[Video] Kecoh Orang Ramai Tidak Bantu Lelaki OKU Dipukul, Influencer Perjelas Apa Itu ‘Bystander Effect’
Reina Lum berkata ‘bystander effect’ berlaku apabila orang ramai yang menyaksikan suatu kejadian menganggap ada individu lain yang akan memberikan pertolongan kepada mangsa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh apabila seorang lelaki kurang upaya mental dipukul dan dikasari oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu.
Orang ramai telah mengecam tindakan kesemua individu yang terlibat kerana mengasari seorang kurang upaya (OKU) walaupun mangsa telah meminta maaf.
Apa yang lebih mengundang kemarahan masyarakat apabila orang ramai yang menyaksikan keganasan itu tidak berbuat apa-apa atau cuba membantu mangsa.
Ini membuatkan ada yang tertanya apakah faktor yang menyebabkan mereka hanya berdiam diri sebagai contoh takut atau lebih memilih untuk tidak masuk campur urusan orang lain.
Orang Ramai Tidak Tolong Mangsa Kerana ‘Bystander Effect’
Sehubungan itu, pempengaruh Reina Lum telah tampil menjelaskan keadaan apabila orang ramai tidak berbuat apa-apa dalam situasi kecemasan seperti di atas.
Katanya, terdapat terma psikologi yang boleh menjelaskan perkara tersebut iaitu kesan penyaksi atau lebih dikenali sebagai ‘bystander effect’.
Bystander effect berlaku apabila orang ramai yang menyaksikan suatu kejadian atau jenayah menganggap ada individu lain yang akan memberikan pertolongan kepada mangsa seperti dalam kes kecemasan atau kes buli.
“Oleh sebab itu orang semua tak buat apa-apa. Mereka jadi ‘bystander’, lihat sahaja apa yang berlaku. Akhirnya orang yang jadi mangsa dibiarkan dan tidak diberi pertolongan,” jelas Reina.
Perlu Cegah ‘Bystander Effect’ Agar Tidak Jadi Kebiasaan
Dia yang juga seorang bekas peguam berkata, adalah penting untuk orang ramai memahami konsep psikologi di sebalik perkara ini agar dapat membetulkannya sebelum menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat.
“Jadinya kita akan membesarkan satu generasi yang memang tak ambil peduli dan kisah tentang kesusahan orang lain,” tambah Reina.
Dia turut berkata terdapat ramai kanak-kanak yang memerhatikan insiden terbabit dan akan ‘belajar’ daripada mereka yang lebih dewasa untuk tidak membantu orang dalam kesusahan.
Anggap Orang Lain Yang Perlu Tolong Mangsa
Di samping itu, Reina menjelaskan bahawa bystander effect boleh berlaku apabila orang ramai menganggap ia bukanlah tugas mereka untuk menolong individu yang kesusahan di depan mata mereka.
Sebaliknya, mereka menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain yang berada di sana. Ini terjadi mungkin kerana seseorang memikirkan bahawa dia tidak perlu membantu kerana individu lain yang perlu melakukan perkara tersebut.
“‘Aku tak tolong. Orang lain patut tolong. Dan kalau dia tak tolong kenapa aku kena tolong?'” Reina menjelaskan apa yang mungkin bermain dalam fikiran orang ramai.
Tambah Reina, mungkin orang ramai tidak mahu masuk campur hal seseorang memandangkan orang lain juga tidak berbuat apa-apa.
Katanya lagi, mereka juga mungkin berasa takut untuk menjadi suara pertama yang menentang tindakan orang ramai.
Kekurangan Konteks Antara Punca ‘Bystander Effect’
Seterusnya, Reina menjelaskan bahawa bystander effect boleh terjadi akibat kekurangan konteks atau dalam bahasa mudahnya apa yang sedang berlaku.
Orang ramai yang menyaksikan suatu insiden di depan mata tahu bahawa ia salah, namun takut untuk mengambil tindakan kerana tidak memahami konteks sebenar. Mereka mungkin menganggap seseorang itu dipukul kerana benar-benar telah melakukan jenayah.
Malah apabila melihat orang sekeliling tidak membuat apa-apa, seseorang itu mungkin merasakan mangsa layak dipukul kerana telah melakukan suatu kesalahan.
Namun begitu, Reina berkata kajian mendapati jika ada seorang individu yang menerangkan konteks sebenar kepada orang ramai, sebagai contoh bahawa lelaki dalam kes di atas merupakan seorang OKU, ia akan meningkatkan kebarangkalian orang ramai untuk menolong mangsa.
Namun dalam kes ini, sebenarnya terdapat seorang lelaki yang sudah cuba untuk menjelaskan bahawa mangsa adalah seorang OKU. Usahanya bagaimanapun gagal apabila mangsa terus dipukul bertubi-tubi.
Tahap ‘Bystander Effect’ Dalam Masyarakat Boleh Berubah
Di samping itu, Reina menerangkan bahawa bystander effect boleh meningkat dan berkurangan dalam suatu masyarakat.
Memberi contoh, dia berkata terdapat undang-undang di China dahulu yang membolehkan seseorang didakwa jika membantu orang dalam keadaan kecemasan, seterusnya meningkatkan bystander effect.
Reina mengakhiri perkongsiannya dengan berharap agar orang ramai mempunyai kesedaran tentang perkara tersebut dan berkata bahawa masyarakat yang mempunyai kesedaran diri adalah masyarakat yang lebih bagus.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.