[Video] Lelaki Ini Perjelas 8 Hak Anak Yang Wajib Ibu Ayah Tunaikan Menurut Perspektif Islam
Antara hak anak-anak yang wajib ditunaikan ibu ayah menurut perspektif Islam termasuklah pendidikan akidah, pendidikan akhlak dan pendidikan disiplin.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menjadi ibu bapa sememangnya bukan tugas yang mudah dan didatangkan dengan pelbagai tanggungjawab.
Bukan hanya membesarkan anak dengan sempurna secara fizikal, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berjaya apabila menjejak dewasa kelak.
Bagi Muslim pula, ibu bapa juga bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak dari segi akidah dan menunaikan ibadah.
Baca Artikel Berkaitan: “Ibu Bapa Perlu Tahu Batas Sentuhan Dengan Anak-Anak Semasa Bergurau” – Jurulatih Parenting
Baca Artikel Berkaitan: “Ingat Cop Duit?” – Cikgu Tegur Ibu Bapa Asyik Guna Ayat Negatif, Anak Boleh Alami ‘Scarcity Mindset’
Ini 8 Hak Anak-Anak Yang Ibu Ayah Perlu Penuhi
Baru-baru ini, seorang graduan psikologi dan penceramah Izzhar Nazri menerusi Bespoke Podcast telah menjelaskan bahawa ibu bapa perlu memenuhi hak ke atas anak-anak sebelum menyalahkan mereka bagi sebarang perkara.
Dia telah merujuk kepada kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pendidikan Anak Dalam Islam) yang menyenaraikan cara-cara mendidik anak mengikut kaca mata dan perspektif Islam.
Katanya terdapat lapan hak yang ibu bapa perlu penuhi ke atas anak-anak.
#1. Pendidikan Akidah
Pertama sekali adalah pendidikan dari segi akidah iaitu mengenali Allah SWT sebelum perkara lain berkaitan agama yang juga disebut sebagai ‘awaluddin makrifatullah’
Oleh itu, ibu bapa menyandang tanggungjawab untuk memperkenalkan anak-anak kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Kalau anak-anak lagi kenal kita daripada Nabi SAW, kita masih lagi gagal pendidikan akidah ini. Anak-anak bukan hanya kena kenal Allah SWT dan Rasulullah SAW, tetapi kena sayang Allah dan Rasul lebih daripada mak ayah. Baru kita lulus,” kata Izzhar.
#2. Pendidikan Akhlak
Seterusnya, ibu bapa bertanggungjawab dari segi pendidikan akhlak anak-anak iaitu mengajar mereka tentang adab dan kesopanan dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, anak-anak harus diingatkan agar tidak memegang barangan dengan sesuka hati apabila melawat ke rumah seseorang.
Izzhar berkata, pendidikan akhlak adalah hak yang anak-anak perlu dapatkan daripada ibu bapa. Tanggungjawab tersebut tidak seharusnya ditolak kepada guru di sekolah semata-mata.
“Cikgu itu hanya bantu sahaja. Kita yang sebenarnya kena jadi pembekal utama pada hak pendidikan anak,” jelasnya.

#3. Pendidikan Ibadah
Ibu bapa sudah tentu juga perlu mengajar anak tentang ibadah, termasuk perkara fardu ain seperti solat dan berpuasa serta mengaji al-Quran.
Perkara ini juga demi membentuk anak-anak agar memahami kewajipan sebagai seorang umat Islam.
Seperti pendidikan akhlak, ibu bapa bertanggungjawab mengajar anak dengan ibadah dan bukan hanya diserahkan kepada ustaz atau ustazah.

#4. Pendidikan Ilmu
Selain itu, anak-anak berhak mendapatkan pendidikan ilmu daripada ibu bapa. Izzhar menjelaskan pendidikan ini merujuk kepada ilmu kehidupan seperti kemahiran hidup atau teknologi moden.
“Macam mana nak bertukang, nak tukar lampu, nak menjahit. Ilmu-ilmu kehidupan itu kita kena bagi dekat anak-anak,” katanya.
Tambahnya lagi, antara ilmu lain yang boleh diajar kepada anak-anak adalah seperti pengekodan (coding) dan kepintaran buatan (AI) yang banyak diguna pakai pada masa kini.

#5. Pendidikan Disiplin
Bagi mereka yang sudah menjadi ibu bapa, pasti mengetahui bahawa anak-anak memerlukan rutin harian. Perkara ini adalah bagi membentuk rasa tanggungjawab dan disiplin dalam diri mereka.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu menetapkan masa bagi anak-anak untuk ke sekolah, beriadah dan pulang ke rumah.
“Bukan bagi handphone, ‘Nah lantak kau la. Mak pun ada kerja nak buat.’ Gagallah kita dekat pendidikan disiplin,” jelas Izzhar.
Baca Artikel Berkaitan: “Desperate Sangat Ke Nak Anak Diam?” – Coach Parenting Tegur Ibu Bapa Tak Kawal Anak Kecil Guna Media Sosial
#6. Pendidikan Sosial
Di samping itu, anak-anak juga perlu dibimbing dari segi pendidikan sosial. Izzhar berkata anak-anak yang mendapat pendidikan tersebut daripada ibu bapa akan berjaya membesar menjadi individu yang berempati.
Antara contoh pendidikan sosial yang dimaksudkan adalah mengajar anak mendekati golongan yatim piatu dan membantu orang miskin.
Perkara sebegini pastinya akan membantu anak-anak untuk mewujudkan sifat empati dalam diri.

#7. Pendidikan Pergantungan Pada Allah SWT
Ibu bapa juga diingatkan agar mendidik anak-anak agar bergantung pada Allah SWT bagi segala-galanya.
Mereka seharusnya didik agar mencari dan memohon pada Allah SWT apabila mengalami sebarang masalah.
“Memang mak ayah kena ajar anak, kepentingan doa dan tawakal. Bila dah asuh dari kecil dan besar dah biasa, anak-anak tak menggagau,” katanya.
#8. Menjadi Teladan Yang Baik
Akhir sekali, ibu bapa juga perlu menjadi ‘qudwatul hasanah’ iaitu menunjukkan teladan yang baik buat anak-anak.
Ibu bapa perlu menunjukkan sifat yang baik kepada anak-anak agar mereka dapat menjadi seorang yang berakhlak serta manusia dan hamba Allah SWT yang berjaya.
Izzhar berkata jika ibu bapa masih tidak memberi anak-anak dengan kesemua hak tersebut, belum sampai masanya untuk mereka dimarahi dan dipersalahkan.
Dia juga mengingatkan bahawa anak-anak adalah amanah yang ibu bapa perlu memenuhi segala hak mereka agar membesar menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.
Tonton video di bawah atau DI SINI.
Tonton video penuh di Youtube Bespokepodcast.
Baca Artikel Berkaitan: “Lambat, Tinggal” – Ibu Ayah, Tolong Berhenti Buat 5 Penipuan Ini Terhadap Anak-Anak
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Terbaik Buat Ibu Bapa Pilih Taska Terbaik Untuk Anak-Anak
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bahaya! Ini Sebab Kenapa Anak Tak Boleh Berpaut Pada Leher Ibu Bapa
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.