Ini Garis Panduan Penggunaan Jalur Gemilang Yang Rakyat Malaysia Wajib Tahu
Untuk info, terdapat enam jenis Jalur Gemilang yang digunakan di tempat-tempat tertentu bagi tujuan tersendiri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, kecoh isu beberapa visual Jalur Gemilang dicetak tanpa elemen bulan sabit padanya membabitkan dua akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh.
Selain itu, Singapore Lactation Bakes (SLB) juga telah mencetak visual bendera Malaysia sedemikian sebagai latar belakang booth di sebuah ekspo bayi dalam negara.
Insiden di atas merupakan suatu isu yang sensitif memandangkan elemen bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan agama Islam sebagai agama persekutuan.
Baca Artikel Berkaitan: Kesilapan Ilustrasi Jalur Gemilang: Sin Chew Daily Ambil Tindakan Disiplin Ke Atas Petugas
Baca Artikel Berkaitan: Kwong Wah Yit Poh’s Jalur Gemilang Blunder – Digital Billboard Mistake Or Newspaper Error?
Baca Artikel Berkaitan: Singapore Company Says Sorry For Jalur Gemilang Error, Recognises Flag’s Significance For Malaysians
Terdapat 6 Jenis Bendera Malaysia Bagi Tujuan Tertentu
Dalam melindungi martabat bendera Malaysia ini, terdapat beberapa garis panduan yang harus diikuti sewaktu menggunakannya. Ini termasuklah dalam menggunakan saiz bendera yang betul bagi tujuan dan di tempat-tempat tertentu.
Berdasarkan Buku Digital Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), terdapat enam saiz bendera Malaysia yang digunakan.
#1. Bendera Biasa
Bendera Biasa adalah bendera yang digunakan untuk dikibarkan di bangunan, pejabat dan di rumah kediaman.
#2. Bendera Rumah
Selain itu, bagi mengibarkan bendera di tempat yang terhad ruangnya seperti di rumah kediaman dan di pejabat, Bendera Rumah boleh digunakan bagi menggantikan Bendera Biasa.
#3. Bendera Sedang
Jika anda biasa melihat Jalur Gemilang yang digunakan sebagai penutup keranda pula, itu adalah Bendera Sedang yang bertujuan sebagai tanda penghormatan negara.
#4. Bendera Besar
Di bangunan kedutaan Malaysia di luar negara, Bendera Besar akan dikibarkan. Ia juga ada dikibarkan di tempat-tempat tertentu di dalam negara.

#5. Bendera Kereta
Bendera Kereta yang bersaiz kecil pula dikibarkan di bahagian hadapan kereta sama ada di tengah, kanan atau kiri kereta. Di peringkat Persekutuan, ia dikhaskan kepada pembesar-pembesar tertentu termasuk:
- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (Bendera Peribadi).
- Pelawat-pelawat negara asing yang mendapat taraf Tetamu Negara/ Kerajaan (Bendera Peribadi atau bendera negara masing-masing).
- Duta-Duta Negara Asing di Malaysia (Bendera negara masing-masing).
#6. Bendera Meja
Akhir sekali, terdapat juga Bendera Meja yang diletakkan di atas meja semasa persidangan, seminar, mesyuarat dan majlis-majlis menandatangani perjanjian.
Berikut merupakan saiz bendera dan garis pusat tiang bendera yang harus dipatuhi berdasarkan kepada jenis-jenis bendera.
| Jenis Bendera | Saiz Bendera (lebar x panjang) | Garis Pusat Tiang Bendera (tinggi x diameter) |
|---|---|---|
| Biasa | 91.5cm x 183cm | 610cm x 7.6cm |
| Rumah | 61cm x 122cm | Di luar bangunan kekal: 610cm x 7.6cm Di dalam bangunan tidak kekal: 305cm x 3.8cm |
| Sedang | 122cm x 244cm | 915cm x 7.6cm |
| Besar | 183cm x 366cm | 1,220cm x 15.2cm |
| Kereta | 15.25cm x 30.5cm | 40cm x 1cm |
| Meja | 15.25cm x 30.5cm | 40cm x 1cm |
Gunakan Banner Jalur Gemilang Untuk Dipasang Secara Menegak
Di samping itu, Jalur Gemilang hanya boleh dikibarkan secara melintang. Sebaliknya, bendera jenis gegantung (banner) boleh digunakan untuk dipasang secara menegak.
Banner Malaysia bermula dengan jalur berwarna merah pada belah kiri dan diakhiri jalur putih di sebelah kanan. Ia juga perlu mempunyai bentuk ekor yang berukuran 1/8 daripada panjangnya.

Bendera gegantung dan berbentuk segi tiga pula tidak boleh disambung dalam kuantiti yang banyak (flagline).

Jalur Gemilang DILARANG Digunakan Sebagai Elemen Kostum
Demi merayakan Hari Kemerdekaan negara, mesti anda pernah melihat kostum yang menggunakan Jalur Gemilang kan? Sebenarnya, perkara ini telah melanggar garis panduan penggunaan bendera Malaysia yang ditetapkan.
Menurut JAPEN, penggunaan Jalur Gemilang bagi perkara yang ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bendera seperti alas meja, kain tudung, payung, songkok, sampin, topi, tuala mandi, alas kusyen dan pelitup muka tidak dibenarkan.
Walau bagaimanapun, penggunaan warna asas dan motif bendera iaitu merah, putih, biru dan kuning masih dibenarkan.

Jangan Gunakan Visual Jalur Gemilang Dalam Design Logo
Selain itu, penggunaan bendera pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah fizikalnya sebagai iklan bagi mempromosikan Sambutan Bulan Kebangsaan tidak dibenarkan.
Malah, orang ramai dihalang daripada menghasilkan logo menggunakan visual Jalur Gemilang. Seperti dalam kes kostum di atas, penggunaan warna asas dan motif bendera (merah, putih, biru dan kuning) juga dibenarkan.
Bagi penggunaan visual bendera dalam infografik, pastikan Jalur Gemilang tidak bertindih dengan teks dan sesama bendera.

Jangan Kibarkan Jalur Gemilang Yang Telah Koyak
Di samping itu, diingatkan juga bahawa Jalur Gemilang yang sudah lusuh seperti warnanya yang pudar, koyak dan sebagainya TIDAK BOLEH lagi dikibarkan kerana dianggap tidak hormat kepada bendera negara.
Pun begitu, bendera negara yang telah lusuh tidak sepatutnya dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah.
Sebaliknya, ia perlulah dilupuskan dengan cara yang betul iaitu dengan dibakar secara tertutup dan tersembunyi daripada pandangan orang awam.

Jalur Gemilang Dilindungi Di Bawah 4 Akta
Sebagai info, Jalur Gemilang dilindungi di bawah empat akta seperti berikut:
#1. Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414)
Seksyen 3 – Mana-mana individu yang menggunakan atau meniru lambang yang serupa dengan lambang-lambang kebesaran negara, termasuklah bendera Malaysia, bagi tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion tanpa kebenaran bertulis Menteri adalah melakukan satu kesalahan.
#2. Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 (Akta A1525)
Seksyen 5 – Sesiapa yang melanggar Seksyen 3 Akta 414 di atas boleh didenda tidak melebihi RM20,000, atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan
#3. Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193)
Seksyen 3 – Melarang lambang kebangsaan negara lain daripada dipamerkan di tempat awam atau di sekolah.
#4. Akta Hasutan 1948 (Akta 15)
Individu boleh dikenakan tindakan sekiranya menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap Jalur Gemilang dengan tujuan untuk mencemar nama baik atau menghasut.
Baca Artikel Berkaitan: Bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ & Undang-Undang Yang Melindunginya
Baca Artikel Berkaitan: KPM Wajibkan Murid Pakai Lencana Jalur Gemilang Pada Baju Seragam, Ini Panduan Pemakaiannya
Baca Artikel Berkaitan: Nak Pasang Bendera Jalur Gemilang? Ini Langkah Yang Sebetulnya
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.