UiTM Tampil Beri Penjelasan Tentang Video Tular Pelajar Memakai Kostum KKK
Menurut pihak UiTM, aksi pelajar berarak memakai kostum KKK yang tular sebelum ini merupakan sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik bagi kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues’.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh apabila tular di media sosial rakaman video yang menyaksikan sekumpulan pelajar dari sebuah institusi pendidikan tinggi awam berarak dengan memakai kostum menyerupai kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
Perkara itu didakwa dilakukan oleh pelajar jurusan undang-undang sebagai satu kempen sosial mengenai jenayah kemanusiaan.
Pun begitu, aksi terbabit menerima kecaman ramai memandangkan KKK merupakan satu kumpulan ketuanan kulit putih yang melakukan keganasan terhadap individu kulit hitam.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Pelajar Berarak Dengan Memakai Kostum KKK Terima Kecaman Ramai
UiTM Jelaskan Aksi Pelajar Pakai Kostum KKK Sebagai Tugasan Akademik
Terbaharu, pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjelaskan video tular terbabit.
Menurut Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, aksi yang dirakam itu merupakan sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik bagi kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues’ oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
“Tugasan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara,” katanya.
Penggunaan Kostum Sebagai Pendekatan Visual Dalam Penyampaian Berimpak Tinggi
Mengulas lanjut tentang penggunaan kostum dan elemen visual terkait kumpulan KKK, UiTM berkata ia bertujuan bagi membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan, di samping memberi gambaran menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pembentangan yang dijalankan berlaku dalam keadaan terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, serta tidak menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya dan perkauman.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM turut menjelaskan bahawa tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.

UiTM Minta Insiden Dinilai Dalam Kerangka Akademik, Bukan Ditafsir Luar Konteks Asal
Dalam pada itu, UiTM menegaskan bahawa nilai sejagat termasuk toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara budaya amat dititik beratkan dalam segala aktiviti akademik dan kokurikulum yang dijalankan.
Bagi membentuk generasi pelajar yang matang dan peka dengan isu antarabangsa, institusi tersebut turut meletakkan komitmen dalam memastikan pendekatan pendidikan yang bertanggungjawab, beretika dan berorientasikan pemikiran kritikal.
“Kami berharap penjelasan ini dapat memperjelaskan keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan yang dijalankan. UiTM akan terus memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar secara holistik dan menyeluruh,” jelas kenyataan sama.
Sehubungan itu, semua pihak diminta agar menilai insiden sedemikian dalam kerangka akademik dan tidak membuat tafsiran luar daripada konteks asal. Katanya, perkara ini adalah selaras dengan semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara.
Orang Ramai Harap Tindakan Diambil Ke Atas Kumpulan Pelajar Berkostum KKK
Terdahulu, tular rakaman video yang menyaksikan sekumpulan pelajar berarak memakai jubah putih seperti KKK serta membawa penyodok dan tanda salib.
Salah seorang daripada mereka juga dilihat memegang satu bungkusan berwarna putih dipercayai merupakan ‘kepala manusia’ sebagai simbol pembunuhan yang dilakukan oleh KKK.
Menerusi perkongsian oleh individu yang tidak dikenali, difahamkan pensyarah telah memberi keizinan untuk membawa topik berkenaan KKK dalam pembentangan mengenai jenayah kemanusiaan, tetapi tidak dimaklumkan mengenai perarakan tersebut.
“Satu kumpulan dari kelas itu telah mengambil peluang daripada projek ini untuk melakukan photoshoot KKK yang kemudian dimuat naik ke sosial media mereka,” dakwa seorang individu.
Isu terbabit telah mendapat perhatian ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara sensitif dan berharap agar tindakan diambil ke atas pelaku oleh pihak universiti serta pihak polis.
Sekadar info, KKK merupakan satu kumpulan ketuanan kulit putih (white supremacy) yang ditubahkan bagi menentang polisi Republican Party dalam mewujudkan kesamarataan politik dan ekonomi bagi rakyat Amerika berkulit hitam.
Baca Artikel Berkaitan: Pelancong Asing Buat Konten Baca Ayat Al-Quran Depan Batu Caves Dikecam Ramai
Baca Artikel Berkaitan: TikToker Australia Dedah Pengalaman Lihat Rakyat Malaysia Jadi Mangsa ‘Racism’ Di Korea Selatan
Baca Artikel Berkaitan: “Orang Makan Lembu Pendek” – Owner Cheesetart Buncit Muat Naik Video Berbaur Rasis Bikin Ramai Bengang
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.