Pelakon Trisha Ooi Terperangkap Di Genting Highlands Akibat Tanah Runtuh, Ini Penjelasan RWG
Insiden tanah runtuh itu berlaku pada jam 2:30 pagi hari ini (17 Januari) di luar kawasan Resort World Genting (RWG) iaitu di Jalan Ion Delemen.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siapa sangka perjalanan yang sepatutnya berjalan lancar seperti yang dirancang bertukar sebaliknya buat pelakon wanita tempatan iaitu Trisha Ooi ketika sedang menuju ke Janda Baik, Pahang.
Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Story miliknya (@itstrishaooi), pelakon itu berkongsi situasi di mana dia terperangkap di Genting Highlands berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi hari ini (17 Januari).
Nasib menyebelahi pelakon berusia 26 tahun itu kerana dia tidak keseorangan dan turut bersama dengan kru produksi drama serta pengurusnya bagi menyambung penggambaran bagi sebuah drama.
“Kami terperangkap di sini sejak awal pagi tadi. Semalam saya ada penggambaran di Genting Highlands dan hari ini sepatutnya sambung kerja di Janda Baik pula,” ujarnya.
Pokok Tumbang Dan Tanah Runtuh Di Genting Highlands
Memetik laporan Kosmo, perjalanan mereka dari Genting Highlands pada jam 6 pagi itu terhalang apabila wujud pokok tumbang sebelum dimaklumkan tentang kejadian tanah runtuh pula.
Walau bagaimanapun, kesemua daripada mereka berada dalam keadaan selamat dan turut bersyukur kerana tidak berada di laluan terbabit ketika insiden itu berlaku.

“Pihak berkuasa maklumkan kami boleh sambung perjalanan pukul 9 pagi tadi tetapi ada tanah runtuh pula, laluan terhalang dan sehingga kini masih terperangkap,” katanya.
Susulan itu, mereka diminta kembali ke tempat penginapan dan menunggu makluman sehingga jalan tersebut sudah selamat digunakan.
“Lega dan nasib baik juga kejadian tersebut tidak berlaku ketika berada di laluan yang terjejas. Kini kami kembali ke tempat penginapan semula dan tunggu sehingga dimaklumkan laluan tersebut selamat untuk dilalui atau tidak. Tolong doakan kami,” ujarnya.
Ini Respon Dari Pihak Genting
Jurucakap Genting memaklumkan kepada TRP bahawa insiden tanah runtuh yang berlaku pada jam 2:30 pagi hari ini (17 Januari) adalah di luar kawasan Resort World Genting (RWG) dan ia terjadi di Jalan Ion Delemen.
Pasukan kecemasan mereka juga telah segera dihantar untuk membantu dan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menguruskan keadaan.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terjejas menjadi keutamaan kami. Kami memberi jaminan bahawa pengunjung serta kakitangan di RWG berada dalam keadaan selamat.
“Malah, operasi kami di RWG juga tidak terjejas dan boleh diakses sepenuhnya melalui jalan utama Jalan Genting Highlands,” kata jurucakap Genting.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.