Now Reading
“Comel Dia Kaya Dengan Adab” – Gelagat Remaja Istimewa Minta Izin Nak Lepak Rumah Jiran Curi Perhatian

“Comel Dia Kaya Dengan Adab” – Gelagat Remaja Istimewa Minta Izin Nak Lepak Rumah Jiran Curi Perhatian

Menurut Nana yang juga jiran kepada anak istimewa dikenali sebagai Irfan itu, dia akan memberi salam dan meminta izin setiap kali mahu meluangkan masa di dalam rumahnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kanak-kanak istimewa adalah insan yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.

Walaupun mempunyai sedikit kekurangan berbanding dengan rakan sebaya yang lain, namun ramai di kalangannya yang sangat berbudi bahasa dan menyantuni orang sekitar tidak kira dengan yang lebih muda atau dengan golongan dewasa.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak OKU (Orang Kurang Upaya) telah mendapat perhatian ramai selepas menghadiahkan si ibu sekuntum bunga.

Perkara yang membuatkan ramai tersentuh adalah dia memberikan bunga itu kepada maknya kerana dia menganggap si ibu antara orang yang paling disayanginya di dunia ini. “Cikgu suruh bagi orang yang kita sayang.”

Baca Artikel Berkaitan: “Cikgu Suruh Bagi Orang Yang Kita Sayang” – Anak Istimewa Beri Ibu Bunga Buat Ramai Sebak

Remaja Istimewa Minta Izin Untuk Luang Masa Di Rumah Jiran

Terbaharu, tular satu hantaran di laman TikTok (@nrfrhna.firdus) menyaksikan seorang remaja lelaki istimewa bernama Irfan yang sedang melawat rumah jirannya dikenali sebagai Nana.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan Irfan sedang meminta izin kepada Nana untuk meluangkan masa di rumahnya.

“Mama (Nana) nak macok (masuk rumah) boleh?” tanya Irfan.

Namun disebabkan Nana mahu keluar membeli barangan sekolah untuk anak-anaknya, dia meminta Irfan agar datang pada keesokan harinya. Menerusi video tersebut, perbualan mesra Irfan bersama Nana menunjukkan betapa akrabnya dia dengan jiran di sana.

Dia juga sempat menunjukkan Nana telefon baharunya. Walaupun tidak dapat melepak di rumah Nana, tetapi Irfan tidak bersungut selain berkata dia akan datang pada pagi esok.

Perkara yang mencuri perhatian adalah Irfan sangat berbudi bahasa ketika berkomunikasi.

“Dia tak macam remaja lain. Dia anak istimewa. Umur nak cecah 40 ni tiba-tiba dapat anak angkat baru😂.

“Suka betul dia datang melepak kat rumah. Baik budaknya. Suka pergi surau dan rajin berselawat. Sangat peramah ya. Semua orang dia tegur 😂,” ujar Nana di ruangan kapsyen.

Irfan Tunggu Jiran Sambut Salam Sebelum Masuk Ke Rumah

Menurut Nana lagi, Irfan akan selalu memberi salam kepadanya sebaik tiba di rumah.

“Dia memang sangat berbudi bahasa bila bercakap. Selalu bila saya dah jawab salam Irfan, dia akan buka pagar and terus masuk. Kalau saya tak jawab, selagi tu la dia bagi salam sampai nampak muka ‘Mama’ dia ni 😂,” kata jiran itu di bahagian komen.

Tonton gelagat Irfan di SINI.

https://www.tiktok.com/@nrfrhna.firdus/video/7462710122415000839

Orang Ramai Terhibur Lihat Gelagat Irfan

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai terhibur mendengar perbualan Irfan yang dikatakan comel dan penuh dengan adab itu.

“Comelnya 🥺. Diorang ni (anak istimewa) polos tak tahu nak menipu. Kalau didik baik-baik diorang tahu beza baik dan buruk. Comel dia minta izin masuk rumah dulu,” kata seorang pengguna TikTok.

Sementara itu, kakak kepada Irfan juga tercuit hati melihat gelagat si adik yang berjalan-jalan ke rumah jiran.

“Weh ni adik aku. Adik saya memang comel dan kelakar orangnya. Kalau nampak dia minta balik rumah ya. Merayap je kerja,” ujar kakak Irfan.

Dalam masa sama, ramai juga berterima kasih kepada Nana kerana sudi melayan anak istimewa tersebut dengan sangat baik, termasuklah ibu Irfan sendiri.

“Anak bertuah. Patutlah semalam telefon tanya esok ummi masuk pejabat ke tidak. Dah agak dah dia mesti ada plan ni. Terima kasih jiran-jiran sudi menyantuni Irfan 🥰,” kata ibu anak lelaki itu.

Sumber: TikTok (@nrfrhna.firdus)

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Kanak-Kanak Dukung Rakan Istimewa Naik Tangga Raih Pujian Ramai

Baca Artikel Berkaitan: Remaja Autisme Ini Hafal 30 Juzuk al-Quran Dalam Masa 18 Bulan Sahaja


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd