Bapa Teruja Anak Pinjam Buku Yang Sama Dipinjam Di Sekolah Pada 34 Tahun Lalu
Buku yang sama juga pernah dipinjam oleh si bapa pada 15 Mei 1991 ketika berusia sembilan tahun.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ingat tak lagi waktu zaman sekolah, kita akan pinjam buku cerita di perpustakaan untuk memenuhkan buku Nilam? Kena isi nama, kelas dan tarikh dipulangkan.
Selain itu, kita juga boleh tengok pada senarai individu yang pernah meminjam buku sama pada tarikh-tarikh sebelumnya. Mana tahu ada kenal mana-mana nama dalam senarai itu.
Memang ‘throwback’ sungguh kalau teringat balik kenangan ketika zaman persekolahan dulu. Rasa muda balik!
Bapa Teruja Lihat Namanya Pada Buku Teks Sekolah Yang Dipinjam Oleh Anaknya
Menerusi sebuah hantaran di laman Facebook Jacky Tan Kok Leong, pengguna media sosial ini berkongsi kisah apabila dia ditakdirkan untuk ‘bersama’ semula dengan sebuah buku yang pernah dipinjamnya pada 34 tahun lalu.
Kisahnya bermula apabila dua orang anak perempuannya bersekolah di sekolah yang sama sepertinya dan telah meminjam sebuah buku cerita.
Nak dijadikan cerita, bahan bacaan yang sama juga pernah dipinjam oleh si bapa ketika berusia sembilan tahun selepas dia menyedari namanya tertera pada dalam senarai peminjam pada tahun 15 Mei 1991.
Menyedari perkara itu, Tan tidak menyangka dia akan bersatu semula dengan buku tersebut selepas tempoh yang agak lama.
“Dua orang anak perempuan saya belajar di alma mater saya dan anak perempuan kedua saya secara tidak sengaja meminjam buku bahasa Cina yang saya pinjam semasa saya di darjah tiga sekolah rendah.
“Alangkah indahnya nasib saya dapat menghargai buku ini dan membacanya semula,” ujar pengguna Facebook itu.
Ramai Teruja Dapat Tahu Peminjam Ditakdirkan Semula Dengan Buku 34 Tahun Lalu
Di ruangan komen hantaran berkenaan, kebanyakan netizen turut terkejut dengan ‘penyatuan’ semula buku cerita tersebut dengan salah seorang peminjamnya.
Malah, sesetengah netizen juga kagum melihat keadaan buku berkenaan yang masih elok meskipun ia dipinjam oleh individu berbeza dan sudah berusia lebih dari tiga dekad.
Selain itu, mereka tidak menyangka bahawa peminjam tersebut dapat berjumpa semula dengan bahan bacaan yang pernah dipinjamnya ketika zaman sekolah dahulu.
“Tak sangka orang dan buku boleh ditakdirkan semula,” luah pengguna media sosial.
Pada masa yang sama, pemilik hantaran ini juga berterima kasih kepada pihak yang mengetengahkan tentang perkara unik ini.
Selain itu, dia juga berharap agar masyarakat dapat memberi perhatian kepada sekolahnya itu yang merupakan ‘Chinese Girls’ School’.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak surat khabar dan stesen radion yang melaporkan tentang kejadian unik ini. Saya harap orang ramai dapat beri lebih banyak perhatian kepada alma mater saya iaitu Chinese Girls’ School.
“Akhir sekali, saya mahu mengucapkan yang terbaik untuk anda semua dan memperolehi tahun yang bertuah pada tahun ini,” katanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â