Now Reading
“Jangan Terus Keluar Rumah Jika Elektrik Putus” – Lelaki Dedah Taktik Penyamun Di Puncak Alam

“Jangan Terus Keluar Rumah Jika Elektrik Putus” – Lelaki Dedah Taktik Penyamun Di Puncak Alam

Menurut lelaki dikenali sebagai Khairul Ezuwan, antara modus operandi para penyamun adalah mengumpan mangsanya keluar rumah dengan memutuskan elektrik pada kotak fius yang terletak di bahagian luar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes samun yang semakin berleluasa lebih-lebih lagi di kawasan perumahan sememangnya membuatkan para penduduk gerun dan takut untuk keluar dari kediaman.

Seperti sebelum ini sekitar tahun 2022, tular satu kes rompakan bersenjata yang berlaku di Presint 11B, Putrajaya. Difahamkan pada hari sebelumnya, kejadian rompakan dengan modus operasi yang sama juga berlaku di kawasan sekitar.

Antara onar yang dilakukan oleh si perompak adalah memecah masuk rumah, mengikat penghuni, mengancam dengan parang dan mencuri duit serta emas.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Samun Rumah Di Putrajaya Makin Parah, Polis Kerap Buat Rondaan & Roadblock

Modus Operandi Penyamun Libatkan Fius Elektrik

Terbaharu, tular satu hantaran di laman Facebook Khairul Ezuwan menyaksikan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah yang terletak di Puncak Alam, Selangor.

Menerusi video perkongsian, kelihatan dua orang lelaki bertopeng sedang melakukan modus operandinya untuk merompak. Untuk info, kejadian ini berlaku pada 5 April lalu sekitar jam 11 malam.

Menurut Khairul, terdapat satu taktik penyamun yang perlu masyarakat cakna agar tidak menjadi mangsa golongan ini.

Jelas lelaki tersebut, penyamun akan bertindak memutuskan fius elektrik selepas memanjat pagar. Penyamun kemudian menunggu mangsanya untuk keluar daripada rumah untuk memeriksa kotak fius yang dianggap sudah terbakar itu.

“Bila penghuni rumah buka pintu untuk meninjau keluar, penyamun ini akan menghunus parang dan masuk ke dalam rumah. Mereka ni bukan pencuri yang masuk senyap-senyap, mereka ni penyamun bersenjata yang merompak waktu orang berjaga,” kata Khairul.

Bagaimanapun dalam video itu, penyamun terbabit tidak berjaya ‘mengumpan’ mangsanya kerana pemilik rumah ternampak kelibat mereka di luar rumah.

Perlu Periksa Luar Rumah Dahulu Sebelum Periksa Fius Elektrik

Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, Khairul menasihati orang ramai untuk memeriksa dahulu di luar rumah sama ada ia selamat atau pun tidak.

“Kalau elektrik rumah kita terputus terutamanya rumah kita sahaja, jangan melulu keluar dari rumah, tinjau dahulu keluar melalui pintu cermin atau tingkap. Pastikan benar-benar selamat baru keluar.

“Kejadian ini berlaku di Puncak Alam dua hari lepas. Tapi rompakan ini gagal sebab tuan rumah sempat meninjau keluar melalui cermin dan nampak kelibat penyamun ni sedang mencangkung sambil memegang parang dan menunggu di hadapan pintu yang hampir-hampir mahu dibuka oleh isterinya,” ujar Khairul di akhir perkongsian.

Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Rakaman CCTV Penyamun

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi beberapa tips jika berdepan dengan penyamun di rumah.

“Tips satu lagi, tekan alarm (penggera) kereta. Biar alarm kereta bunyi biar penyangak tu lari. Jiran-jiran mesti akan hendap ikut tingkap tengok kereta siapa yang bunyi,” kata seorang lelaki.

Ada juga penduduk di perumahan sekitar Puncak Alam turut meluahkan rasa bimbang untuk keluar daripada rumah sejak insiden ini berlaku.

“Taman kami ni. Dah sampai pagi berjaga semua takut. Hantar anak lepas Subuh pun dah seriau buka pagar,” ujar penduduk tersebut.

Sementara itu, ramai juga berkongsi antara modus operandi lain yang popular di kalangan penyamun.

“Kalau tengah malam ada orang buka paip dekat luar tu pun ya kena hati-hati. Tu salah satu taktik suruh penghuni keluar untuk tutup air. Berhati-hatilah benda ni pernah berlaku di tempat saya,” kata seorang warga Facebook.

Sumber: Facebook Khairul Ezuwan

Baca Artikel Berkaitan: Guru Besar ‘Putih Mata’, Penyamun Pecah Cermin Kereta & Bawa Lari Bantuan Awal Persekolahan RM109,000

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Polis Buru Tiga Suspek Kes Rompakan Kedai Emas Di Nilai


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd