Now Reading
[Video] Ah Long Didakwa Bakar Rumah Ibu Bapa Peminjam Yang Telah Meninggal

[Video] Ah Long Didakwa Bakar Rumah Ibu Bapa Peminjam Yang Telah Meninggal

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bagaimanapun memaklumkan bahawa peminjam tersebut telahpun meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas sebuah hotel di Johor.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau lebih dikenali sebagai ‘ah long’ menjadi pilihan sesetengah individu memandangkan lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman berbanding menerusi institusi berdaftar seperti bank.

Namun begitu, umum sedia maklum bahawa individu yang gagal melangsaikan pinjaman yang diterima daripada ah long selalunya akan berdepan akibat yang serius.

Menjadi lebih bermasalah apabila ahli keluarga si peminjam yang tidak persalah pula terpaksa menanggung sakit akibat daripada pilihan dilakukan mereka.

Individu Bakar Rumah & Rakam Kebakaran

Seperti baru-baru ini, tular video di media sosial apabila sebuah rumah dilihat dibakar oleh seorang individu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 18 Januari (Sabtu), dapat dilihat seorang individu berbaju putih yang memakai topi dan pelitup muka menghampiri pagar rumah terbabit.

Kelihatan dia kemudiannya menampal satu kertas pada pagar sebelum membaling sesuatu kelihatan seperti bom molotov, sekaligus menyebabkan rumah terbakar.

Setelah itu, pelaku terus meninggalkan lokasi kejadian sambil dilihat merakam kebakaran yang dimulakan olehnya.

Kebakaran Didakwa Dilakukan Oleh Ah Long

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang memuat naik video berkenaan, kebakaran tersebut telah dilakukan oleh ah long.

Dipercayai individu terbabit telah bertindak membakar sebuah rumah di Desa Jaya, Kepong milik sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa kepada peminjam.

Menurut laporan Sinar Harian, Lim menerima aduan berhubung insiden itu pada 4.55 petang Sabtu (18 Januari), iaitu hari kejadian berlaku.

Satu lagi video dimuat naik dipercayai merupakan sebahagian daripada rakaman oleh individu yang memulakan kebakaran berkenaan.

Peminjam Telah Meninggal Dunia

Lim bagaimanapun memaklumkan bahawa anak kepada pasangan itu telahpun meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas sebuah hotel di Johor.

Dalam pada itu, dia berkata dua laporan polis telah dibuat.

Namun tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa setakat artikel ini ditulis.

Orang Ramai Kritik Usaha Kerajaan Tangani Masalah Ah Long

Orang ramai dalam pada itu mengambil kesempatan untuk mengkritik usaha kerajaan dan pihak berkuasa dalam menangani masalah peminjam wang tanpa lesen.

Ada yang berkata bahawa masalah membabitkan ah long telah berlanjutan begitu lama tanpa berjaya diselesaikan oleh kerajaan.

“Bertahun-tahun benda ini dah berlaku dan amat mengagumkan bagaimana kerajaan gagal menghentikan operasi ah long dan membiarkan orang tidak bersalah dalam bahaya,” katanya.

Malah, seorang individu mempersolkan bagaimana pihak berkuasa gagal mendapatkan maklumat daripada nombor telefon memandangkan penduduk negara perlu menggunakan kad pengenalan untuk mendaftar nombor tersebut.

Ada juga yang meminta agar kerajaan mengkaji semula isu pemberian lesen peminjam wang di bawah Akta Pinjaman Wang 1951 yang diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebaliknya, dia berkata sebarang bentuk peminjam wang sepatutnya diselia oleh institusi berdaftar di bawah Bank Negara.

Seorang pengguna media sosial pula berpendapat bahawa individu yang memulakan kebakaran itu telah diupah seseorang kerana dia dilihat merakamkan kejadian mungkin sebagai bukti.

Baca Artikel Berkaitan: Remaja Lelaki 15 Tahun Sanggup Pinjam Ah Long Kerana Nak Belanja GF Makan Ikan Siakap 3 Rasa

Baca Artikel Berkaitan: Ah Long Salah ‘Target’ Rumah Orang, Mujur Tawar Nak Bersihkan Balik & Beri Pampasan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd