[Video] Ini Senarai Filem Pendek Raya 2025 Yang Anda Kena Tonton, Memang Syok!
Antara filem pendek Raya 2025 pilihan kami adalah yang diterbitkan oleh Petronas, BSN, Julie’s Biscuits, MR DIY, Watsons dan BHPetrol.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Filem merupakan salah satu medium seni yang boleh digunakan bagi memberi pengajaran kepada segenap pelosok masyarakat.
Dengan naratif yang pelbagai, filem dapat menggamit kenangan lebih-lebih lagi buat mereka yang mempunyai pengalaman serupa dengan kisah yang diceritakan.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, banyak iklan dalam bentuk filem pendek dihasilkan oleh syarikat-syarikat terkemuka bagi membawa penonton menjiwai watak protagonis dalam penceritaannya.
Sempena raya kali ini, kami senaraikan beberapa filem pendek raya yang diterbitkan oleh syarikat tempatan buat tontonan anda.
#1. Anak Siapa Ni? oleh Petronas
Apabila tiba Hari Raya, kita pasti akan pulang ke kampung dan bertemu sanak-saudara jauh yang sudah lama tidak ditemui. Kadangkala sampai tak ingat siapa mereka kan?
Filem pendek ‘Anak Siapa Ni?’ oleh Petronas menyelusuri kisah seorang pemuda yang diamanahkan oleh ibunya untuk bertemu sepupu kepada arwah bapanya di kampung.
Kehadirannya diterima mesra oleh sepasang suami isteri di kampung walaupun tidak berapa mengingati dirinya, sekaligus menonjolkan adab masyarakat Melayu terhadap tetamu. Tapi rupanya ada ‘plot twist’ di hujung kisah!
#2. Ikhlaskan Jiwa oleh BSN
Dalam dunia penuh materialistik kini, orang ramai sering meletakkan nilai sesuatu pada wang ringgit. Namun kadangkala ada juga situasi tertentu apabila seseorang tidak mempunyai wang untuk membayar sesuatu produk atau servis yang didapatkan.
Seperti nama filemnya ‘Ikhlaskan Jiwa’, Bank Simpanan Nasional (BSN) mengajak orang ramai agar mengikhlaskan segala pemberian kepada mereka yang memerlukan.
Walaupun tidak mendapat keuntungan atas pemberian mereka, namun keihklasan itu pasti akan membawa ganjaran yang lebih besar.
#3. Selamat Lari Raya oleh Julie’s Biscuits
Dalam menyambut hari raya, setiap daripada kita pasti akan saling memohon dan memberi kemaafan antara satu sama lain. Namun filem pendek ‘Selamat Lari Raya’ oleh Julie’s Biscuits akan membawa penonton dalam perjalanan untuk mencari kemaafan buat diri sendiri.
Mengisahkan tentang betapa besarnya kasih sayang seorang datuk, dia cuba membantu cucunya untuk memaafkan diri sendiri atas kesilapan lampau. Dia berusaha untuk membiarkan dirinya ditahan supaya dapat bertemu dengan cucunya yang dipenjara.
Filem pendek ini juga mendidik orang ramai agar tidak melarikan diri dari beban silam, sebaliknya mencari keredaan dengan setiap apa yang berlaku.
#4. Raya Penuh Makna oleh MR DIY
Selalunya apabila tiba bulan Ramadan, orang ramai lebih-lebih lagi kaum hawa akan mengambil peluang bagi menurunkan berat badan sementara berpuasa. Bukan apa, teringin nak kelihatan lebih anggun sambil menggayakan baju raya yang cantik.
Namun seringkali kita terlupa bahawa Hari Raya Aidilfitri bukanlah bertujuan untuk tampil cantik semata-mata, tetapi demi meraikan hari penuh gembira itu bersama insan tersayang.
Filem Web Raya ‘Raya Penuh Makna’ oleh MR DIY itu turut membawa kelainan apabila penonton disajikan POV makanan yang dilarang atau dibenarkan masuk ke dalam mulut si protagonis!
#5. Lain Macamnya Raya oleh Astro
Setiap keluarga pasti mempunyai cara dan tradisi tersendiri ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bukan sahaja dari segi pemilihan pakaian, tetapi juga hidangan yang dijamu pada pagi raya.
Dalam filem pendek ‘Lain Macamnya Raya’ oleh Astro, seorang ibu merasakan tradisi keluarganya dalam bahaya apabila anak-anaknya telah berkahwin dan membawa isteri masing-masing balik ke kampung ketika hari raya.
Astro berjaya membawa orang ramai dalam meraikan pelbagai tradisi lebih-lebih lagi apabila keluarga telah berkembang. Tradisi harus saling diraikan, dan bukanlah niat sesiapa untuk menghapuskan tradisi sedia ada dalam sesebuah keluarga.
#6. Kias Rindu oleh PLUS
Tidak dapat dinafikan bahawa apabila anak-anak meningkat dewasa dan berhijrah ke negeri lain demi mencari nafkah, ibu bapa pasti merasa sunyi.
Filem pendek ‘Kias Rindu’ oleh PLUS ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang sering mencari alasan agar anak-anak mereka pulang ke kampung pada bulan Ramadan demi meluangkan masa bersama.
Anak-anak pula tetap bersabar dengan kerenah ibu bapa kerana menyedari betapa mereka dipeluk kesunyian apabila hanya ditinggalkan berdua di kampung.
#7. Ini Kuali-Lah oleh PruBSN
Hanya berdurasi 2.48 minit, filem pendek ‘Ini Kuali-Lah’ oleh PruBSN menunjukkan bagaimana sekecil-kecil usaha juga dapat menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar.
Menerusi personafikasi, filem ini mengisahkan tentang Si Kuali yang terasa dirinya tidak berguna berbanding Si Kawah dalam menyediakan hidangan bagi jamuan mega.
Walaupun tidak diperlukan pada mulanya, Si Kuali akhirnya memainkan peranan besar dalam memastikan hidangan disediakan cukup untuk semua orang. Memang penuh ‘kuali-ti’!
#8. Raya Terunggul oleh Watsons
Membawa kelainan dengan kisah yang lebih ‘fun’ dan ceria, dua jejaka perlu saling bersaing untuk menjadi daddy baharu Melati dalam filem pendek ‘Raya Terunggul’.
Dengan penonjolan khas oleh tiga watak kegemaran ramai dari filem tempatan iaitu Adnan Semp-it, Mami Jarum dan DCP Datuk Helmi dari Gerak Khas, filem pendek ini menerangkan bahawa cinta bukan diukur dengan rupa ataupun wang semata-mata, tetapi kejujuran.
Dengan lagu nyanyian Ayda Jebat, anda pasti tergelak ketawa menonton filem pendek oleh Watsons ini!
#9. Abang… oleh FELCRA
Dalam sesebuah keluarga, bukan sahaja mak ayah, tetapi anak sulung juga dalam tidak sedar banyak berkorban demi memastikan yang terbaik buat adik-adiknya.
Kisah ‘Abang…’ oleh FELCRA ini menggambarkan ketulusan kasih sayang oleh seorang abang terhadap adiknya yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Pengorbanan yang dilalui oleh anak sulung itu harus dijadikan sebagai pemangkin untuk adik beradik lain demi mendapatkan yang terbaik buat keluarga.
#10. Secukupnya Raya Ini oleh Lalamove
Filem pendek yang diinspirasikan daripada kisah benar ini mengisahkan tentang seorang anak yang tinggal bersama ayahnya yang bisu.
Walaupun tidak diungkap dengan kata-kata, sesebuah keluarga pasti saling menyayangi, apatah lagi kasih mak ayah terhadap anak-anak.
‘Secukupnya Raya Ini’ oleh Lalamove mengajak orang ramai agar menghargai pengorbanan mak ayah di samping memahami pelosok hati mereka yang mungkin disembunyikan.
#11. Di Sebalik Syukur oleh Air Selangor
Satu soalan yang sering ditanyakan kepada pasangan berkahwin ketika menjelangnya Aidilfitri, mestilah tentang mendapatkan zuriat. Namun orang ramai seringkali tidak ambil tahu terhadap segala usaha yang telah dilakukan oleh pasangan berkenaan.
Buat pasangan Alyas dan Anum, mereka yang telah reda dengan takdir Ilahi memilih untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak yang telah kehilangan ibu bapa sebenar mereka.
‘Di Sebalik Syukur’ oleh Air Selangor telah berjaya mengetengahkan isu pengambilan anak angkat oleh pasangan yang tidak mampu mendapatkan zuriat sendiri.
#12. Bawa Balik Yang ‘Itu’ oleh Farm Fresh
Bagi orang bujang mahupun anak dara pula, antara soalan yang sering diterima ketika musim raya adalah, “Bila nak kahwin?”.
Kadangkala ada juga mak ayah yang ‘mengatur langkah’ sendiri untuk menjodohkan anak mereka dengan insan terpilih!
Satu lagi filem pendek ‘fun’ sempena raya kali ini, Farm Fresh membawakan ‘Bawa Balik Yang Itu’ yang sarat dengan parodi. Dengan penampilan kumpulan Marhaban, ia semestinya tampil lain daripada yang lain.
#13. Hingga Hujung oleh BHPetrol
Mengetengahkan isu dementia, filem pendek ‘Hingga Hujung’ oleh BHPetrol menyelusuri kisah seorang warga emas yang ingin berkahwin dengan seorang wanita. Walaupun dihalang oleh anak-anak, dia masih ‘degil’ dengan keputusannya itu.
Penonton yang tidak menyangka dengan ‘plot twist’ yang bakal dihidangkan pasti akan berasa terkejut dan sebak, sekaligus memikirkan tentang ibu bapa masing-masing yang sudah meningkat umurnya.
Sediakan tisu sebelum tonton filem pendek ini ya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â