[Video] Lelaki Ini Tegur Budak-budak Main Air Takungan, Berang Golongan Dewasa Di Sekeliling Seakan Tak Peduli
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan terus leka bemain di situ kerana langsung tidak ditegur orang dewasa berhampiran.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Air bertakung di atas jalan tidak semestinya berpunca daripada banjir. Kadangkala ia berlaku disebabkan sistem perparitan yang tidak berkesan atau permukaan jalan yang tidak rata hingga mengumpul air selepas hujan.
Namun begitu, sama ada air banjir mahupun air bertakung, kedua-duanya tetap kotor dan mengundang risiko kesihatan serta bahaya lain. Kebiasaannya, kanak-kanak memang teruja bermain air yang banyak, tanpa menyedari risiko tersembunyi.
Itulah yang berlaku baru-baru ini apabila seorang pemuda menjerkah sekumpulan kanak-kanak yang leka mandi air bertakung di atas jalan. Lebih merisaukan, tiada seorang pun orang dewasa berdekatan yang menegur.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pemandu Treler Tumpangkan Banyak Rider & Motosikal Tersangkut Banjir Di Johor Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: Banjir Fair Park: Kesan Minyak Sukarkan Penduduk Bersih Rumah, Sebabkan Gatal-Gatal
Pemuda Jerkah Dari Jauh, Persoal Kenapa Orang Dewasa Hanya Tengok Saja
Menerusi satu perkongsian di laman TikTok (@ayien654), kelihatan beberapa kanak-kanak berbasikal sedang bersuka-ria bermain air bertakung di satu kawasan yang dilihat agak luas.
Pemuda berkenaan yang dipercayai pemilik video, dilihat menjerkah kanak-kanak terbabit yang berada agak jauh di seberang.
“Hoi, balik! Kau ingat mandi sungai ke kat situ,” kedengaran suaranya dengan nada tegas.
Di ruangan kapsyen, dia turut mempersoalkan sikap orang dewasa yang berada berhampiran tetapi hanya diam diri.
“Kids being kids, yang dewasa kena lah pantau atau tegur,” sambil mengingatkan bahaya tersembunyi seperti renjatan elektrik, lubang jalan dan air kotor.
Biarpun di akhir rakaman kedengaran dia dan rakannya ketawa sinis melihat gelagat itu, mesejnya jelas dan berkesan.
Kanak-kanak itu dilihat terus meninggalkan kawasan tersebut. Suasana yang awalnya riuh dengan gelak-tawa bertukar sepi selepas jerkahan itu.
Netizen Sokong Tindakan Tegas Pemuda Jerkah Kanak-Kanak
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan pemuda tersebut yang dilihat tegas dan prihatin.
Ramai turut bersetuju bahawa air bertakung, walaupun nampak seronok, tetap berbahaya dan tidak sepatutnya dijadikan tempat mandi.


Ada juga yang menyatakan pentingnya peranan orang dewasa untuk memantau, bukan membiarkan anak-anak bebas bermain dalam keadaan berisiko.

Beberapa netizen juga tidak melepaskan peluang untuk bergurau dengan jerkahan pemuda itu yang “mempunyai aura”.
“Dengan aku-aku sekali ikut balik ni bang,” tulis seorang pengguna TikTok.

Ramai Kritik Tindakan Ibu Bapa Biarkan Anak Mandi Air Banjir
Sebelum ini pernah juga berlaku kes di mana ibu bapa lepas tangan membiarkan anak-anak bermain air banjir.
Ramai yang kurang senang melihat gelagat kanak-kanak tersebut bermandi-manda kerana bimbang ia akan mengundang kepada masalah kesihatan.
Ini kerana, air banjir bukanlah dari sumber yang bersih kerana ia sudah bercampur dengan sampah, air longkang dan sebagainya.
Selain itu, air banjir juga boleh mengundang kepada penyakit tifoid, keracunan makanan, disentri, taun, hepatitis A dan banyak lagi.

Banjir Boleh Beri Kesan Kepada Kesihatan
Sekadar info, bencana banjir boleh memberi kesan kepada kesihatan individu. Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak pada waktu dan selepas banjir adalah seperti berikut:
- Jangkitan pernafasan akut
- Keracunan makanan
- Leptospirosis
- Cirit-birit
- Demam Kepialu
- Malaria
- Hepatitis A

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsikan 10 Perkara Yang Dihadapi Mangsa Banjir Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Persoal Tindakan Ibu Bapa Biarkan Anak-anak Kecil Mandi Air Banjir
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.