Boleh Ke Datuk Nenek Lakukan Akikah Untuk Cucu? Ini Penjelasannya
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bapa yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak yang perlu menjalankan akikah.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pasangan yang bakal menjadi ibu bapa sudah tentu perlu melakukan banyak persediaan bagi menyambut kelahiran bayi tersayang dan membesarkannya sesempurna mungkin.
Bagi mereka yang beragama Islam pula, terdapat beberapa perkara yang disunatkan untuk dilakukan buat bayi seperti mengazankan di telinga ketika baru lahir dan melakukan ibadah akikah.
Namun dalam masa itu timbul persoalan jika akikah boleh dilakukan oleh datuk atau nenek kepada bayi tersebut berbanding ibu bapanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara Untuk Bersih & Tanam Uri Bayi. Para Ayah Perlu Tahu!
Baca Artikel Berkaitan: First Time Jadi Ibu Bapa? Ini 6 Kondisi ‘Aneh’ Pada Bayi Baru Lahir Yang Sebenarnya Normal
Sah Akikah Dilakukan Oleh Datuk Atau Nenek
Pertubuhan Fitrah Ummah yang berpengalaman dalam menguruskan ibadah korban dan akikah telah menerangkan dengan ringkas mengenai isu ini.
Katanya, sah jika akikah seorang kanak-kanak dilakukan oleh datuk atau neneknya.
Ini adalah berdasarkan kisah Rasulullah SAW yang melakukan akikah bagi dua cucu Baginda iaitu Hasan dan Husain dengan seekor kibasy (kambing jantan) masing-masing.
Oleh itu, Fitrah Ummah berkata datuk dan nenek boleh mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dengan melakukan akikah bagi cucu.
@fitrahummah Apa hukum jika Datuk Nenek buat Aqiqah untuk cucu mereka, sah tak? #aqiqah #akikah #aqiqahanak #akikahanak #akikahbaby #aqiqahbaby #aqiqahkambing #aqiqahlembu #aqiqahmekah #anak #cahayamata #baby #fitrahummah
♬ Ketika Cinta Bertasbih Piano – DNP
Akikah Boleh Dilakukan Walaupun Tiada Pertalian Darah
Di samping itu, Fitrah Ummah turut menjawab pelbagai soalan yang diterima daripada pengguna media sosial berkaitan akikah.
Katanya, akikah turut sah jika dilakukan oleh datuk nenek saudara, ibu bapa saudara atau sepupu kepada ibu bapa.
Malah, akikah juga boleh dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan kanak-kanak tersebut seperti ibu bapa angkat.
Selain itu, Fitrah Ummah menerangkan bahawa akikah tetap sah walaupun bayaran dikongsi antara ibu bapa dan datuk nenek.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan agar memastikan sembelihan diniatkan atas nama anak agar ibadah akikah sah dilakukan. Oleh itu jika seseorang membeli kambing yang telah dipotong tanpa meminta nama, tiada ibadah akikah yang dilaksanakan.







Cucu Rasulullah SAW Berada Bawah Tanggungan Baginda
Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mukhatab (individu yang ditujukan khitab arahan melakukan akikah) adalah individu yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak iaitu bapa.
Dalam masa sama, seorang datuk turut dibolehkan melakukan sembelihan akikah bagi cucunya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah dari bapanya beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melakukan sembelihan akikah ke atas Hasan dan juga Husin.”
Riwayat Al-Nasaie (4213)
Imam Syams al-Din Al-Ramli Rahimahullah berkata:
وَعَقّهُ صلى الله عليه وآله وسلم عَنِ الْحَسَنِ وَأَخِيهِ لأَنَّهُمَا كَانَا فِي نَفَقَتِهِ لإِعْسَارِ وَالِدَيْهِمَا أَوْ كَانَ بِإِذْنِ أَبِيهِمَا
Maksudnya: “Rasulullah S.A.W melakukan akikah terhadap Al-Hasan dan saudara kandungnya (Al-Husin) kerana keduanya berada di bawah nafkah (tanggungan) baginda S.A.W. berikutan kesukaran (ketidakmampuan) kedua ibubapa mereka ataupun (akikah tersebut dilakukan) dengan keizinan bapa mereka berdua.”
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat hukum seorang datuk melakukan sembelihan akikah terhadap cucunya adalah mustahab.
Afdal Dapatkan Keizinan Bapa Kepada Bayi Dahulu
Di samping itu, Bekas Mufti Wilayah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata akikah tersebut tetap sah walaupun tanpa keizinan bapa.
Namun afdal meminta izin daripada bapa bayi agar keluar daripada khilaf kerana sesetengah ulama meletakkan syarat perlu mendapat keizinan bapa.
Sunat Sembelih 2 Kambing Bagi Anak Lelaki & 1 Kambing Bagi Anak Perempuan
Akikah merupakan sunat muakkad berdasarkan dari hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Bagi anak lelaki, disunatkan agar menyembelih dua ekor kambing, manakala hanya seekor bagi anak perempuan. Boleh juga melakukan akikah dengan menyembelih lembu dan sebagainya yang dibahagikan kepada tujuh bahagian.
Sembelihan ini kemudiannya akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu untuk diri sendiri, untuk sahabat atau kenalan, dan untuk umat Islam yang memerlukan.
Selain melakukan akikah, terdapat beberapa lagi perkara sunat lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menyambut kelahiran bayi termasuk:
- Mengazankan bayi
- Mentahnik
- Menamakan bayi pada hari pertama atau ketujuh
- Mencukur rambut
- Bersunat
- Melakukan sujud syukur
Dalam kalangan masyarakat di Malaysia, ibadah akikah kebiasaannya dilakukan dalam satu majlis yang bertujuan untuk menjamu orang ramai dengan daging sembelihan, serta melakukan sunnah lain seperti bertahnik dan mencukur rambut.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Guru Tadika Dipuji Anjur Simulasi Ibadah Korban Untuk Ajar Kanak-kanak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.