Now Reading
“Makin Banyak Kes” – Tayar Lori Tercabut Di Lebuh Raya Buat Ramai Bimbang

“Makin Banyak Kes” – Tayar Lori Tercabut Di Lebuh Raya Buat Ramai Bimbang

Menerusi video tular, kelihatan pemandu treler itu dengan segera memperlahankan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya selepas menyedari tayar belakang sebelah kanan tercabut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, kes kemalangan melibatkan lori atau treler dilihat semakin menjadi-jadi di Malaysia.

Seperti sebelum ini, seramai tujuh orang mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) dari Ayer Keroh menghala Simpang Ampat.

Siasatan awal mendapati nahas terbabit berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori tercabut di tengah lebuh raya sebelum ia dilanggar oleh sebuah bas persiaran. Insiden itu kemudiannya mengakibatkan pemandu bas terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Mangsa yang maut adalah empat orang penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima beserta pemandunya, manakala dua lagi adalah pemandu serta penumpang bas.

Baca Artikel Berkaitan: 7 Maut & 33 Mangsa Cedera Dalam Kemalangan Libatkan 5 Kenderaan Di Melaka

Tayar Lori Bergolek Di Lebuh Raya

Terbaharu, tular satu hantaran di laman TikTok (@kepalakelapakenapa) apabila seorang lelaki berkongsi situasi di sebuah lebuh raya.

Menerusi video perkongsian, kelihatan sebuah tayar secara tiba-tiba bergolek dengan laju di lorong memotong. Difahamkan tayar belakang sebelah kanan tersebut tercabut daripada treler yang berada di laluan kiri.

Menyedari perkara itu, pemandu lori berkenaan dengan pantas memperlahankan kenderaan dan berhenti di lorong kecemasan. Tayar terbabit bagaimanapun tidak terkena mana-mana kereta atau penunggang motosikal.

https://www.tiktok.com/@kepalakelapakenapa/video/7461233237164035334

Hal ini kerana kenderaan lain yang berada di kawasan sekitar telah memperlahankan kenderaan mereka sejurus melihat tayar lori yang bergolek.

Dalam masa sama, tayar itu juga dilihat bergerak menuju ke arah longkang sebelah lebuh raya selepas bertembung dengan pembahagi jalan.

Sumber: TikTok (@kepalakelapakenapa)

Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Tayar Lori Bergolek Di Jalan Raya

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa bimbang melihat kes tayar lori tercabut yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan orang lain.

“Allahuakbar. Kalau ada motosikal yang kebetulan lalu dekat situ… bahayanya,” kata seorang lelaki.

Malah, seorang individu juga sempat berkongsi pengalamannya berdepan dengan kejadian tayar tercabut yang tidak terduga di jalan raya sebelum ini.

“Pernah kena macam ni masa kerja bawa kenderaan lori balak. Tiba-tiba ada tayar pintas depan lori. Terpinga-pinga juga. Sekali tengok belakang, tayar lori sendiri,” ujar pemandu lori itu.

Sementara itu, segelintir pengguna TikTok mengingatkan bahawa kenderaan berat seperti lori atau treler perlukan pemeriksaan berkala agar keselamatannya terjamin.

Sumber: TikTok (@kepalakelapakenapa)

Kenderaan Perdagangan Perlu Pemeriksaan Berkala

Kes melibatkan tayar lori tercabut dilihat semakin berleluasa yang mana ia boleh meragut nyawa individu. Lebih parah lagi apabila pengguna jalan raya tidak menyedari kewujudan tayar yang tercabut semasa dalam perjalanan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tayar ‘Sesat’ Tiba-tiba Bergolek Tengah Jalan, Ramai Risau Jika Boleh Jadi Penyebab Kemalangan

Untuk info, Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan semua kenderaan perdagangan termasuklah lori dan treler menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) setiap enam (6) bulan.

Ketika pemeriksaan, pihak Puspakom akan memeriksa bahagian-bahagian penting pada kenderaan selain melakukan beberapa bagi memastikan ia mengikut standard yang ditetapkan.

Pemeriksaan Puspakom. Sumber: Malay Mail

Ini termasuklah pemeriksaan bahagian atas yang merangkumi sistem brek; tayar serta gandar; sistem enjin, badan kenderaan selain pelbagai ujian seperti brek; meter laju; gelincir sisi dan lain-lain lagi.

Sekiranya ia dalam kondisi memuaskan dan mengikut undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pihak pemeriksa akan memberikan kelulusan dan kebenaran untuk kenderaan tersebut digunakan.

Baca Artikel Berkaitan: Keadaan Tayar Kenderaan Antara Punca Banyak Berlaku Kemalangan Jalan Raya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd