Now Reading
[Video] KPDN Perak Jelaskan ‘Crystal Ball’ Sebagai Barang Terlarang, Ramai Tidak Tahu

[Video] KPDN Perak Jelaskan ‘Crystal Ball’ Sebagai Barang Terlarang, Ramai Tidak Tahu

Crystal ball telah diwartakan sebagai barang tidak selamat di bawah Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Yang Tidak Selamat) 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terdapat sesetengah barang perhiasan dijual kerana bentuknya yang menarik dan cantik pada pandangan mata.

Namun kadangkala, barangan tersebut mungkin menyerupai makanan seperti gula-gula yang berwarna-warni sifatnya.

Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya diambil oleh kanak-kanak yang menganggap hiasan tersebut merupakan sejenis makanan.

KPDN Perak Terima Aduan Penjualan Barang Terlarang

Baru-baru ini, satu video telah dimuat naik di TikTok Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak yang menunjukkan pemeriksaan dijalankan di sebuah kedai runcit.

Menurut penguat kuasa yang hadir ketika itu, rutin tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima aduan mengenai barang terlarang.

Barang tersebut merupakan hiasan ‘crystal ball’ yang akan mengembang apabila direndam di dalam air.

Difahamkan barangan tersebut mungkin dijual oleh peniaga tanpa menyedari bahawa ia telah dilarang.

Crystal Ball Dilarang Jual Selepas Insiden Kanak-Kanak Tertelannya

Kata penguat kuasa KPDN terbabit, kerajaan melarang penjualannya selepas kejadian seorang kanak-kanak yang tertelan crystal ball. Dia kemudiannya terpaksa dibedah bagi mengeluarkan crystal ball yang telah kembang.

Susulan itu, kerajaan telah mewartakan crystal ball sebagai satu barang yang tidak selamat. Perkara ini menjadikan crystal ball sebagai barang yang terlarang untuk dijual.

Bukan itu sahaja, penguat kuasa berkenaan turut menegur tindakan peniaga yang meletakkan crystal ball di bahagian yang menempatkan makanan terutamanya gula-gula.

Dia berkata perkara ini boleh menyebabkan kanak-kanak yang hadir ke kedai tersebut menganggap crystal ball sejenis makanan.

Crystal Ball Diharamkan Di Bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999

“Crystal ball ini adalah barang yang tidak selamat dan telah diisytiharkan sebagai barang larangan. Mana-mana orang yang menjual adalah melakukan satu kesalahan,” katanya.

Tambahnya, kesalahan sedemikian termaktub di bawah Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Yang Tidak Selamat) 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Sehubungan itu, kesemua crystal ball tersebut telah dirampas oleh pihak KPDN Perak dan kementerian itu akan membuat siasatan lanjut untuk mengenal pasti pembekal.

Di akhir video, seorang penguat kuasa KPDN menunjukkan bahawa crystal ball yang telah mengembang kelihatan sama seperti gula-gula berwarna dan boleh menyebabkan kanak-kanak memakannya.

Ramai Tidak Tahu Crystal Ball Diharamkan Sejak 2011

Juga dikenali dengan nama ‘crystal baby’ dan ‘orbeez’, bebola warna-warni ini digunakan sebagai hiasan di dalam pasu pokok dan telah diharamkan oleh kerajaan bermula 26 Ogos 2011.

Namun begitu, ramai yang berkata mereka tidak tahu bahawa crystal ball sebenarnya telah dilarang penjualannya.

Dalam pada itu, seorang individu berkongsi insiden adiknya tertelan sebiji crystal ball yang telah kembang. Pembedahan terpaksa dilakukan bagi mengeluarkan cyrstal ball tersebut.

Terdapat segelintir pengguna media sosial yang berkata tindakan seharusnya diambil terhadap pengeluar dan pembekal, bukan peniaga semata-mata.

KPDN Perak menjelaskan bahawa pihaknya pernah mengambil tindakan terhadap beberapa pembekal crystal ball sebelum ini.

Crystal Ball Yang Dimakan Boleh Sebabkan Usus Terhalang

Menerusi satu artikel jurnal yang diterbitkan National Library of Medicine, crystal ball boleh berkembang dari 30 sehingga ke 60 kali ganda saiz asalnya.

Apabila seseorang secara tidak sengaja memakannya, usunya boleh tersumbat secara separa atau sepenuhnya.

Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan ‘perforation peritonitis’, iaitu jangkitan berbahaya apabila lubang terbentuk dari organ sehingga isinya mengalir ke dalam kaviti peritoneal.

Para penyelidik berkata, crystal ball yang ditelan perlu dikeluarkan dengan segera menerusi kaedah endoskopik.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd