Oriental Kopi Batal Hasrat Naikkan 15% Caj Servis Ketika Tahun Baru Cina Lepas Terima Banyak Kecaman
Sebelum ini tular bahawa premis Oriental Kopi bakal menaikkan caj perkhidmatan dari 10% kepada 15% semasa Tahun Baru Cina.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, hampir kesemua premis kedai makan akan meletakkan caj servis beberapa peratus kepada pelanggan mereka.
Namun tindakan sebuah restoran popular iaitu Oriental Kopi yang dikatakan mahu mengenakan caj servis yang lebih tinggi berbanding hari biasa sewaktu sambutan Tahun Baru Cina membuatkan ramai bengang.
Mana tidaknya, caj berkenaan dinaikkan dari 10% kepada 15% selama dua hari pada 29 dan 30 Januari 2025 bagi mereka yang mahu menjamu selera di restoran terbabit. Itu belum termasuk caj SST 6% ya!

Oriental Kopi ‘U-Turn’, Tak Jadi Kenakan Caj Servis 15%
Peka dengan situasi dan kecaman yang diterima dari masyarakat, Oriental Kopi menerusi hantaran mereka di laman Facebook telah meminta maaf atas kekecohan yang berlaku berhubung pemakluman kenaikan harga caj servis semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.
Susulan itu, premis berkenaan menjelaskan caj servis mereka akan kekal seperti biasa tanpa membuat sebarang perubahan.
“Kami amat kesal atas masalah yang timbul kepada semua. Sepanjang tempoh Tahun Baru Cina ini, caj perkhidmatan kami akan kekal tidak berubah, tiada pelarasan akan dibuat dan kami komited untuk memberikan anda dan keluarga serta rakan-rakan anda yang terbaik.
“Pada cuti perayaan ini, kami sangat mengharapkan anda dan rakan-rakan untuk menikmati makanan asli dan meraikan Tahun Baru Cina bersama kami,” jelas Oriental Kopi dalam kenyataan mereka.
KPDNHEP Gesa Masyarakat Buat Laporan Jika Berlaku Kenaikan Harga Semasa Tahun Baru Cina
Memetik laporan China Press, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) menyatakan bahawa premis restoran tidak sepatutnya menaikkan bayaran perkhidmatan semasa tempoh Tahun Baharu Cina.
Unit penguat kuasa kementerian akan memanggil restoran yang terlibat bagi mendengar penjelasan mereka berhubung kenaikan harga berkenaan.
Dalam pada itu, KPDNHEP turut meminta orang ramai untuk segera membuat laporan sekiranya berdepan situasi seperti ini.
Laporan boleh dibuat menerusi saluran aduan pengguna di talian hotline (1-800-886-800) dan aplikasi mudah alih Ez ADU.
Sebagai info, perniagaan yang mengenakan sebarang kenaikan harga tidak munasabah atau pencatutan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Di bawah akta itu, syarikat yang didapati bersalah melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berulang.
Individu berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.
Pesalah berulang berdepan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Itu Pencatutan & Kenapa GSC Didenda RM45,000 Kerana Mencatut Air Mineral & Keropok Kentang?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â