Pemilik Syarikat Pastri Dakwa Disaman RM1.5 Juta Oleh Kakak Sendiri
Pemilik The Ordinary Baker mendakwa adik-adiknya telah membuka syarikat baharu iaitu Eclairis menggunakan penjenamaan dan resepi sama.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pergaduhan antara adik-beradik merupakan suatu perkara yang biasa berlaku, sama ada disebabkan perkara remeh seperti berebut remote televisyen mahupun yang lebih serius.
Namun bagaimana pula dengan persengketaan dalam kalangan adik-beradik yang berlaku akibat perniagaan dengan nilai yang tinggi?
Itulah yang terjadi antara seorang kakak dan tiga adik-adiknya apabila pertengkaran itu sehingga menyebabkan tuntutan mahkamah berjuta ringgit.
Pemilik Eclairis Dakwa Disaman RM1.5 Juta Oleh The Ordinary Baker
Semalam (6 Mei), pemilik bersama cawangan pastri Eclairis, Engku Putri Nadira Arshad mendakwa bahawa syarikat The Ordinary Baker yang dimiliki oleh kakak sulungnya Engku Putri Sharizad Arshad, menyaman Eclairis dengan nilai RM1.5 juta.
“Salah seorang daripada kami telah membuat keputusan yang menyebabkan kami bertiga tiada pilihan selain mengundurkan diri.
“Kami tidak mengambil satu sen pun. Kami cuma pergi secara diam. Dan kini kami disaman RM1.5 juta,” katanya menerusi kapsyen hantaran di Instagram.
Keempat adik-beradik tersebut telah memulakan The Ordinary Baker bersama pada tahun 2020 sedang pandemik COVID-19 berlangsung. Sepanjang 2021, mereka beroperasi di rumah dengan menghasilkan krim puff dan pelbagai pastri lain.
Menjelang November 2021, kedai fizikal pertama telah dibuka di Setia Alam yang menjadi terkenal dengan cepat sehingga turut ditonjolkan di saluran RTM.
Kemudian pada tahun 2023, perniagaan tersebut dikembangkan dan satu lagi cawangan di buka di Shah Alam, kali ini ditonjolkan dalam segmen ‘Nona’ di TV3.
The Ordinary Baker Milik Kakak Sulung Sepenuhnya, Dakwa Dibuka Guna Simpanan Untuk Perniagaan Lain
Pun begitu, hantaran Facebook oleh Sharizad menjelaskan bahawa The Ordinary Baker merupakan hak miliknya 100% yang dibuka menggunakan modalnya sendiri sepenuhnya.
Dia mendakwa bahawa pelaburan terakhirnya ke atas The Ordinary Baker sebenarnya disimpan bagi perniagaan kek perkahwinan yang ingin dibuka untuk dirinya sendiri.
“Saya mengorbankan impian saya agar mereka dapat mencapai (impian mereka). Tiada daripada mereka yang menyumbang walau sesen pun. Tetapi tak apa, lagipun OB dibuka untuk membantu keluarga saya yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.
Pelan Kongsi Saham Perniagaan Ditangguh Apabila 2 Adik-Adik Disenarai Hitam
Wanita itu juga berkongsikan bahawa pelan asalnya adalah untuk memberi saham perniagaan kepada adik-adiknya, tetapi mendakwa dua daripada mereka telah disenarai hitam.
Dia kemudiannya membuat keputusan untuk menangguh perkara itu sehingga dia melangsaikan segala hutang mereka, yang didakwa telah berjaya dilakukan.
Sharizad juga mendakwa bahawa adik-adiknya mempunyai hutang sehingga RM100,000 yang termasuk hutang kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), hutang pendidikan, hutang dengan ceti haram dan dengan suaminya sendiri.
“Kenapa penting untuk membersihkan nama sebelum dimasukkan ke dalam (saham) syarikat? Untuk OB berkembang, ia perlukan pembiayaan, dan institusi kewangan akan melakukan pemeriksaan latar belakang.
“Inilah sebabnya nama mereka tiada di sana. Saya memutuskan untuk bergerak secara solo supaya lebih mudah untuk saya menguruskan risiko,” jelasnya.
Eclairis Dibuka 2 Minggu Selepas Adik-Adik Berhenti Dari The Ordinary Baker
Dalam masa sama, Sharizad turut menuduh adik-beradiknya menjalankan serangan terancang ke atasnya dengan meletak jawatan dari syarikat menerusi notis 24 jam pada 1 November 2024.
Dia mendakwa tidak mengetahui sama sekali berkenaan perletakan jawatan terbabit dan telah menguruskan syarikat itu seorang diri sambil berharap adik-adiknya akan kembali bekerja dengannya.
Walau bagaimanapun, mereka telah membuka syarikat baharu dua minggu setelah meninggalkan The Ordinary Baker iaitu Eclairis, yang didakwa menggunakan penjenamaan dan resepi sama.
Adik-Adik Didakwa Berhenti Kerana Kakak Enggan Buka Cawangan Ke-3
Menurut Sharizad, perkara ini berlaku apabila dia tidak bersetuju untuk membuka cawangan ketiga hanya beberapa bulan setelah pembukaan cawangan pertama dan kedua.
Dia menerangkan bahawa cawangan kedua tersebut masih belum mencapai sasaran pulangan pelaburan (ROI).
Dalam masa sama, dia turut menerangkan berkenaan kebajikan pekerja The Ordinary Bakery yang berdepan risiko seperti pemberhentian kerja dan potongan gaji sementara dia terpaksa menutup salah satu atau kesemua cawangannya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â