[Video] Pemancing Jumpa Beg Dalam Sungai, Orang Ramai Saran Laporkan Pada Polis
Antara barangan yang terdapat di dalam beg tersebut termasuklah kad pengenalan, kad bank dan kalkulator saintifik.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Memancing merupakan antara aktiviti yang gemar dilakukan oleh sesetengah individu sewaktu masa lapang.
Malah, aktiviti itu juga boleh menjadi sumber pendapatan buat mereka yang menjual hasil pancingan.
Namun lain pula yang jadi apabila sekumpulan pemancing mengail barang yang tidak disangka-sangka.
Pemancing Jumpa Kail Beg Dari Dalam Sungai
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok (@Matzack_) memaparkan keadaan semasa sekumpulan individu sedang memancing di sebatang sungai di Kepala Batas, Kedah.
Amat mengejutkan apabila mereka secara tidak sengaja mengail satu beg galas hitam berisi pelbagai barangan daripada sungai berkenaan.
Kelihatan satu kalkulator saintifik, buku nota dan sebatang pembaris di dalam beg tersebut.
Malah, turut terdapat dokumen penting termasuk kad pengenalan dan beberapa kad bank.
Pemilik Beg Dipercayai Seorang Wanita
Melihat pada kad pengenalan yang dikeluarkan dari beg tersebut, ia merupakan IC jenis baharu dan milik seorang wanita.
Kedengaran juga salah seorang daripada mereka berkata kad bank yang ditemui baru sahaja dibuat.
“Ada orang hanyut ke?” persoal seorang individu yang menemukan beg berkenaan.
Orang Ramai Minta Laporkan Penemuan Beg Kepada Polis
Apabila terjumpa barang yang dimiliki oleh seseorang, pasti kita akan cuba untuk mencari pemiliknya atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Itulah yang dicadangkan oleh orang ramai kepada pemilik TikTok berkenaan agar melaporkan penemuan beg dari dalam sungai itu kepada pihak polis.
Menjenguk ke ruangan komen, mereka turut berasa risau jika sesuatu terjadi terhadap pemilik beg berkenaan.
Beberapa pengguna media sosial menganggap beg tersebut telah dibuang ke dalam sungai selepas diragut daripada pemiliknya.
Namun lebih merisaukan apabila ada yang beranggapan jika pemilik beg berkenaan turut terjatuh atau dihanyutkan di dalam sungai tersebut.
Malah seorang individu meminta agar kad pengenalan yang ditemui di dalam beg berkenaan ditularkan supaya dapat mengesan mana-mana individu yang kehilangannya.
Dalam pada itu, pemilik akaun TikTok tersebut berkata beg tersebut dimiliki oleh seorang pelajar satu institusi politeknik di Jitra, Kedah. Dia juga berkata akan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis.
Apa Perlu Buat Jika Jumpa IC Hilang?
Dalam keadaan anda terjumpa IC seseorang yang telah hilang, di sini kami kongsikan apa yang boleh dilakukan.
Pertama, ambil gambar IC dan edit untuk sorakkan empat digit terakhir nombor dan alamat rumah.
Kemudian, nyatakan lokasi tepat IC tersebut ditemui apabila menguar-uarkan perkara tersebut.
Jangan lupa untuk tinggalkan nombor telefon supaya anda dapat dihubungi pemilik atau waris mereka. Bagi melakukan urusan pemulangan IC, diingatkan juga agar bertemu pemilik di balai polis bagi keselamatan masing-masing.
Anda juga digalakkan untuk melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis untuk lebih memudahkan urusan kesemua pihak.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Apa Patut Anda Lakukan Jika Terjumpa ‘Harta Al-Luqatah’, Barang Berharga Yang Tercicir?
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kad Bank & IC Hilang Ditemui Pada Bahagian Dalam Pintu Kereta Kerana ‘Disorok’ Oleh Anak Kecil
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.