Dr Say Perjelas Apa Itu ‘Sleep Divorce’, Boleh Ke Lakukan Dalam Islam?
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, suami isteri boleh tidur berasingan jika mendapat keredhaan dan tidak mengabaikan hak masing-masing.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila sudah berkahwin, rata-rata pasangan pasti akan tidur sekatil, apatah lagi setelah hubungan menjadi halal bagi mereka yang beragama Islam.
Bagi sesetengah pasangan, tidur sekatil dapat meningkatkan kasih sayang dan mengukuhkan lagi hubungan mereka.
Namun sebenarnya ada juga yang memilih untuk tidur berasingan walaupun setelah berkahwin atas sebab-sebab tertentu.
Dr Say Anggap Sleep Divorce Ada Kaitan Dengan Kadar Kelahiran Rendah
Itulah perkara yang dikongsikan oleh doktor selebriti Dr Say Shazril (@say_shazril) di hantaran Instagramnya baru-baru ini yang digelar sebagai ‘sleep divorce’.
Katanya, topik tersebut timbul apabila berbincang tentang kadar kelahiran di Malaysia yang semakin merudum, iaitu jatuh 12% bagi suku ketiga 2024 berbanding suku sama 2023.
Selain daripada pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai anak atau dikenali sebagai ‘child free’, Dr Say merasakan terdapat kaitan antara tindakan suami isteri tidur berasingan dengan penurunan kadar kelahiran.
Tambahnya, poll yang dilakukan olehnya menerusi Instagram Story mendapati 88% tidak mengetahui apakah itu ‘sleep divorce’.
Pasangan Berdengkur Kuat Antara Punca ‘Sleep Divorce’
Dr Say menerangkan bahawa ‘sleep divorce’ bermaksud pasangan suami isteri memilih untuk tidur di katil atau bilik berasingan bagi meningkatkan kualiti tidur.
Jelasnya, antara punca yang menjadikan praktis ini semakin popular adalah kesedaran terhadap kepentingan tidur yang berkualiti memandangkan kurang tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit termasuk sakit jantung dan kemurungan.
Di samping itu, Dr Say berkata ‘sleep divorce’ juga terjadi akibat dinormalisasikan oleh influencer dan tahap tekanan yang tinggi.
Antara perkara yang menyebabkan pasangan tidur berlainan bilik adalah pasangan berdengkur kuat, pilihan suhu bilik berbeza dan tidur bersama anak-anak yang mengganggu tidur.
‘Sleep Divorce’ Dapat Kurangkan Pasangan Bertelingkah
Tambah Dr Say lagi, kajian mendapati terdapat pelbagai kebaikan bagi ‘sleep divorce’ seperti tidur lebih nyenyak, tahap tekanan berkurang serta meningkatkan prestasi sewaktu berjaga.
Malah, ia dikatakan dapat mengurangkan pertelingkahan antara suami isteri memandangkan pasangan yang dapat rehat secukupnya kurang bergaduh akibat perkara remeh.
“Bagi saya, saya kurang bersetuju dengan sleep divorce ni takut lama kelamaan jadi selesa dan biasa tidur cerai yg mengakibatkan cerai betul.
“Tapi kalau ada komunikasi yang efektif antara pasangan mungkin betul sleep divorce ni banyak mendatangkan kebaikan,” luah Dr Say.
Suami Isteri Boleh Tidur Asing Tetapi Jangan Abaikan Hak
Dalam pada itu, Dr Say turut menerangkan bahawa suami isteri dibolehkan tidur asing mengikut syarak dengan syarak tidak menjejaskan hubungan dan tidak mengabaikan nafkah.
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, suami isteri boleh tidur berasingan jika mendapat keredhaan dan tidak mengabaikan hak masing-masing.
Antara dalil yang menunjukkan suami tidak wajib tidur bersama isteri adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فِراشٌ لِلرَّجُلِ، وَفِراشٌ لاِمْرَأَتِهِ، والثّالِثُ لِلضَّيْفِ، والرّابِعُ لِلشَّيْطانِ
Maksudnya: “Tempat tidur untuk lelaki (suami), tempat tidur untuk isterinya, yang ketiga untuk tetamu, dan yang keempat untuk syaitan.”
Riwayat Muslim (2084)
Namun, Dr Zulkifli menjelaskan jika suami tidak tidur bersama isteri sehingga menyebabkan pengabaian terhadap haknya serta tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak maka ia ialah haram.
Bagi isteri pula, perbuatan tidak tidur dengan suami kerana menolak untuk bersama dalam keadaan mampu dan tiada halangan, perkara ini boleh menjadikannya seorang yang nusyuz.
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya menjelaskan bahawa Islam tidak mewajibkan suami isteri duduk serumah, mahupun tidur bersama. Namun lebih afdal bagi pasangan untuk tidur bersama-sama sebilik.
Malah, suami boleh menghukum isteri dengan tidur asing jika tidak mendengar nasihat berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur.”
Surah al-Nisa’ (34)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.