Now Reading
Tragedi Gajah Rempuh Kereta Api Di Perak, Dipercayai Balas Dendam Anaknya Dilanggar

Tragedi Gajah Rempuh Kereta Api Di Perak, Dipercayai Balas Dendam Anaknya Dilanggar

Menurut saksi kejadian yang merupakan penduduk setempat, gajah jantan tersebut merempuh kereta api sehingga tergelincir dari landasan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita yang amat menghibakan iaitu insiden seekor anak gajah dilanggar oleh lori di jalan raya sekitar Gerik, Perak.

Lebih mengayatkan hati lagi apabila ibu gajah itu setia menantikan anaknya agar diselamatkan dari bawah lori tersebut.

Insiden ini menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan mewujudkan infrastruktur bagi memastikan keselamatan haiwan liar.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Sedih Lihat Gajah Sesat Masuk Kawasan Perumahan Di Kluang

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pemandu Kongsi Detik Cemas Kereta Digoncang Gajah Raih Pelbagai Reaksi Orang Ramai

Baca Artikel Berkaitan: [Video] 30 Gajah Tidur Atas Jalan Raya, Trafik Di Tasik Temenggor Terhenti 2 Jam

Insiden Gajah Rempuh Kereta Api Di Teluk Anson Pada 1894

Sebenarnya, konflik antara manusia dengan haiwan liar bukanlah sesuatu isu baharu yang direkodkan di Malaysia.

Seperti yang berlaku di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak pada 17 September 1894, sejarah yang menyayat hati itu pastinya menjadi satu ingatan dalam kalangan penduduk tempatan.

Dicatatkan sebagai pertama kali berlaku dalam sejarah keretapi di Tanah Melayu, satu pelanggaran telah berlaku antara kereta api di landasan Teluk Anson dengan sekawan gajah.

Dalam satu perkongsian di laman web Orang Perak, insiden itu berlaku terhadap sebuah kereta api wap milik Perak Railways yang sedang dalam perjalanan dari Tapah Road ke Teluk Anson.

Kereta api yang membawa tiga gerabak itu merangkumi ramai penumpang dari kalangan saudagar dan tauke lombong yang baru sesudah meninjau kawasan perlombongan di negeri itu.

Gajah Jantan ‘Ketuai’ Sekawan Gajah Di Atas Landasan

Dengan kelajuan kereta api sekitar 40 ke 50 batu sejam, seorang pemandu berbangsa Inggeris ketika itu telah dikejutkan dengan sekumpulan gajah yang sedang menunggu di atas landasan.

Apa yang anehnya adalah kelihatan seekor gajah jantan dengan saiz yang luar biasa mengetuai sekawan gajah terbabit.

Mungkin tidak disangka-sangka, namun penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu berpendapat bahawa ‘serangan’ itu telah diaturkan oleh gajah jantan terbabit.

Ini dipercayai demi membalas dendam kematiaan seekor anak gajah yang dilanggar kereta api di kawasan sama sebelum itu.

Gajah jantan itu disaksikan mengamuk dan merempuh kereta api sehingga tergelincir dari landasan, seterusnya menyebabkan gerabak rosak teruk.

Dua pekerja kereta api terbabit yang berbangsa India telah mengalami cedera parah sehingga meragut nyawa.

Rempuhan oleh gajah itu bagaimanapun tidak menyebabkan mana-mana penumpang tercedera. Namun begitu, mereka terpaksa meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki hampir tiga batu ke Stesen Kereta Api Teluk Anson.

Lebih menyedihkan lagi, gajah jantan itu turut terkorban di lokasi kejadian akibat hentaman yang terlalu kuat.

Memorial Didirikan Demi Mengingati Sejarah Rempuhan Gajah Terbabit

Insiden terbabit telah dirakamkan sebagai sejarah penting agar peristiwa itu tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Seperti yang dikongsikan, terdapat satu gambar lama yang merakamkan saat seorang saudagar Inggeris berdiri di atas bangkai gajah seolah-olah telah ‘menawan’ haiwan gergasi.

Sebuah memorial telah didirikan oleh pihak pentadbiran kereta api British berhampiran lokasi kejadian dengan papan tanda yang terukir, “Di sini ditanam seekor gajah liar yang sedang mempertahankan kawanannya telah menyerang dan mengelincirkan kereta api pada 17 September 1974.”

Pun begitu, memandangkan laluan kereta api tersebut telah dihentikan, kawasan terbabit telah dipenuhi semak belukar, menjadikan memorial itu hampir musnah.

Ia bagaimanapun telah dibaikpulih pada tahun 2018 oleh jawatankuasa Pemuliharaan Papan Tanda Gajah Sungai Kerawai yang terdiri daripada ahli Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (SEMARAK), Persatuan Pelukis Teluk Intan dan Malayan Railways Fan Club.

Di samping itu, Muzium Taiping turut mempamerkan tengkorak kepala dan sepasang gading gajah jantan terbabit, manakala Muzium KTM Johor Bahru pula menyimpan tulang paha gajah setinggi hampir satu meter.

Otak Gajah Terbesar Berbanding Mamalia Darat Lain, Mempunyai Daya Ingatan Kuat

Tindakan gajah jantan tersebut pasti menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai jika dia benar-benar bertindak sedemikian demi membalas dendam kematian anak gajah.

Para penyelidik mempercayai bahawa gajah sememangnya mempunyai memori yang baik dan merupakan faktor besar bagaimana mereka meneruskan kehidupan dan mempunyai tempoh hidup yang panjang.

Berdasarkan hantaran di Facebook Public Health Malaysia, otak gajah adalah yang paling besar dalam kalangan haiwan darat, namun tidak sepadat manusia atau cimpanzi.

Daya ingatan kuat gajah dapat dikaitkan dengan bahagian hipokampus gajah yang luas dan menyumbang kepada memori ke atas lokasi sumber air, individu lain dan laluan perjalanan mereka.

Boleh dikatakan seperti manusia, otak gajah dapat menyimpan maklumat sepanjang hayat yang mencecah 60 ke 70 tahun. Ini termasuklah segala pengalamannya, hubungan dan kawasan geografi.

Selain itu, mereka juga mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti suara dan bau gajah lain walaupun pada jarak sejauh 1.5km. Malah, mereka turut boleh membezakan antara ahli keluarga dan gajah lain.

Seperti yang terjadi pada ibu gajah baru-baru ini, gajah sememangnya mempunyai emosi terhadap ahli keluarga atau rakannya yang tercedera atau mati.

Gajah juga dilaporkan ada menziarahi tulang-temulang rakannya, serta menggali dan menutup bangkai gajah lain.

Walaupun otak gajah tidak cepat dalam melakukan analisis, tetapi dapat merekod dengan lebih mendalam dan menyeluruh, membuatkan mereka tidak lupa akan suatu kejadian penting yang berlaku.

“Perlahan, tapi tak pernah lupa. Gajah mungkin tidak bercakap. Tapi mereka merindui, mereka ingat dan mereka merantapi seperti kita,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Halau Gajah Seakan Berkomunikasi Dengan Manusia, Ini Doa Yang Diamalkannya

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Perhilitan Perjelas Kenapa Ada Gajah Naik Lori Pandang Ke Belakang

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Gelagat Gajah Tenung ‘Gajah’ Di Tepi Jalan Undang Gelak Tawa Ramai


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd