“Mulia Hati Dia” – Ramai Puji Gadis Ini Bantu Lelaki Buta Cucuk Straw Pada Cawan Minuman
Menerusi video tular, kelihatan anak perempuan sulung itu tampil membantu lelaki OKU tersebut selepas melihat dirinya bergelut untuk mencucuk straw pada bekas minuman di sebuah kedai makan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, rakyat Malaysia sangat terkenal dengan sikap mereka yang suka menghulurkan bantuan tidak kira dengan sesiapa pun. Ini termasuk juga dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Seperti sebelum ini, tular kisah sekumpulan anak muda yang mengiringi rakannya yang tidak berkaki dikenali sebagai Haikal untuk merasai sendiri pengalaman berjoging menggunakan kerusi roda.
Menurut salah seorang rakan, dia berbesar hati untuk membantu Haikal selain berkata mereka semua mahu kekal berkawan dalam keadaan susah dan juga senang.
Baca Artikel Berkaitan: “Susah Senang Bersama” – Tular Video Iringi Lelaki OKU Joging, Rakan Kongsi Kisah Persahabatan
Gadis Bantu Lelaki Buta Cucukkan Straw Pada Bekas Minuman
Terbaharu, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang ibu dikenali sebagai Hasnisah (@nurulhasnisahhassim) berkongsi momen menyentuh hati yang dilakukan oleh anak perempuannya, Zalikha semasa berada di sebuah kedai makan.
Dalam video tersebut, kelihatan Zalikha sedang menghampiri seorang lelaki OKU cacat penglihatan yang sedang bergelut untuk mencucukkan straw pada minuman yang dibeli.
Menyedari perkara tersebut, Zalikha dengan pantas menghulurkan bantuan dengan mencucukkan straw ke dalam bekas minuman itu. Lebih membuatkan situasi tersebut sebak apabila anak sulung berkenaan dilihat menitiskan air mata selepas tampil menolong.
Mungkin gadis tersebut berasa insaf melihat individu yang mempunyai kekurangan walhal diri sendiri diberi nikmat tubuh badan yang sempurna.
Si Ibu Terharu Lihat Zalikha Tampil Bantu Golongan OKU
Dalam masa sama, si ibu turut meluahkan rasa terharu melihat kebaikan Zalikha terhadap golongan yang lebih memerlukan.
“Alhamdulillah sejuk perut mama mengandungkan Ika. Mama doakan semoga Ika sentiasa menjadi anak yang solehah dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.
“Moga mengalir pahala mama bila mama dah tak ada nanti,” ujar Hasnisah di ruangan komen.
@nurulhasnisahhassim ♬ Nurcinta unreleased – Amir Masdi
Tonton video [DI SINI].
Ramai Puji & Tersentuh Lihat Kebaikan Zalikha Bantu Lelaki Buta
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai dilihat memuji tindakan terpuji Zalikha yang tidak berkira membantu golongan OKU.
“Adab awak tinggi, akak yakin ilmu awak mesti mantap dik. Akak doakan awak sentiasa dimudahkan urusan disaat sukarnya awak diuji. Teruskan berbuat baik, Allah SWT tak pernah lena walaupun sesaat,” kata seorang wanita.
Malah ramai juga meluahkan rasa sebak sejurus melihat Zalikha yang menangis selepas membantu lelaki OKU.
“Mula-mula sebak je tahan air mata. Lepas tengok awak lap air mata, berderai terus air mata akak. Dik, Allah kurniakan kita kelebihan. Cepat cair (sedih) dengan kesusahan orang. Hargai rasa tu sayang,” ujar seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, ramai juga tidak terlepas memuji ibu bapa Zalikha atas didikan yang sempurna terhadapnya.
“Alhamdulillah mulia betul akhlak adik ni. Tak fikir banyak kali nak buat menantu. Tahniah ayah dan maknya,” kata seorang warganet.



















Islam Ajar Umatnya Untuk Santuni Semua Pihak Termasuk Golongan OKU
Sebelum ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada mengulas tentang peranan masyarakat bagi menyantuni golongan OKU.
Menurut beliau, Islam mengajar umatnya agar bersikap adil terhadap semua individu. Jelas Dr Zulkifli, mentaliti atau sikap sesetengah masyarakat umum yang menganggap kumpulan OKU sebagai satu bebanan hidup perlu diatasi.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, mereka akan melihat konteks OKU ini sebagai ladang untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah Al-Maaidah: 2]
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Rakan Tolong Pegang Makanan Murid OKU Di Sekolah Bikin Ramai Terharu
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Abang Askar Dipuji Lepas Bantu Pasangan OKU Lintas Jalan Ketika Raptai Hari Merdeka
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.