[Eksklusif] Wanita Kongsi Peranan Sebagai Ibu Bekerja Dalam Industri Penerbangan
Pakar Utama Perancangan Rangkaian di syarikat penerbangan Scoot, Teh Beng Leng, berkata tanggungjawabnya sebagai seorang ibu membantu dia agar lebih bersabar dalam pelbagai situasi tidak dijangka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Masyarakat global baru sahaja menyambut Hari Ibu pada Ahad (11 Mei) lalu demi menghargai jasa dan pengorbanan sosok yang menjadi tulang belakang keluarga.
Walaupun begitu, ini tidak bermaksud bahawa para ibu hanya diraikan hanya sehari dalam setahun.
Sebaliknya, kecekalan memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu di samping berperanan dalam menjamin kejayaan sesebuah syarikat menjadi bukti kehebatan individu digelar wanita.
Inspirasi Terlibat Dalam Industri Penerbangan Timbul Waktu Pertama Kali Naik Flight
Bersempena Hari Ibu, team TRP baru-baru ini berpeluang untuk terlibat dalam satu sesi wawancara bersama Pakar Utama Perancangan Rangkaian bagi syarikat penerbangan Scoot, Teh Beng Leng.
Sebelum menelusuri kisah kerjaya Teh, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah yang menjadi inspirasi buat wanita itu meneruskan karier dalam bidang penerbangan.
Dalam menjawab persoalan itu, Teh berkata memori yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menaiki penerbangan Malaysia Airlines buat pertama kali bersama ibu bapa serta datuk neneknya, yang disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.
Dia yang masih bersekolah rendah ketika itu kagum melihat sifat profesional kru kabin, lantas timbulnya minat terhadap dunia penerbangan dan pesawat.
Dalam memulakan karier dalam bidang penerbangan, Teh berkata dia segera mengambil peluang yang timbul apabila menyedari kerja kosong di Firefly Airlines.
Selepas enam tahun di syarikat penerbangan itu, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah ke Singapura atas urusan keluarga dan meneruskan perjalanan kerjayanya dalam bidang sama dengan Scoot.
Kegembiraan Pelancong Jadi Peringatan Penting Buat Dirinya
Peranan Teh sebagai Pakar Utama Perancangan Rangkaian sememangnya bukan calang-calang.
Katanya, dia bertanggungjawab dalam merancang jadual penerbangan bagi mengoptimumkan penggunaan pesawat dan menyokong objektif perkembangan keseluruhan syarikat penerbangan.
“Saya bertanggungjawab untuk perancangan jangka masa panjang dan pendek, bagi memastikan jam penerbangan selaras dengan matlamat syarikat,” jelasnya.
Dia turut berkerjasama rapat dengan pelbagai jabatan bagi memastikan kelancaran operasi termasuk penjadualan kerja kru, kejuruteraan, operasi darat, kawalan operasi, dan penghantaran.
Selain itu, Teh berperanan dalam memantau koordinasi slot lapangan terbang di pelbagai stesen dan bekerja dengan pasukan perkongsian bagi mewujudkan sambungan rangkaian strategik dengan syarikat penerbangan lain.
“Apa yang saya paling suka tentang kerja saya adalah melihat kegembiraan terpancar pada muka pelancong ketika mereka bersiap sedia untuk menaiki penerbangan.
“Perkara ini menjadi peringatan bahawa kerja saya penting dalam menghubungkan orang ramai dari negara berbeza, sekaligus mengubah perjalanan mereka menjadi pengalaman yang bermakna,” katanya.

Rancangan Strategik Bantu Untuk Rasa Lebih Seimbang
Selain berjawatan penting dalam industri penerbangan, Teh juga memegang tanggungjawab lebih hebat iaitu sebagai seorang ibu.
Sebagai seorang ibu bekerja, pasti timbul persoalan dalam kalangan orang ramai macam mana Teh dapat menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Dia berkata bahawa perkara itu dilakukan menerusi perancangan strategik dengan memperuntukkan masa berbanding melakukan segalanya dalam masa sama atau orang kata, ‘Go with the flow’.
“Untuk mencapai ini, saya hasilkan ‘to-do list’ dengan mengkategorikan tugasan mengikut kepentingannya.
“Pendekatan ini membolehkan saya menumpukan usaha pada tanggungjawab yang paling penting sambil menyediakan masa untuk keluarga dan kesejahteraan peribadi,” katanya.
Teh sedar bahawa bukan semua perkara berjalan mengikut perancangan, namun dengan pelan yang berstruktur dan sokongan persekitaran, dia boleh mengekalkan rasa keseimbangan dan kestabilan.
Bergelar “Ibu” Mengajar Dirinya Untuk Lebih Bersabar Dalam Pelbagai Situasi
Berbual lebih lanjut berkenaan peranannya sebagai seorang ibu, dia berkata perkara itu amat mempengaruhi perkembangan profesionalnya.
“Ia telah menanamkan dalam diri saya kualiti seperti kesabaran, menyesuaikan diri dan kemampuan untuk menangani situasi tidak dijangka.
“Dalam peranan saya yang bekerjasama rapat dengan pelbagai pasukan, saya sentiasa mengambil pelbagai input berbeza dan mengharungi perubahan yang tidak dapat dijangka,” jelasnya.
Katanya semenjak menjadi ibu, kemahirannya dalam menguruskan individu dan kekal tenang dalam situasi tertekan telah meningkat.
Pengalaman ini telah memberi Teh satu perspektif kemanusiaan yang amat bernilai bagi kepemimpinannya dan kerja berpasukan.

Bangga Terlibat Dalam Pemulihan Industri Pelancongan Pasca-Pandemik
Apabila ditanya tentang momen dalam kerjaya atau menjadi ibu yang amat membanggakan, Teh berkata dia bermegah dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menavigasi cabaran dihadapi oleh industri pelancongan semasa pandemik COVID-19, termasuk penutupan sempadan.
“Saya berbangga bagaimana kami secara kolektif berusaha untuk memulih dan mengubah keadaan secara beransur-ansur dalam landskap pasca-pandemik,” ujarnya.
Sebagai seorang ibu pula, Teh berkongsi bagaimana menyaksikan perkembangan anaknya sebagai salah satu pengalaman yang amat menguntungkan.
“Melihat perkembangannya ketika dia mula mengucapkan kata-kata pertama serta membina ayat dan cerita sewaktu masih kecil memberi saya rasa kepuasan yang mendalam,” dia berkongsi perasaannya.
Budaya Syarikat Beri Pekerja Peluang Seimbangkan Masa Buat Kerja & Keluarga
Dalam masa sama, Teh turut berkongsi budaya saling menyokong dalam kalangan pengurusan dan pekerja di syarikatnya yang membantu dia untuk menyeimbangkan antara kerja dan keluarga.
“Rakan sekerja saya sering menunjukkan kefahaman dan empati terhadap ibu bapa yang bekerja, sama ada aturan kerja yang fleksibel, kepercayaan pada kepimpinan saya atau kesanggupan mereka membantu dalam keadaan memerlukan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Scoot juga mempromosikan pertumbuhan profesional menerusi peluang perkembangan kepemimpinan dan inisiatif peningkatan kemahiran.

Dalam masa sama, Teh juga tidak melepaskan peluang dalam memberi nasihat kepada para ibu untuk memperkembangkan kerjaya mereka di samping mengekalkan tanggungjawab di rumah.
“Menerima ketidaksempurnaan adalah penting dalam perjalanan kita sebagai seorang ibu dan ahli profesional. Gagasan menjadi ‘ibu yang sempurna’ sebahagian besarnya adalah mitos.
“Akan ada hari-hari apabila kerja memerlukan lebih banyak perhatian, dan hari-hari lain yang mana keluarga menjadi keutamaan.
“Penting untuk memberi tumpuan demi mencapai kemajuan yang konsisten dan berkualiti, berbanding untuk mendapatkan kesempurnaan dalam setiap aspek kehidupan,” Teh berkongsi pendapatnya.
Gunakan Kesabaran Menjaga Anak Dalam Interaksi Profesional
Apabila ditanya tentang satu perkara yang Teh pelajari tentang diri sendiri sejak menjadi ibu bekerja, dia berkata ia adalah sifat kesabaran.
“Menunjukkan kesabaran yang kuat penting dalam proses membesarkan anak. Tuntutan untuk menyediakan penjagaan yang penuh perhatian, serta menenangkan anak kecil semasa ‘tantrum’ boleh mencabar emosi,” jelasnya.
Kualiti kesabaran ini secara tidak langsung dapat digunakan dalam interaksi profesional, menggalakkan pendekatan yang lebih tenang dan membantu agar lebih memahami sebarang cabaran dalam berkerjasama.
“Dengan menanam sifat sabar, kita dapat meningkatkan kemampuan kita untuk menavigasi sebarang situasi kompleks dan bekerjasama secara efektif,” katanya.

Teh turut berkata bahawa menyaksikan pertumbuhan anak-anak merupakan salah satu pengalaman yang amat dihargai, termasuklah ketika bersama dalam penerbangan.
Katanya, persekitaran yang lancar dan santai dapat mempengaruhi kesejahteraan emosi kanak-kanak.
Memberi contoh, Teh berkata Produk Scoot Plus menyediakan ruang kaki yang lebih luas, sekaligus memberi ruang yang secukupnya bagi penerbangan yang selesa buat anak-anak.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



