Now Reading
“Boleh Saya Bayar Esok?” – Peniaga Baik Hati Belanja Pelanggan Makan Lepas Beritahu Dia Tiada Kerja

“Boleh Saya Bayar Esok?” – Peniaga Baik Hati Belanja Pelanggan Makan Lepas Beritahu Dia Tiada Kerja

Peniaga di Georgetown, Pulau Pinang itu meminta lelaki berkenaan untuk mengambil tempat sebelum memberikannya semangkuk mi secara percuma.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercakap tentang rezeki, ia tidak hanya terhad kepada harta sahaja. Dijumpakan dengan orang-orang yang baik, mempunyai keluarga yang bahagia dan memiliki tubuh badan yang sihat juga dianggap sebagai satu rezeki dari Allah SWT.

Pernah tak anda dengar konsep ‘Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain’? Percayalah walaupun nilai yang diberi hanyalah sedikit sahaja, tetapi ia mampu membuatkan si penerima itu berasa sangat gembira.

Situasi tersebut juga dapat dilihat oleh seorang peniaga di Pulau Pinang baru-baru ini ketika dia berdepan dengan seorang pelanggan yang datang ke gerainya.

Peniaga Belanja Makan Lepas Pelanggan Minta Untuk Bayar Hidangan Esok Hari

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook Mike Tan, peniaga di Georgetown, Pulau Pinang itu menceritakan dia didatangi oleh seorang lelaki berbangsa India di kedainya.

Namun apa yang ditanya oleh individu tersebut membuatkan dia agak terkejut kerana pelanggan berkenaan meminta untuk membayar hidangan pada esok hari kerana belum ada kerja.

“Bos jangan marah, boleh saya bayar esok? Saya tak ada kerja sekarang,” kata pelanggan tersebut.

Tanpa berfikir panjang, peniaga itu meminta lelaki berkenaan untuk mengambil tempat sebelum memberikannya semangkuk mi.

“Saya faham tahun ini bukan tahun yang senang untuk semua orang. Ia memerlukan satu keberanian untuk berkata sedemikian dan minta untuk bayar esok hari. Apa yang saya boleh bantu adalah dengan memberikan hidangan itu kepadanya,” ujar pengguna Facebook tersebut.

Lebih menyentuh hati lagi, peniaga terbabit berkata mungkin sesetengah individu bingung memilih kereta BMW yang mahu dibeli, tetapi bagi mereka yang kurang bernasib baik, golongan ini sentiasa risau jika ada makanan yang mencukupi atau tidak pada hari berkenaan.

Masyarakat Puji Kebaikan Yang Dilakukan Oleh Peniaga Itu

Tindakan peniaga gerai di Pulau Pinang yang memberikan hidangan percuma kepada individu berbangsa India itu meraih pelbagai reaksi positif dari masyarakat.

Kebaikan yang dilakukan membuatkan orang ramai menganggap peniaga berkenaan pastinya akan diberikan ganjaran atas perbuatannya suatu hari nanti.

Malah, ada juga netizen yang berkata mereka juga akan melakukan perkara sama seperti peniaga tersebut apabila didatangi individu yang berada dalam kesusahan.

Sementara itu, segelintir pengguna Facebook juga tersentuh dengan kata-kata pemilik hantaran berkenaan tentang kepayahan hidup seseorang ibarat pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sumber: Facebook
Sumber: Facebook

Sedekah Akan Tambahkan Rezeki Seseorang

Dalam Islam, amalan bersedekah adalah satu perkara mulia tidak kiralah dari aspek wang, pakaian, makanan dan sebagainya. Bahkan, amalan ini juga akan dapat membuka ruang pintu rezeki anda dengan lebih meluas sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bersabda,

“مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ”

Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.”

[Riwayat Muslim (2588)]

Memetik perkongsian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berikut adalah antara kelebihan amalan bersedekah di sisi agama Islam:

  • Bukti keimanan hamba kepada Allah SWT.
  • Menghapuskan dosa seseorang.
  • Mendapat naungan di Hari Akhirat.
  • Menjauhkan seseorang daripada api neraka.
  • Masuk syurga melalui pintu sedekah.
  • Terselamat daripada musibah.
  • Ubat kepada sebarang penyakit.
  • Terlindung daripada kematian yang buruk.

Semoga kita semua berpeluang untuk bersedekah dan dimuarahkan rezeki pada satu hari nanti, In Shaa Allah.

Baca Artikel Berkaitan: “Semoga Murah Rezeki Dia” – Pemilik Kedai Belanja Pelanggan Makan Lepas Tengok Ramai Beratur Panjang

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Baik Hati Belanja Makan Selepas Lihat Sekumpulan Kanak-kanak ‘Tongtong’ Nak Beli Makanan Di Kafe

Baca Artikel Berkaitan: “Ibu Tak Cukup Duit” – Tindakan Individu Belanja Kanak-kanak Makan Buat Ramai Sebak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd