kegemilangannya bermula daripada pemerintahan Raja Jumaat Bin Raja Jaafar (1847-1864), disebabkan oleh hasil kegiatan perlombongan bijih timah.

#15. Muzium Seni Bina Malaysia
Muzium Seni Bina Malaysia yang terletak di Jalan Kota, Melaka mempamerkan keunikan dan kepelbagaian warisan seni bina di Malaysia.
Pelbagai koleksi menarik yang boleh ditonton di sana seperti Panel Dinding Berukir dari Kelantan, Model Rumah Tradisional Terengganu, Rumah Kedai Cina di Melaka, Pintu Berukir dengan motif bunga dan kaligrafi dan Gergaji Belah kurun ke-19.

#16. Muzium Kota Johor Lama
Muzium Kota Johor Lama berfungsi dalam mendedahkan maklumat dan gambaran lebih jelas mengenai peranan Kota Johor Lama yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu kejatuhan Kesultanan Melaka.
Ia merupakan satu-satunya muzium yang dibangunkan secara ‘insitu’ di suatu kawasan yang penting dalam perkembangan sejarah negara.

#17. Muzium Adat
Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu ini memberi penekanan kepada kegiatan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan atau adat masyarakat di Malaysia.
Terdapat empat galeri di muzium ini yang merangkumi pengenalan adat di Malaysia, adat dikaitkan dengan kitaran hidup manusia, tradisi intelektual di istana dan rakyat, serta Adat Perpatih.

#18. Muzium Tekstil Negara
Terletak di bangunan warisan Bangunan JKR 26 di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, Muzium Tekstil Negara menempatkan sejarah tekstil di Malaysia.
Empat galeri yang diwujudkan di muzium tersebut ialah Galeri Pohon Budi, Galeri Pelangi, Galeri Teluk Berantai dan Galeri Ratna Sari, setiap satunya memberi fokus tertentu dalam tema tekstil, termasuklah aksesori pakaian tradisional.

#19. Muzium Muzik
Muzium Muzik terletak di Dataran Muzium Negara dan berperanan dalam mewujudkan ruang bagi mengumpul dan mempamerkan peralatan muzik setiap etnik.
Ia juga memegang tanggungjawab dalam mendokumenkan perkembangan muzik tradisional negara dan turut mengadakan persembahan bagi tontonan pengunjung.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 13 Tarikan Menarik Di Muzium Budaya Borneo Yang Anda Patut Cuba Sendiri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.